kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Langkah tingkat kualiti graduan tempatan

KEPUTUSAN kerajaan mewajibkan setiap pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lulus kursus bahasa Inggeris sebelum menamatkan pengajian di universiti masing-masing wajar dilihat dalam konteks positif demi keperluan tenaga kerja profesional dalam memacu kecemerlangan dan kemajuan negara kita. Langkah ini dilihat mampu melahirkan graduan tempatan yang berkuali­ti tinggi terutamanya dari segi kemahiran dan kemampuan berkomunikasi dengan baik dalam bahasa antarabangsa itu.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyi­d­din Yassin yang juga Menteri Pendidikan ketika mengumumkan keputusan itu berkata, dasar baharu yang akan dilaksanakan berkenaan telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak demi melahirkan graduan bertaraf antarabangsa dan mampu berkomunikasi secara berkesan. Tambahnya, dasar berkenaan seharusnya tidak menjadi beban kepada pelajar IPTA kerana sistem pendidikan di Malaysia telah menerapkan pem­belajaran bahasa Inggeris sejak sekolah rendah sehinggalah ke tingkatan enam dan peringkat matrikulasi.

Isu pengangguran dan kegagalan graduan tempatan terutamanya Melayu mendapat peluang pekerjaan yang baik di sektor swasta sering menjadi topik perbualan hangat dalam. Pelbagai faktor digariskan sebagai punca perkara ini terjadi antaranya kelemahan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Kita juga sering mendengar maklum balas dan keluhan daripada pihak majikan terutamanya sektor swasta betapa gradu­an tempatan terutamanya aduan graduan Melayu masih lemah dalam kemahiran berbahasa Inggeris yang mengakibatkan mereka gagal bersaing dalam perebutan jawatan kosong yang ditawarkan.

Ini ditambah pula dengan senario saban tahun bilangan graduan yang dihasilkan oleh 20 IPTA tempatan semakin bertambah di sam­ping graduan dari IPT swasta. Akibatnya persaingan untuk sesuatu jawatan di sektor awam mahupun swasta semakin rancak dan hebat. Jika keadaan ini berterusan maka jumlah graduan menganggur juga dikhuatiri terus meningkat.

Kajian demi kajian oleh pelbagai agensi berkaitan kualiti graduan IPTA membuktikan masih ramai yang lemah bahasa Inggeris walaupun mereka mempelajarinya sejak di sekolah rendah lagi. Ia juga sering diangkat sebagai antara punca kegagalan graduan memperoleh pekerjaan setelah tamat pengajian masing-masing.

Menurut kajian Jobstreet.Com antara masalah utama graduan ialah lemah dalam berbahasa Inggeris selain memiliki personaliti serta sikap yang kurang baik, tidak ada kemahir­an yang diperlukan oleh majikan serta tidak mahir menyelesaikan sesuatu masalah. Jelas bahasa Inggeris menjadi penghalang utama menambat hati majikan terutamanya ketika sesi penilaian dan temuduga.

Kita perlu terima hakikat bahawa graduan tempatan tidak boleh lari daripada keperluan untuk menguasai bahasa ini demi masa depan mereka dan negara.

Justeru pelajar IPTA perlu menyambut baik keputusan kerajaan ini dan tidak melihatnya sebagai satu bebanan baharu kepada mereka. Penulis yang berada dalam persekitar­an kampus mengakui betapa pelajar terutamanya Melayu masih terlalu lemah dalam aspek berbahasa Inggeris sekali gus menyebabkan tahap keyakinan mereka merudum berbanding pelajar yang fasih dalam bahasa itu. Maka pelajar Melayu wajar menyahut cabaran dan mengambil peluang ini untuk menguasai bahasa antarabangsa ini secara serius supaya dapat terus bersaing bukan hanya di peringkat nasional bahkan antarabangsa.

Keputusan kerajaan ini patut membuka mata dan minda mereka agar segera meng­ubah sikap dan persepsi terhadap bahasa Inggeris. Buang jauh-jauh sikap malu yang selama ini menjadi penghalang untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris baik di dewan kuliah mahupun dengan rakan-rakan.

Pada masa sama, masyarakat terutama­nya ibu bapa perlu lebih prihatin tentang nasib masa depan anak-anak mereka de­ngan menyokong keputusan kerajaan ini sepenuhnya. Hal ini kerana dasar baharu ini bakal melahirkan graduan berkualiti yang diperlukan oleh majikan dan negara kelak.

Kita juga yakin keputusan ini tidak akan mengganggu mahupun mengancam usaha untuk terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Malah ianya selari dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa lnggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan sebelum ini.

Maka segala rasa curiga perlu dielakkan sebaliknya berilah sokongan padu kepada anak-anak kita untuk menguasai bahasa Inggeris secara serius sebelum melangkah keluar dari alam kampus.

Pelajar IPTA perlu menggunakan sepenuhnya tempoh di kampus untuk belajar dan menguasai bahasa Inggeris. Pihak IPTA pula perlu merangka silibus yang sesuai dan menarik supaya dapat membekalkan graduan tempatan dengan kemahiran komunikasi bahasa Inggeris yang berkualiti tinggi.

Walau apapun inisiatif kerajaan atau usaha pihak IPTA, kejayaan mahupun kegagalan dasar baharu ini masih bergantung kepada sikap para pelajar itu sendiri.

Sampai bila kita mahu mengamalkan budaya spoon feeding yang jelas mengikis ciri-ciri jati diri dan keyakinan pelajar?

Pelajar perlu menggunakan peluang yang disediakan ini sebaik mungkin supaya tidak menyesal di kemudian hari terutamanya setelah bergelar graduan kelak.

Sedarlah bahawa pasaran kerja pada masa depan cukup mencabar dan menuntut graduan memiliki kemahiran insaniah yang hebat.

Semoga inisiatif baru kerajaan ini dapat membantu memperkasa kualiti graduan yang dikeluarkan oleh IPTA tempatan.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia. Utusan/Rencana/20141008

Tags: graduan, ipta, kualiti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments