kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sekolah satu aliran mampu bentuk perpaduan

Isu berkaitan usaha memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini terus menjadi topik perbualan di mana-mana. Malah ada yang mengaitkan ia dengan politik dan ada pula melihat dari sudut sistem pendidikan.

Persoalan, benarkah kewujudkan kepelbagaian aliran sekolah telah menyumbang kepada kerapuhan perpaduan tersebut? Jika benarkan apakah usaha yang harus dilakukan bagi mengatasinya?

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. AZRAIE MD. YUSOF dan SITI ROHAIZAH ZAINAL mendapatkan pandangan Felo Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berhubung isu ini.

Bagaimana Prof. melihat perpaduan masyarakat di negara ini pada masa kini?

TEO KOK SEONG: Dalam konteks di negara ini, perpaduan adalah penggabungan beberapa etnik seperti Melayu, Cina dan India sebagai komuniti nasional. Perpaduan merupakan suatu matlamat yang dinginkan oleh sebuah negara majmuk dan di Malaysia, ia masih lagi belum mencapai tahap yang baik.

Jalinan perpaduan masyarakat pada masa kini ada kelihatan tetapi hanya berada pada tahap 'kesepaduan sosial' atau bahasa mudahnya berlaku pada permukaan sahaja. Hubungan yang terjalin memang ada tetapi tidak erat dan sukar mendapat persetujuan bersama jika terdapat sesuatu perkara penting yang hendak dikongsikan.

Mengapa perkara tersebut berlaku?

Sistem pendidikan merupakan salah satu sebab mengapa perpaduan antara masyarakat dilihat tidak begitu lengkap antara semua kaum. Bukan hendak mempertikaikan sistem pendidikan negara tetapi dengan adanya kepelbagaian aliran yang diamalkan berkemungkinan identiti nasional kurang diterapkan dalam diri masyarakat terutama kanak-kanak.

Bayangkan, peringkat awal persekolahan iaitu sekolah rendah sahaja ada tujuh aliran iaitu Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan, sekolah agama, sekolah persendirian Cina yang tidak tertakluk kepada sukatan pelajaran ditetapkan kerajaan, sekolah swasta, sekolah antarabangsa dan belajar di rumah.

Bila banyak aliran, maka banyak acuannya. Sudah ada pengasingan etnik sejak dari kecil sebab itu rakyat di negara ini mempunyai jatidiri yang berbeza-beza. Mereka mengaku rakyat Malaysia, namun bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu pun tidak dikuasai dengan baik. Apa erti kerakyatan mereka jika hendak dibandingkan dengan pendatang asing yang baru beberapa bulan menetap di sini tetapi sudah boleh menguasai bahasa Melayu. Bila tidak boleh berbahasa Melayu maka kita rasa ada yang tidak kena sebab mahu atau tidak kita perlu terima hakikat bahawa ini adalah negara Melayu.

Jika begitu, apakah definisi perpaduan yang sempurna pada pandangan Prof.?

Bila menyebut tentang perpaduan yang sempurna, sepatutnya semua rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini perlu ada rasa untuk berkongsi dan saling mempercayai. Lebih baik lagi, orang-orang bukan asal iaitu bukan Melayu dapat mengidentifikasikan diri mereka dengan orang asal iaitu orang Melayu.

Kita boleh lihat contoh masyarakat Baba dan Nyonya, mereka boleh mengidentifikasikan diri mereka dengan budaya Melayu. Inilah bentuk perpaduan sempurna, mereka mendukung identiti Melayu tanpa merasakan kehilangan identiti asal mereka.Namun apa yang berlaku sekarang, kaum bukan Melayu tidak sanggup untuk mendukung identiti Melayu, mereka hanya mahukan identiti mereka sahaja. Bukan tidak boleh. Negara kita dibina atas asas kemajmukan, sebab itu kerajaan membenarkan sekolah pelbagai aliran. Namun perlu ada perimbangan, tak bolehlah hendak mendukung jati diri ektnik mereka sahaja sehingga bahasa kebangsaan pun tidak mahu dipelajari.

Jadi bagaimana kita boleh mencapai perpaduan yang sempurna ini?

Berbalik kepada sistem pendidikan, perpaduan perlu bermula dari sekolah kerana ia adalah saluran paling baik untuk mengacuankan anak bangsa seperti yang dikehendaki. Jika terdapat banyak aliran, bagaimana kita hendak menerapkan aspirasi nasional.Jadi sekolah satu aliran dilihat sebagai langkah terbaik untuk membentuk perpaduan iaitu sejak dari akar umbi. Namun hakikatnya yang boleh kita lihat, ia memang sukar untuk diimplementasikan kerana akan sentiasa mendapat tentengan.

Jika kita kaji semula, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia ini yang mempunyai sekolah pelbagai aliran. Kita lihat jiran terdekat kita iaitu Thailand. Sekolah mereka ada satu aliran sahaja sehinggakan semua kaum di negara itu mampu berbahasa Thailand dengan baik termasuk kaum Melayu di bahagian selatan negara itu.

Begitu juga Indonesia, malah kaum Cina di sana contohnya dilihat begitu sebati dengan budaya masyarakat asal sehinggakan nama yang mereka guna pun adalah nama-nama Indonesia. Tetapi kaum-kaum di negara ini beruntung, mereka masih dapat mengamalkan budaya dan mengekalkan identiti mereka tanpa halangan. Bayangkan jika kerajaan bertegas seperti Thailand dan Indonesia, sudah tentu masyarakat bukan Melayu tidak dapat menikmati apa yang mereka kecapi ketika ini.

Apa nasihat Prof. kepada masyarakat di luar sana untuk bersama-sama menyelamatkan perpaduan di negara ini?

Satu lagi alat perpaduan adalah bahasa. Jadi rakyat di negara ini perlu bersikap lebih terbuka dan mempunyai tanggungjawab untuk menguasai bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Atas kesedaran itu, kerajaan sebenarnya telah mencadangkan supaya tempoh waktu pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah bukan kebangsaan khususnya ditambah kerana Bahasa Me­layu yang diajar di sekolah-sekolah itu ber­ada pada tahap yang rendah berbanding sekolah kebangsaan. Namun cadangan itu tetap mendapat tentangan.

Kebanyakan orang bukan Melayu takut dengan langkah itu kerana mereka anggap ia akan menghakis identiti etnik mereka, sedangkan niat kerajaan baik iaitu untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan bukan Melayu. Mereka rasa begitu curiga sehingga menganggap terdapat agenda untuk menghakis identiti mereka, malah lebih teruk ada yang beranggapan langkah itu sebagai cara untuk mengislamkan anak-anak mereka.

Jika di peringkat ini sahaja sudah ada rasa untuk tidak mempercayai antara satu sama lain, bagaimana kita hendak melihat kepada agenda yang lebih besar dalam mengukuhkan lagi perpaduan. Memang mereka ada hak untuk mempelajari dan menguasai bahasa masing-masing seperti yang dinyatakan dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia bahawa walaupun bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, namun mereka tidak boleh dihalang daripada mengajar atau belajar bahasa-bahasa lain.

Bagaimanapun, hak perlulah datang dengan tanggungjawab. Namun apa yang berlaku, tanggungjawab untuk memantapkan bahasa kebangsaan tidak ada sedangkan bahasa itu yang boleh mengarah kepada perpaduan lebih baik.   Utusan/Rencana/20141006

Tags: schools, sekolah
Subscribe

  • Raja, rakyat dan perlembagaan

    TIDAK berapa lama dulu seorang diplomat Thai memberitahu bahawa saya tidak perlu menunjukkan pembesar dan pemimpin Thai berinsut di lantai ketika…

  • Perlembagaan Persekutuan bukan saluran pecat pemimpin

    SAYA terpanggil untuk berkongsi pandangan perundangan mengenai isu ini kerana sejak akhir-akhir ini, ada yang menyatakan pandangan dan tafsiran…

  • Hak kebebasan berhimpun

    DALAM masyarakat demokratik, rakyat memainkan peranan penting menyemak dan mengimbangi (check and balance) cabang-cabang kerajaan supaya tidak…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments