kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Harapan pada Bajet 2015

Dalam masa beberapa hari lagi, Badjet 2015 akan dibentangkan pada Jumaat ini, 10 Oktober 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan. Lazimnya kandungan bajet akan menitik beratkan keseluruhan golongan masyarakat di negara ini. Namun demikian, rakyat ketika ini telah dikejutkan apabila kerajaan membuat keputusan untuk memotong subsidi minyak sebanyak 20 sen seliter. Kini harga minyak petrol RON 95 berharga RM2.30 yang mana sebelum ini RM2.10. Mengapa harga minyak ini dinaikkan atau rasionaliti pemotongan subsidi ini tidak dihuraikan dalam artikel ini, tetapi kesan daripada kenaikan ini, harga barangan tidak terkawal berkemungkinan turut dinaikkan oleh pengusaha dan peniaga perkhidmatan dan barangan.


Sudah tentu Perdana Menteri menyedari hakikat ini. Namun demikian, dijangkakan dalam Bajet 2015 ini kerajaan akan melihat beberapa aspek penting bagi membantu golongan sederhana dan berpendapatan rendah, golongan muda dan belia, serta golongan peniaga atau pedagang yang menjadi pengerak kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Kita tahu bahawa golongan sederhana dan berpendapatan rendah sedang bergelut dengan kenaikan barangan yang tidak terkawal. Golongan sederhana ini ialah majoriti penduduk di negara ini yang menghadapi cabaran kehidupan di dalam bandar yang hebat. Kadar kemiskinan kian meningkat dan ada juga golongan sederhana ini telah masuk ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah. Kerajaan harus prihatin kepada golongan ini.

Dalam Bajet 2015, Perdana Menteri dijangka akan memberikan rangsangan kepada golongan muda agar dapat memiliki rumah. Pada ketika ini harga rumah amat tinggi dibandingkan dengan beberapa tahun sebelum ini. Spekulator hartanah telah menguasai harga ini sehinggakan pihak kerajaan tidak dapat membendungnya. Oleh itu program rumah mampu milik hendaklah direalisasikan dengan kadar rumah yang lebih realistik. Setakat ini, Rumah Mampu Milik telah menjadi ‘rumah mampu tengok’ sahaja. Dalam bajet kali ini kerajaan diminta agar menyatakan bahawa semua pemaju hartanah hendaklah menyediakan 30 peratus daripada pembangunan hartanahnya untuk golongan menengah dan rendah. Dasar sebegini perlu untuk membantu golongan baru bekerja terutama muda dan belia untuk memiliki rumah sendiri.

Dalam aspek perumahan ini, elok pemantauan secara berkala dilakukan terhadap pembangun hartanah yang didakwa menipu rakyat melalui skim perumahan oleh pemaju. Malangnya, perkara ini langsung tidak disuarakan oleh pemimpin pakatan pembangkang. Adakah golongan bumiputera yang ditipu itu bukannya rakyat negara ini?

Dalam pembentangan bajet kali ini dijangkakan cukai minuman keras akan dinaikkan lagi. Ini kerana minuman keras bukan budaya mana-mana agama di negara ini dan sememangnya ia memudaratkan kesejahteraan sistem keluargaan dan kesihatan manusia itu sendiri.

Dalam sektor pendidikan, sememangnya penubuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ialah satu usaha kerajaan memberikan peluang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia. Oleh itu, dalam Bajet 2015 ini peruntukan kepada PTPTN hendaklah ditambah bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelajar meneruskan pengajian mereka di peringkat ijazah sarjana muda. Ia juga hendaklah diperluaskan kepada pinjaman pendidikan peringkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran falsafah (Ph.D).

Merangsang

Peruntukan juga hendaklah diberikan lebih kepada penyelidikan dan pembangunan kepada universiti-universiti sama ada IPTA mahupun IPTS dan diberikan insentif kepada setiap produk penyelidikan tersebut supaya dapat dikomersialkan.

Dari sudut menyemarakkan budaya keusahawanan, bajet kali ini hendaklah menyediakan peruntukan untuk meningkatkan lagi jumlah usahawan dalam kalangan bumiputera terutamanya dalam sektor IKS dan diberikan insentif-insentif yang lebih merangsangkan agar jumlah usahawan ini dapat ditingkatkan. Melalui skim yang sama, pihak IPT diarahkan mewujudkan pusat keusahawanan dalam menjana usahawan daripada kalangan para graduan. Peruntukan khas juga hendaklah diberikan kepada para graduan dalam usaha mereka menjadi usahawan yang berjaya.

Peruntukan bajet bagi baucer buku hendaklah dinaikkan kerana harga buku yang meningkat. Pelajar universiti terutamanya dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan sains tulen, terpaksa membeli buku yang sangat mahal kerana diimport dari luar negara. Oleh itu, ‘Bajet Kesejahteraan Rakyat 2015’, ini hendaklah memberikan tumpuan juga kepada pelajar universiti. Baucer buku yang dinaikkan ini akan membantu meringankan bebanan ibu bapa mereka.

Dalam perkhidmatan awam diramalkan akan ada kenaikan gaji kepada anggota pasukan keselamatan. Ini sebagai pengiktirafan kepada jasa mereka mempertahankan negara. Kenaikan ini sejajar dengan kenaikan taraf kehidupan di semua tempat terutamanya di persekitaran bandar dan pinggiran kota.

Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) juga dijangka akan dinaikkan kepada RM900 untuk membantu golongan yang berpendapatn menengah dan rendah. Pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dijangka dinaikkan daripada RM650 kepada RM900, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan diramal dinaikkan daripada RM350 kepada RM500.

Dalam meningkatkan lagi minat rakyat terutama golongan muda dalam sektor pertanian, maka peruntukan elok diberikan kepada program-program meningkatkan kesedaran dan juga program penjanaan usahawan tani bermula dari peringkat sekolah. Peruntukan juga sesuai diberikan kepada politeknik yang menjalankan kursus-kursus pertanian. Kita sedia maklum bahawa perniagaan dalam bidang pertanian dapat memberikan pulangan yang banyak namun demikian peluang ini masih belum mendapat tempat di hati golongan muda yang sememangnya mahu bekerja di syarikat-syarikat besar.

Dalam bidang sukan, bajet kali ini dijangka memberikan rangsangan kepada pembangunan bola sepak dan juga jenis sukan bukan tradisi tetapi boleh menyumbangkan pingat emas di persada sukan antarabangsa. Rangsangan terhadap sukan bola sepak perlu kerana ia menjadi sukan nombor satu negara ini dan suatu sistem baharu hendaklah difikirkan agar rangsangan daripada peruntukan ini dapat digunakan secara efektif dalam usaha meningkatkan taraf bola sepak negara. Untuk acara sukan yang tidak menjadi acara tradisi, rangsangan daripada bajet ini boleh memberikan nafas baharu dan peluang untuk dikembangkan agar ia boleh menyumbang lebih banyak kemenangan di peringkat antarabangsa.

Bajet 2015 ini juga diramal akan memberikan peruntukan besar kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dalam pelbagai bidang. Bajet khas OKU ini akan memberikan pelbagai peluang dan ruang kepada golongan OKU untuk bersama-sama kerajaan meningkat pertumbuhan ekonomi negara.

Untuk golongan ibu tunggal, peruntukan khas juga diramal diberikan kepada mereka agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih selesa dalam usaha mereka membimbing anak-anak. Pelbagai latihan kepada ibu tunggal juga boleh diberikan insentif.

Bidang-bidang ini adalah antara tumpuan yang barangkali mungkin disentuh oleh Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2015. Akhir sekali, pada pandangan saya kerajaan akan memberi bonus sebulan setengah atau dua bulan gaji kepada semua kakitangan kerajaan pada hujung tahun ini melalui bajet yang disediakan.   DR. MOHD ZAINUL FITHRI OTHMAN ialah Naib Presiden Management & Science University (MSU) (Perhubungan Industri). Utusan/Rencana/20141005

Tags: ekonomi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments