kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kemusnahan akibat rasuah

SEMASA Majlis Ulang Tahun Penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR)/Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 1 Oktober lalu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam titah baginda, menyentuh dua aspek utama iaitu senario umum dan perlunya menangani rasuah.

Baginda turut menggariskan dua aspek penting yang wajib diberikan fokus dalam jihad memerangi rasuah melibatkan langkah punitif bersifat tegas dan tidak selektif serta langkah pencegahan bagi mengukuhkan integriti.

Bagi 'membedah’ titah ucapan baginda, wartawan Mingguan Malaysia, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI telah mewawancara Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali untuk menghuraikan lebih lanjut cabaran mencegah rasuah dalam konteks Malaysia, di samping menjawab beberapa persoalan integriti yang dibangkitkan terhadap suruhanjaya itu.

"Ada segelintir pemimpin cakap tidak serupa bikin dan bikin tidak serupa cakap. Sebagai contoh, ada orang telah dikenakan tindakan disiplin oleh parti kerana terlibat dalam rasuah tetapi kemudian dilantik dalam satu konglomerat. Walaupun kes tidak dibawa ke mahkamah, orang pertikaikan. Mungkin orang itu telah bertaubat dan jadi baik tetapi bagaimana dengan penerimaan masyarakat," ujar beliau.

MINGGUAN: Baru-baru ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ada menyentuh kaitan antara jurang pendapatan dengan rasuah. Boleh Datuk ulas isu ini dalam konteks Malaysia?

MUSTAFAR: Kita dapati ia memang sangat signifikan. Negara yang mempunyai pendapatan perkapita yang rendah, mereka memang duduk di bawah dalam Indeks Persepsi Rasuah. Memang ada relevansi. Apabila negara miskin dan pendapatan perkapita rendah, maka rasuah banyak berlaku. Malaysia hendak capai pendapatan sampai RM48,000 pada 2020. Ini antara sebab kita kata kenapa pendapatan perkapita perlu ditingkatkan dan peningkatan taraf ekonomi perlu dijayakan. Ia memang saling berkait dengan taraf kemiskinan yang menyebabkan rasuah dan sebagainya.

Titah tuanku ada menyebut "banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan tetapi kerana rasuah, ada terbenam dalam kemelut kemunduran, ada tertimbus dalam lumpur kemiskinan". Kita boleh lihat sumber sesebuah negara banyak tetapi oleh sebab penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah, akhirnya komoditi dan sumber yang ada itu diselewengkan. Kita tidak boleh tidak, kena akui di Malaysia contohnya, hutan satu komoditi, bahan batuan komoditi, pasir salah satu mineral yang dikorek dan apa jua sumber seperti ini. Tetapi, oleh kerana ada tangan-tangan kotor, berlaku penyelewengan baik di pihak agensi kerajaan, swasta dan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Kita boleh lihat ada negara yang mempunyai sumber sama ada semula jadi atau dikorek hasil bumi yang sangat luas, tetapi apa jadi? Di Malaysia, memang telah berlaku dan tindakan telah diambil. Namun, ironinya adakah semua tugasan yang sepatutnya menjadi pemerhatian agensi penguat kuasa atau lain-lain agensi kerajaan, SPRM pula yang terpaksa melakukan pemantauan?

Hasil bumi sepatutnya boleh mengayakan dan menjana pendapatan negara tetapi kerana kerakusan, ketamakan dan natijah daripada rasuah menyebabkan hasil bumi itu tiris. Kutipan hasil yang sepatutnya dikutip tiris. Pendapatan negara tidak dikutip seperti yang sepatutnya. Orang kaya akan bertambah kaya tetapi orang miskin dan tiada pengaruh akan lebih tertindas dan bertambah teruk.

Contohnya, hutan ditarah seperti penerokaan atau pembalakan haram akan menyebabkan hakisan dan merosakkan kawasan tadahan air. Apa kesannya? Banjir kilat, banjir, penghakisan, mendapan sungai, ekologi sistem habitat flora dan fauna tergugat. Apabila ini berlaku, ia menyebabkan rantaian kemusnahan ekologi dan kerosakan alam sekitar. Maka akhirnya, orang miskin yang bergantung hidup kepada tanah-tanih untuk bercucuk-tanam dan sungai untuk sumber mencari ikan, semua itu akan tergugat. Maka, inilah yang boleh dikatakan tertimbus dalam lumpur kemiskinan.

Kita perlu berfikir sejenak. Tutup mata dan fikirkan apa natijah kerosakan boleh berlaku akibat rasuah. Kita semua boleh gambarkan kemusnahan itu. Kita bayangkan sejarah peradaban ketamadunan manusia. Misalnya Kesultanan Melayu Melaka yang dikatakan satu empayar besar yang gagah, peradaban dan keilmuan serta perdagangannya - apa jadi? Runtuh sebab korup atau rasuah.

Robohnya sebuah empayar yang sangat besar dan gagah seantero dunia kerana kebobrokan dan rakusnya orang yang dikatakan melakukan korupsi dari dalam. Si Kitul dan Raja Mendeliar, ini disebut dalam sejarah Melayu. Betapa buruknya apabila sistem pentadbiran negara atau sistem kepimpinan masyarakat yang sepatutnya menjaga negara atau negeri rosak kerana berlakunya rasuah.

Korup ini berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu gabungan perkataan ‘kor’ bersama dan ‘rup’ kehancuran. Ia menghancurkan apa jua institusi termasuk individu, keluarga, insan, sistem sahsiah atau politik dan sebagainya.

Sultan Nazrin juga menyebut "ketirisan AS$1 trilion, menjadi punca kepada 3.6 juta kematian setahun kerana hasil negara yang sepatutnya dibelanjakan untuk perkhidmatan kesihatan, makanan dan infrastruktur telah dilesapkan." Adakah keadaan ini boleh berlaku kepada negara kita jika rasuah tidak dibanteras?

MUSTAFAR: Apa yang tuanku sebutkan ini bukan di Malaysia, tetapi secara umum di peringkat global. Namun, ia tidak mustahil boleh berlaku kalau kita kaitkan dengan penyelewengan kutipan hasil yang berlaku di negara kita, seperti baru-baru ini dan kita boleh lihat implikasinya. Dahulu kita lakukan Ops 3 Bilion kerana ada pendapatan negara melalui kutipan hasil yang dikatakan RM3 bilion lesap. Sekarang ini kita nampak ada kenyataan menyatakan ketirisan sehingga RM4 bilion.

Kalau RM4 bilion, itu setahun. Jadi, apabila kita katakan ketirisan punca pendapatan, banyak natijahnya. Wang yang sepatutnya dikutip itu boleh menjana ekonomi, membina berpuluh hospital dan boleh memberi makan kepada ribuan penduduk.

Kalau RM1 bilion sahaja dengan harga sebuah rumah kos rendah yang selesa sekitar RM40,000, berapa banyak rumah boleh dibina? Dengan RM1 bilion, berapa banyak hospital boleh dibina? RM1 bilion, berapa banyak jambatan boleh dibina dan berapa kilometer jalan boleh dibuat. Ini infrastruktur. Kita boleh kaitkan ucapan tuanku ini dengan perubatan di hospital dan orang tidak mendapat nutrisi makanan yang sepatutnya. Semuanya memberikan implikasi. Itu kita belum cakap pasal berapa banyak ubat yang boleh disediakan, terutamanya kepada mereka yang tidak mampu dan sangat-sangat memerlukan, termasuk yang menghidap penyakit kronik.

Tuanku turut menyebut rasuah berlaku di dalam syarikat-syarikat gergasi antarabangsa. Bagaimana dengan skandal rasuah dalam syarikat tempatan?

MUSTAFAR: Ini turut berlaku di Malaysia. Bagaimana konglomerat seperti syarikat milik kerajaan (GLC) boleh dirosakkan kerana penglibatan tokoh-tokoh pada peringkat tertinggi organisasi itu yang melakukan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Telah banyak terpapar di dalam media dan dada-dada akhbar, kes-kes pendakwaan dilakukan. Penyiasatan dilakukan oleh SPRM dan pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara seperti kes Alcatel, Silver Bird dan Sime Darby.

Bukan hanya sektor swasta sahaja melakukannya tetapi kerana adanya subahat dengan pihak-pihak tertentu dalam agensi kerajaan. Kita ambil contoh seorang pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) dipenjara setahun dan didenda RM1.15 juta disebabkan penyalahgunaan kuasa apabila melantik orang yang tidak sepatutnya. Dengan kuasa yang dia ada, dia lantik orang yang tidak sepatutnya iaitu adiknya sendiri untuk mendapat kontrak penyelenggaraan.

Apabila salah guna kuasa, nepotisme dan kronisme berlaku, natijahnya, kita berkompromi dengan kualiti dan apa jua yang sepatutnya dilaksanakan. Contohnya, projek ini begini tetapi oleh kerana syarikat milik adiknya atau orang berkaitan dengannya, maka orang yang menyelia projek itu akan tutup mata sebelah. Dia akan berkompromi dengan kualiti dan akhirnya kita boleh bayangkan apa natijah buruk yang boleh berlaku.

Selain itu, kita nampak rupanya segelintir orang, baik pemimpin atau barisan kepimpinan yang sepatutnya mengetengahkan aspek nilai murni atau jangan rasuah tetapi melakukan sebaliknya. Sultan Nazrin ada memetik ayat 44 Surah al-Baqarah yang bermaksud: "Mengapakah kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan sedang kamu melupakan diri (kewajipan) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab..."

Ada segelintir pemimpin cakap tidak serupa bikin dan bikin pula tidak serupa cakap. Mungkin orang itu telah bertaubat dan jadi baik tetapi bagaimana dengan penerimaan masyarakat.

Isunya, bagaimana orang cepat melupakan. Bagaimana orang tidak dipercayai pada suatu masa tetapi diberikan keutamaan dalam tempat-tempat yang memegang aset dan memerlukan kepercayaan dan keyakinan umum. Seseorang itu mungkin mempunyai ilmu yang tinggi, pengalaman luas dan berkemahiran. Tetapi apabila kepercayaan terhakis, ini menimbulkan krisis kepercayaan dan keyakinan. Inilah orang kata bercakap berdegar-degar tetapi rupanya di belakang berlainan. Macam pepatah Melayu, "kokok berdegar-degar ekor bergelumang tahi."

Satu lagi contoh, apabila rasuah melibatkan penimbang tara, ia akan memberikan implikasi kepada iklim pelaburan, khususnya apabila melibatkan pertikaian pihak-pihak di peringkat antarabangsa. Boleh wujud keadaan orang tidak ada kepercayaan kepada negara kerana penimbang tara ini merupakan satu institusi penghakiman. Orang akan kata kemungkinan-kemungkinan ini akan berlaku jika hendak melabur di negara ini. Ketirisan berlaku, rasuah diminta dan apa jua yang dikaitkan dengan birokrasi itu terpalit. Ada pula mendakwa pengaruh-pengaruh orang tertentu akan menyebabkan perkara ini akan disaling kaitkan.

Ada kajian awal dibuat sebelum Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dirangka. Salah satu komponen yang dikatakan faktor penyebab rasuah dikatakan oleh kerana pengaruh politik. Itu pandangan masyarakat. Sebab itu, dalam Malaysian Corruption Barometer baru-baru ini, ada mengaitkan soal institusi politik dianggap sebagai yang paling tidak dipercayai. Sama ada realiti atau persepsi? Persoalannya bagaimana perkara-perkara ini memberi kesan kepada iklim pelaburan, kepercayaan masyarakat antarabangsa atau dalaman, juga terhadap anggota pentadbiran, penjawat awam dan kepercayaan pelabur terhadap sektor swasta dalam negara.

Dalam titah itu, Sultan Nazrin telah menjelaskan tentang senario dan cabaran dalam mencegah rasuah. Jadi, apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh SPRM untuk membanteras rasuah di negara ini secara berkesan?

MUSTAFAR: Dalam memastikan pencegahan rasuah berlaku, ia memerlukan suatu tindakan dan kesepaduan daripada pelbagai pihak secara holistik. Tidak boleh secara silo dan bertindak bersendirian. Pertama, kalau kita katakan dalam aspek orang yang sepatutnya melaporkan tetapi ada pihak kata biarlah, itu periuk nasi dia. Kalau hendak lapor, dia juga susah kerana terpaksa pergi ke mahkamah atau ke SPRM untuk beri keterangan, terpaksa menunggu dan sebagainya. Itu dari segi orang hendak melaporkan atau memberi pensaksian. Ini tidak perlu timbul kerana sebagai warganegara berdaulat dan bertanggungjawab, ini tidak menjadi persoalan.

Mengenai rasuah, adakah orang bermasalah atau sistem yang bermasalah? Kadang-kadang kedua-duanya sekali. Orang bermasalah apabila orang yang dipilih bukan orang yang sepatutnya tetapi oleh kerana sebab-sebab tertentu, dilantik orang itu. Dalam masalah sistem pula, orang yang dipilih sudah cantik dan bagus kerana diberikan latihan dan dibuat saringan sebelum dilantik. Namun, apabila masuk dalam sistem, dia nampak senario yang amat berbeza dan pelik bagi dia. Semasa latihan pada peringkat awal, kata ini tidak boleh dilakukan dan ini patut dilakukan. Apabila masuk, orang di dalam yang sepatutnya menjadi mentor kepada mentee ini melakukan yang sebaliknya.

Inilah rasuah yang telah diinstitusikan atau rasuah berstruktur. Kalau tidak rasuah seolah-olah ini bukan orang kita dan dia akan dipulaukan. Maknanya, ada bahagian masing-masing. Junior mendapat bahagian banyak ini, orang tengah bahagian banyak ini dan orang atas bahagian lebih banyak!

Rasuah yang paling teruk ialah dalam bentuk systemic endemic corruption. Itu Alhamdulillah tidak berlaku di negara kita. Tetapi apabila rasuah yang telah diinstitusikan ini berlaku, ini sangat mendukacitakan dan boleh menyebabkan natijah lebih buruk iaitu 'systemic endemic corruption' dan tidak boleh diperbaiki lagi kerana sudah menjadi budaya. Seorang bekas perdana menteri pernah mengatakan rasuah sudah menjadi budaya. Adakah benar begitu? Namun yang pasti pada saya perkara ini sangat perlu diberikan perhatian dan tindakan lebih serius oleh semua pihak secara lebih serius dan tidak meletakkan tanggungjawab itu kepada SPRM semata-mata.

Boleh Datuk terangkan bagaimana sesetengah kes berkaitan rasuah yang dalam siasatan kemudian senyap begitu sahaja. Masyarakat melihat ini sebagai integriti yang hilang. Apa komen Datuk?

MUSTAFAR: Kita tidak dapat kemukakan dan dedahkan keseluruhan kes yang kita siasat kepada masyarakat. Sebab kadang-kadang hanya dakwaan dalam media. Bukan kes rasuah tetapi orang masih beri tanggapan dan punyai jangkaan kepada SPRM untuk mengatakan orang ini ada kes atau tidak ada, sedangkan kita tidak siasat pun. Tetapi apabila ada dalam blog, ada dakwaan orang tertentu, maka orang ini seolah-olah dijatuhkan hukuman oleh masyarakat berdasarkan perbicaraan oleh media dan masyarakat. Apa yang pasti, tidak ada satu kes rasuah yang SPRM tidak siasat, sama ada besar atau kecil, kalau memang kes itu kes rasuah.

Setiap kes yang kita siasat dan keputusan dikeluarkan oleh timbalan pendakwa raya, pasti kita bentangkan kepada Panel Penilaian Operasi. Namun begitu memang ada kes yang telah kita ketengahkan kepada masyarakat bahawa kes ini telah selesai dan keputusan telah dibuat oleh timbalan pendakwa raya atau bila mana seseorang itu telah didakwa.

Pernah juga berbangkit dalam media oleh personaliti tertentu, dia kata apa jadi kepada orang itu. Kita kata letih kerana jawapan telah diberikan, sudah didedahkan, sudah jadi pengetahuan umum tetapi pasal dia tidak tahu, dia luahkan dalam media seolah-olah kes itu tidak tidak bergerak. Orang ini naif kerana mereka punya satu minda yang dibataskan kerana mereka tidak mahu menerima fakta. Kenapa tidak mahu menerima fakta? Kerana ada kalanya isu rasuah ini dipolitikkan walaupun fakta dan jawapan telah diberikan.

Sebagai contoh, pada tahun 2009 selepas Pilihan Raya Umum pada 2008, kita tangkap 23 orang ahli politik. Berdasarkan maklumat, kita jalankan siasatan dan buat tangkapan. Keputusan dibuat oleh TPR, 15 orang didakwa di mahkamah di mana 13 orang daripada parti kerajaan dan dua sahaja daripada pembangkang. Tetapi ada pihak yang masih menidakkan fakta dan ada blok dalam minda mereka dengan mengatakan SPRM tidak telus dan menjadi alat kepada kerajaan atau sesuatu parti. Namun, kita katakan pembuktian berdasarkan fakta. Itu silap dan salah mereka kerana punyai minda yang tidak terima hakikat. Saya dengan tegas mengatakan SPRM bebas, telus dan profesional dalam tugasan kami.

Kita juga sering mendengar pihak-pihak tertentu mempersoalkan tangkapan dan pendakwaan yang dibuat, kononnya SPRM hanya tangkap ikan bilis tetapi jerung terlepas. Apa komen Datuk dengan persepsi sebegini?

MUSTAFAR: Itu persepsi mereka. Apabila kita dedah pelbagai kes besar yang kita buat, sama ada mereka tidak baca atau masih ada blok dalam minda. Mereka hendak besarkan isu itu sebesar mana? Malah, saya tahu ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu tertentu yang menekankan di mana ikan besar? Bila kita kata bekas menteri besar, dia kata kenapa tidak menteri besar sedia ada. Dia tidak puas. Apabila kita sebut sektor swasta, ketua pegawai eksekutif, pengurus besar dan ahli lembaga pengarah. Dia hendak besar mana lagi dalam swasta itu? Adakah keseluruhan anggota ahli lembaga pengarah itu kena masuk penjara?

Bukan kita defensif. SPRM tidak defensif. Kita terima apa yang mereka kata itu sebagai satu cabaran tetapi dalam masa sama, apa peluang kita untuk menyatakan bahawa kerjasama mereka itu perlu. Kalau tidak, mereka sekadar melemparkan tuduhan tetapi tidak ada bukti. Kita tidak boleh dakwa orang sewenang-wenangnya sebab perlu ada beban pembuktian. Sistem keadilan jenayah menjadi perhatian serius dalam hal ini. Utusan/Rencana/20141005

Tags: rasuah
Subscribe

  • Trapik Lait Ija ...

    Kite lalu depang Trafik lait … ija ija ija .. sini ija jugok Langkawi kalu jalang … ija dok ? … Ghase-ghasenye nye selughuh…

  • Mitok share ! Mitok share !

    Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Mitok share kepade sumue oghang hok dengo voice ni ... gini ... Jighaen saye kepade jighaen saya kepade…

  • Bahasa

    Bahasa berfungsi sebagai pintu masuk ke dalam minda, kata ahli psikologi. Oleh itu, tidak menghairankan bahawa cara kita bercakap dapat…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments