"Biar betul ini,'' kata rakan saya itu berulang kali.
Menurut laporan berita berkenaan, purata gaji permulaan sebanyak itu sudah cukup dan munasabah untuk siswazah yang baharu memasuki alam pekerjaan.
Ini kerana, kata beberapa pakar ekonomi dan pengurusan kewangan di negara ini, pihak majikan mengambil 'risiko dengan menggaji mereka' yang tidak mempunyai pengalaman bekerja.
Jumlah itu cukup, kata pakar-pakar tersebut, sekiranya mereka mengamalkan pengurusan wang yang bijak selain 'mengukur baju di badan sendiri'.
Kenyataan itu merujuk kepada tinjauan ke atas pencari kerja atas talian 'Jobstreet' baru-baru ini yang mendapati mereka yang baharu menerima ijazah berpendapat purata RM2,500 adalah tidak mencukupi dan 77 peratus daripada 2,062 responden menyatakan tidak berpeluang menabung selepas berbelanja untuk kepentingan asas.
Sementara itu, 60 peratus responden menjangkakan gaji pekerjaan pertama sebanyak RM3,500, sebanyak 30 peratus menjangkakan RM6,500 manakala 66 peratus majikan memaklumkan kesediaan menawarkan gaji antara RM2,500-RM2,800 bergantung kepada kelayakan.
"Duduk di kampung bolehlah. Di Kuala Lumpur peritlah dengan gaji sebanyak itu. Jangan kata mahu menyimpan, hendak tunggu gaji cukup bulan pun macam tinggal separuh nyawa!''
Itu kata rakan saya yang telah lama bekerja dan gaji melebihi RM5,000. Inikan pula yang mendapat RM2,500 atau kurang daripada jumlah itu.
Perkiraan pakar-pakar ini gaji RM2,500 itu adalah cukup kalau mereka yang baharu bekerja ini mengambil beberapa pendekatan berjimat. Mereka dicadangkan supaya naik bas ke tempat kerja, jangan beli kenderaan dulu dan menyewa bilik atau rumah yang berdekatan dengan pejabat.
Dengan cara ini, boleh menabung sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan bulanan mereka.
Bagaimanapun bagi saya, ini semua memerlukan disiplin, kesabaran dan kemahuan menabung yang tinggi. Betullah, jika hidup di Kuala Lumpur atau di bandar-bandar besar lain dengan gaji sebanyak itu memang perit.
Disuruh berjimat dalam keperitan ini, bagi sesiapa yang mengalaminya sudah tentu tidak tahu hendak berjimat macam mana lagi. Bercakap berdasarkan teori semata-mata dan memberi motivasi memanglah mudah, tetapi tidak semudah untuk melaksanakannya.
Gaji RM2,500 itu tentunya jika ditolak potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pinjaman pendidikan, belanja makan atau duit dapur, sewa rumah atau bilik, tambang bas atau tren LRT, petrol dan tol bagi yang mempunyai kenderaan, bil elektrik, air, Astro, telefon dan hendak beri kepada keluarga yang susah di kampung, entah berapalah yang boleh disimpan. Silap-silap mungkin tiada berbaki.
Itu juga belum termasuk perbelanjaan luar jangka seperti kenderaan rosak bagi yang mempunyai kenderaan, mendapatkan rawatan di klinik bila sakit dan kadangkala terpaksa mengeluar duit untuk membelanja keluarga atau kawan-kawan sekali-sekala, membeli hadiah dan macam-macam lagi yang tidak ada dalam perbelanjaan bulanan tetap.
Hakikatnya, berapa ramaikah di antara kita yang boleh duduk diam-diam di rumah saja bila habis waktu kerja atau pada waktu cuti?
Sesekali hendak juga makan di luar, tengok wayang dan sebagainya. Ini yang saya katakan perlukan kesabaran yang tinggi.
Kalau hendak menyewa di Kuala Lumpur ini, mana ada bilik yang boleh disewa RM300 ke bawah sebulan, kalau rumah pula jangan ceritalah. Semua RM1,000 lebih ke atas. Itu pun pangsapuri atau flat.
Dan kebanyakan yang membeli kenderaan sendiri, kereta atau motor bukan untuk membuatkan mereka nampak 'cool' atau bergaya sangat pun. Ini kerana mereka mahu memudahkan lagi kerja. Ada kenderaan sendiri terutamanya motor, boleh sampai awal ke tempat kerja. Dan ada kerja-kerja yang memerlukan mereka ada kenderaan sendiri. Cepat dan senang bergerak ke sana sini.
Tidak semua pejabat berhampiran dengan kemudahan pengangkutan awam. Ramai yang kena berjalan jauh keluar. Jika balik malam sedikit mulalah kecut perut. Takut diragut, paling tidak pun takut dikejar anjing dan macam-macam lagi. Sistem pengangkutan awam kita pun bukan tepat pada waktunya. Adakalanya tergelincir. Lebih-lebih lagi pada waktu puncak dan hari hujan.
Dalam kos sara hidup yang meningkat, meminta orang ramai berjimat tentulah sukar dan boleh saja mengundang kemarahan. Ini adalah realitinya.
Dan begitu juga mengharapkan orang ramai menabung dengan gaji yang dikatakan sudah cukup munasabah tetapi sebenarnya tidak cukup kerana membayar perkara-perkara asas setiap bulan. Sebab itu, ada orang mengatakan ukuran gaji yang cukup adalah baki yang tinggal, bukan jumlah gaji yang diterima walaupun tinggi! Fauziah Arof Utusan/Rencana/20141008