kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Memartabat bahasa Melayu suatu tuntutan

MELIHAT iklan Bulan Bahasa Kebangsaan di televisyen sehari dua ini terimbau penulis dengan kempen yang sama sekitar tahun 70-an.


Penulis masih ingat sewaktu hadir pada perhimpunan bersejarah di Dewan Bahasa dan Pustaka 1967 sekali gus perarakan Keranda 152 di Residensi, semangat memperjuangkan bahasa Melayu begitu tinggi dan kental.

Berbagai-bagai program diadakan merentasi seluruh sekolah dan kementerian serta masyarakat untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan. Semua kaum terlibat ke arah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pendidikan, bahasa komunikasi dan perhubungan dan menjadikannya sebagai bahasa pentadbiran dan perpaduan.

Universiti Kebangsaan Malaysia umpamanya menjadi peneraju menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan berjaya melahirkan ribuan graduan tidak saja dalam bidang agama dan kemanusiaan tetapi juga dalam bidang sains dan perubatan.

Sejak Akta Pendidikan 1996 diluluskan, universiti dan kolej swasta tumbuh macam cendawan dan kebanyakan mereka menggunakan bahasa Inggeris dan ianya telah memberi kesan juga kepada penggunaan bahasa Melayu di IPTA.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) memperkenalkan dasar MBMMBI - Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris sebagai salah satu asas penting meletakkan bahasa Melayu pada tempatnya dan tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris pada tempatnya juga.

Sejak merdeka isu bahasa Melayu tidak pernah reda dari polemik dan pertikaian. Ada yang mengatakan Malaysia tidak akan maju tanpa menggunakan bahasa Inggeris. Ianya mudah difahami kerana Malaysia pernah dijajah oleh Inggeris dan bahasa Inggeris menjadi bahasa yang dekat dengan citarasa anak penjajah dan ianya adalah bahasa ilmu dan perdagangan dunia.

Kalau diteliti lebih jauh, Perancis, Jerman, Jepun, China dan Korea maju dalam ilmu menggunakan bahasa ibundanya. Filipina sejak merdeka menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama sehingga kini belum mencapai status negara maju.

Malaysia mengambil pendekatan memartabat bahasa ibunda dalam masa yang sama memperkasa bahasa Inggeris. Langkah ini jauh lebih praktikal kerana pendekatan bi-lingual membolehkan bahasa ibunda meningkat sebagai bahasa ilmu dan penyelidikan dan bahasa Inggeris sebagai penyelidikan dan komunikasi serta bahasa pengurusan dan perniagaan.

Pendekatan ini menuntut dua perkara.

Pertama sikap,tekad dan jati diri yang jelas terhadap bahasa rasmi negara oleh setiap warganegaranya. Kedua,tidak saja bahasa Inggeris harus dipelajari, bahasa-bahasa lain yang memiliki kualiti sains dan teknologi juga elok dipelajari di kalangan mereka yang memerlukan. Soal sikap,tekad dan jati diri ini penting kerana bahasa Melayu bukanlah baru di dunia Melayu. Suatu ketika ia pernah menjadi lingua-franca yang bersifat antarabangsa. Ia menuntut tekad dan keyakinan yang tinggi di kalangan pendukung bahasa ini bahawa bahasa Melayu boleh menjadi bahasa antarabangsa suatu hari nanti jika kita mahu.

Mempelajari bahasa Inggeris kerana ianya bahasa antarabangsa dan bahasa sains dan teknologi dan bahasa penyelidikan. Memperkasa bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan secara sistematik boleh membantu hasrat ini.

Sekian lama Malaysia menghantar pelajar-pelajarnya ke luar negara mengikuti kursus-kursus dalam bahasa Inggeris dan ianya telah terjadi. Jika fokus memperkasa bahasa Inggeris seperti yang sedang dirancang tidak mustahil para pelajar boleh menguasai dua bahasa dan baik untuknya nanti.

Bagi Malaysia, bahasa Melayu amat perlu sebagai bahasa perpaduan. Perpaduan menerusi bahasa mampu menyemai rasa persefahaman yang tinggi kerana bahasa adalah jiwa bangsa dan daripada bahasa yang sama komunikasi berkesan boleh terjadi.

Melihat kepada perkembangan politik semasa, isu bahasa Melayu sudah menjadi isu rasis kerana keengganan sesetengah pihak menjadikan bahasa ini sebagai bahasa penting dalam pendidikan mereka.

Malah di SRJK Cina terdapat kemasukan yang agak besar pelajar-pelajar Melayu yang orientasinya sudah tentu berbeza dengan sekolah aliran perdana dalam penggunaan bahasa Melayu. Ribuan murid Melayu akan menerima orientasi pendidikan yang berbeza.

Ini yang menyebabkan dalam persidangan UMNO di peringkat bahagian baru-baru ini desakan supaya sekolah vernakular dihapuskan malah sudah ada cadangan supaya ianya dijadikan agenda perbincangan dalam Mesyuarat Agung UMNO November nanti.

Isu bahasa adalah isu sensitif. Pada hemat penulis tidak salah mempelajari bahasa ibunda masing-masing. Ianya baik bagi Malaysia. Tetapi memandang remeh terhadap kepentingan memartabat bahasa Melayu dalam sistem pendidikan ianya melanggar peruntukan Perkara 152 dalam Perlembagaan negara.

Tentu ada justifikasi mengapa bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia.

Setelah 57 kita merdeka daya pengucapan di kalangan rakyat terhadap bahasa Melayu masih rendah.

Penggunaan bahasa Melayu menamakan taman-taman dan projek perumahan serta perniagaan ternyata semakin merosot. Tidak saja nama-nama asing digunakan secara berleluasa tetapi ia tidak menggambarkan imej Malaysia yang merdeka. Imej-imej asing sangat terserlah dan menyilau mata memandang. Apakah ini akibat kelemahan dasar bahasa yang ada atau kelemahan di tahap penguatkuasaan?

Amat diharapkan dengan kempen Bulan Bahasa Kebangsaan yang sedang berjalan, Kementerian Pelajaran lebih agresif dan tegas dengan usaha memartabat bahasa Melayu supaya ia dihayati dan diamalkan oleh setiap warganegara.

Begitu juga Kementerian Perumahan, Pejabat Pendaftaran Syarikat, Dewan Bandaraya, Majlis Berkuasa Tempatan harus peka dan insaf bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Tanpa kesedaran dan keinsafan yang mendalam terhadap bahasa Melayu, ianya bakal terpinggir, imej-imej asing dan menyilaukan bakal tertampil dan bahasa Melayu tidak akan ke mana-mana. Ianya adalah suatu malapetaka dalam pelaksanaan dasar utama negara. JENDELA TOK KI Utusan/Rencana/20141007

Tags: bahasa, melayu
Subscribe

  • Kisoh Igak Ikang

    Doh wak gane ni orrrkk , kisoh petang ning lepah ' minung bir' .... bace deh ... kawang daghi ganu ato ... jangang maghoh ke ambe plok ...…

  • Kursus Bahasa Untuk Penerbangan ~ Loghat Perthliess (Abi)

    Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Sat lagi kita nak mendaghat di Lapangian Teghebiang Cupin Tali pinggiang tu tulung pakai takut nye pelantin pi depan sat…

  • History of the Old Melake

    Soalan KBAT atau Higher Order Thinking Skills Malayan Examination Chong worried over emphasis on exam results JERANTUT: An education system that…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments