kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bisik-Bisik Awang Selamat

Sultan Nazrin 1

Titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah sempena ulang tahun penubuhan Badan Pencegah Rasuah/ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (BPR/SPRM) Ke-47 Rabu lalu seharusnya membuka mata semua pihak.

Ucapan tersebut paling menyeluruh dan terbaik dalam konteks menangani gejala rasuah serta salah guna kuasa. Ia memberikan perspektif lengkap senario dan cabaran, yang dikupas dengan menarik oleh Sultan Nazrin.

Segala-galanya berbaur - kritikan, sindiran, teguran dan nasihat. Awang yang hadir mengikuti ucapan baginda pada majlis itu boleh melihat reaksi hadirin, yang rata-rata puas dan tersentuh dengan hujah-hujah yang disampaikan.

Dalam apa yang disifatkan sebagai jihad memerangi rasuah, Sultan Perak menekankan dua aspek iaitu meliputi langkah punitif (hukuman) yang tegas dan tidak selektif; dan langkah preventif serta jurang pendapatan melebar yang dikhuatiri suburkan budaya rasuah.

Baginda turut memaparkan realiti gejala rasuah dunia dan banyak kisah yang boleh menjadi teladan dan renungan. Ia berkaitan nilai dan moral. Misalnya betapa pemimpin yang melakukan rasuah dipertahankan oleh penyokong yang setia membuta tuli; pemimpin yang melakukan rasuah terlepas malah ada yang meningkat rating popularitinya; dan pihak yang membongkar rasuah akhirnya menjadi mangsa; pelaku rasuah golongan atas yang dibuai hidup mewah dan bermegah.

Ucapan itu sebenarnya bukan sahaja sesuai kepada para pegawai dan kakitangan SPRM malah kepada semua pihak daripada pemimpin, politikus, taikun dan usahawan, tokoh agama, penguat kuasa, penjawat awam, pendidik dan masyarakat.

Setiap warga negara Malaysia wajar membaca dan memahami teks titah ucapan tersebut sebagai rujukan utama dalam membina dan menyemai integriti diri. SPRM patut mengembangkannya kepada siri-siri wacana dan diskusi untuk menyemarakkan kesedaran baharu mencegah rasuah.

Awang sendiri sudah dua kali membaca titah ucapan tersebut dan masih berhasrat untuk mengulang baca supaya lebih menyerap aspek tertentu. Paling menarik apabila baginda menyentuh berkaitan "majoriti penduduk iaitu 80 peratus isi rumah berpendapatan kurang RM5,000 sebulan, 40 peratus isi rumah kurang RM2,000 sebulan, keupayaan pelaburan bumiputera yang rendah dengan data menunjukkan 75 peratus penabung Amanah Saham Bumiputera memiliki purata tabungan hanya RM611 seorang.'' Ia dalam konteks kesempitan hidup rakyat akar umbi yang terdedah dan boleh tergoda kepada gejala rasuah.

Titah Sultan Nazrin lagi: "Negara tidak boleh berada dalam minda penafian akan realiti sebenar yang sedang berlaku. Ia cabaran besar kepada negara. Ia bukan sakit tekak yang bersifat sementara, boleh diubat dengan gula-gula Strepsil. Ia penyakit sosial yang serius, memerlukan rawatan intensif daripada doktor dan pakar bedah sosial, memerlukan formula perubatan dari farmasi sosial yang berupaya merangka dasar sosial yang komprehensif lagi holistik untuk dilaksanakan.'' Awang menjunjung kasih.

Sultan Nazrin 2

Sultan Nazrin Shah mengejutkan banyak pihak di Perak apabila baginda menolak untuk menerima sebarang cenderamata atau cenderahati setiap kali baginda dan Permaisuri, Tuanku Zara Salim menghadiri majlis rasmi. Perkara tersebut disampaikan oleh baginda semasa mempengerusikan Dewan Negara Perak ke-161 baru-baru ini dan disusuli dengan pekeliling daripada kerajaan negeri.

Awang turut teruja kerana cukup sinikal mengenai hal itu selama ini. Amalan memberikan cenderamata kepada raja dan pemimpin pada majlis rasmi tidak lagi sesuai terutama yang berbentuk plak, ukiran dan lukisan, apatah lagi yang mahal-mahal. Ia hanya membazir wang dan membawa budaya yang lebih mengutamakan kosmetik daripada pengisian sesuatu program atau majlis. Malah kebanyakan cenderamata yang diberikan seperti tiada nilai kemudiannya. Kerana terlalu banyak, tiada pula cukup ruang untuk menyimpannya.

Jangankan raja, wakil rakyat sahaja jika dihimpunkan cenderamata yang diterima boleh memenuhi rumah banglo yang kosong. Langkah Sultan Nazrin adalah sesuatu yang murni dan menepati konsep berjiwa rakyat. Majlis dan upacara tiada cacat celanya dan tetap bermakna tanpa cenderamata. Awang percaya Raja-raja Melayu, begitu juga para pemimpin negara dan negeri tidak mengharapkan pemberian cenderamata maka para penganjur majlis perlu melakukan perubahan. Jika Sultan Nazrin ada keyakinan membetulkan keadaan, mengapa tidak kita?

Manusia jenis apa?

Terlepaskah blogger lucah Alvin Tan? Itu persoalan menarik selepas beliau melarikan diri ke Amerika Syarikat untuk mendapat suaka politik.

Awang berharap beliau yang menghina Islam dan pelbagai pihak di negara ini, diekstradisi segera. Itu sahaja penyelesaiannya. Dalam pada itu, tidak sangka pula Alvin jenis pengecut sampai larikan diri selain tinggalkan teman wanitanya, Vivian berseorangan menghadapi pertuduhan menghina umat Islam dan bulan Ramadan. Seronok bersama, apabila hadapi saat sukar, lari. Itu sahaja, cukup mencerminkan jenis manusia apa si Alvin ini. Awang juga tertanya-tanya siapa keluarga beliau? Mengapa keluarganya tidak tampil memohon maaf atas perbuatan dan sikap bacul Alvin supaya menampakkan mereka juga menolak ekstremisme dan bukan merestui tindakannya.

Usah gundah

Sebagai langkah preemtif menjelang rayuan terakhir kes liwat di Mahkamah Persekutuan pada 28 Oktober ini, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim memperhebatkan lobi di luar negara bagi mengenakan tekanan ke atas Malaysia.

Bagaimanapun banyak negara sudah tahu muslihat dan belang sebenar Anwar. Sebab itu, Australia mengambil pendirian enggan campur tangan, menyebabkan Anwar mengkritik negara itu. Awang hairan mengapa penasihat PKR itu tidak keruan dan makin terdesak sehingga menuntut campur tangan asing. Jika beliau di pihak yang benar dalam kes mahkamah itu, mengapa terlalu gundah bagai cacing kepanasan. Tafsirkanlah.

Belum sesuai

Sebaik-BAIK sahaja Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menetapkan bayaran tambang bas sekolah akan ditentukan kuasa pasaran, persatuan bas sekolah segera mencadangkan kenaikan sebanyak 30 peratus. Bertambah resah ibu bapa dengan pertambahan kos tersebut.

Walaupun harga pasaran ditentukan atas persetujuan bersama antara ibu bapa dan pengusaha adalah formula yang ideal, namun belum sesuai pada masanya untuk dilaksanakan sekarang. Inilah maklum balas yang Awang terima.

Sepatutnya SPAD terlebih dahulu melihat semua kekangan dan permasalahan. Antaranya, banyak bas dan van sekolah uzur serta berkeadaan kurang baik termasuk yang tiada penyaman udara. Ciri-ciri keselamatan pada bas sekolah juga tidak mencukupi sebagaimana di kebanyakan negara. Setidak-tidaknya kualiti perkhidmatan bas perlu dinaikkan ke tahap 20 peratus, barulah boleh dilaksanakan konsep kuasa pasaran.

Itu belum bercakap tentang isu khidmat pekerja asing yang digunakan dan pelbagai lagi. Dengan kata lain, peranan SPAD tidak seharusnya sekadar memantau harga dan menghukum pengusaha yang mengenakan caj keterlaluan. Suruhanjaya itu masih diperlukan untuk mengawal sepenuhnya perkhidmatan bas sekolah termasuk penetapan harga siling supaya ibu bapa tidak terhimpit dengan kuasa pasaran yang terdedah kepada manipulasi licik. Kepentingan rakyat mesti lebih dilindungi dan didahulukan. SPAD belum boleh lepas tangan lagi.

Penyatuan...

Pelantikan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim sebagai penasihat kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkuat kuasa kelmarin, menarik perhatian Awang.

"Tunku Ismail akan menjadi penasihat untuk semua hal yang berkaitan dengan bola sepak negara,'' demikian titah Tengku Abdullah.

Sebelum ini, Tunku Ismail lantang mengkritik kepimpinan FAM. Kemuncaknya Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu bertanding jawatan Presiden FAM pada pemilihan Mei lalu dalam usaha membawa pembaharuan. Bagaimanapun Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah menang dan menjadi peneraju baharu menggantikan ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah yang telah 30 tahun menyandang jawatan itu.

Awang angkat topi kepada Tengku Abdullah kerana berjiwa besar. Baginda meletakkan kepentingan pembangunan bola sepak negara melebihi kepentingan peribadi. Walaupun pernah dikritik dan dicabar oleh Tunku Ismail yang lebih junior, Tengku Mahkota Pahang itu tidak sedikit pun melihat ke belakang. Potensi Tunku Ismail mahu dimanfaatkan demi FAM dan bola sepak negara. Kesanggupan Tunku Ismail untuk menerima peranan itu juga harus dihargai. Kini baginda boleh garang tetapi dari dalam sahaja.

Awang berharap penyatuan kedua-dua putera raja itu akan membawa impak. Setakat ini, prestasi skuad bola sepak negara termasuk bagi saingan Sukan Asia di Incheon, mengecewakan. Formula demi formula tidak menjadi walaupun FAM ada hati untuk membawa negara menjejakkan kaki ke kelayakan Piala Dunia. Kali ini letakkanlah sasaran yang realistik iaitu menjuarai Kejohanan AFF, Sukan SEA dan layak ke pusingan akhir Piala Asia yang akan datang. Jika gagal jua, Tengku Abdullah dan Tunku Ismail atas prinsip akauntabiliti perlu mengambil tanggungjawab. Rakyat Malaysia sudah terlalu lama dikecewakan.

Utusan/Rencana/20141005
Tags: rasuah, sukan, sultan
Subscribe

  • Minuman manakah yang terbaik untuk penghidratan?

    Apabila anda dahaga dan memerlukan minuman, minuman manakah yang terbaik untuk memastikan anda terhidrat ? Pasti, anda sentiasa boleh…

  • Menghormati Hari Ibu

    Hari Ibu ialah percutian menghormati keibuan yang disambut dalam pelbagai bentuk di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat, Hari Ibu 2023 akan…

  • Mencari IKIGAI Anda

    Kita semua pernah mendengar pepatah, "Ikuti keghairahan anda," bukan? Baiklah, di sini adalah untuk memberitahu anda bahawa ia tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments