kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Peralihan minda dan Bajet 2015

KETIKA ini, penjawat-penjawat awam di Kementerian Kewangan sedang bertungkus lumus menyiapkan Bajet 2015. Saya difahamkan bahawa mereka sentiasa mengadakan mesyuarat pada waktu malam. Begitulah dedikasinya penjawat-penjawat awam di Malaysia. Jarang sekali dedikasi dan kerja kuat mereka diuar-uarkan kepada orang ramai. Yang selalu kita dengar sikap sambil lewa mereka sedangkan sikap sambil lewa ini juga berlaku dalam sektor swasta.

Sebenarnya, hanya segelintir sahaja penjawat awam bersikap sebegitu. Kebanyakannya bekerja tidak kira masa. Bayangkan kalau penjawat awam tidak bertungkus lumus bekerja mana mungkin sektor swasta dapat menjalankan perniagaan dengan cekap.

Bercakap mengenai kecekapan, saya cukup tertarik dengan titah ucaptama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada majlis perasmian Forum Khazanah Megatrends 2015 di Kuala Lumpur pada 29 September lalu. Baginda bertitah mengenai penerokaan sempadan kecekapan. Paradigma baharu yang dirungkaikan oleh baginda merupakan satu peralihan minda demi kelangsungan masa hadapan Malaysia.

Peralihan minda dan Bajet 2015


SEBAHAGIAN orang ramai melihat kerosakan kereta mereka selepas hujan lebat melanda ibu kota di Jalan Pinang, Kuala Lumpur pada petang 1 Oktober lalu. Difahamkan lebih 100 buah kenderaan rosak akibat ditenggelami banjir kilat ini.

Paradigma baharu ini perlu diterapkan dalam pelaksanaan Bajet 2015. Ramai penganalisis ekonomi yang telah memberi pandangan mengenai insentif-insentif yang bakal diumumkan oleh kerajaan pada pembentangan Bajet 2015, Jumaat ini. Namun, amat kurang yang menitikberatkan komponen kecekapan dalam pelaksanaan bajet-bajet kerajaan yang dibentangkan pada setiap tahun sedangkan ia cukup penting buat negara dan rakyat Malaysia.

Sultan Nazrin menitahkan bahawa paradigma pengeluaran perlu dialihkan kepada pemeliharaan. Dalam konteks ini, bajet-bajet kerajaan yang sinonim dengan pelbagai buah tangan yang akan diumumkan untuk pembangunan negara tidak harus hanya dipandang sebagai 'kilang' untuk menandakan Malaysia ini semakin maju mengikut acuan kemodenan sedangkan meminggirkan kelestarian alam sekitar yang merupakan sebahagian dalam kehidupan manusia.

Di sini, pembangunan berterusan tanpa diurus dengan baik akan menyebabkan pelbagai bencana bakal dihadapi rakyat pada masa akan datang. Sebab itulah titah Sultan Nazrin bahawa keputusan untuk mengekalkan sesuatu itu juga satu tanda kemajuan. Nilai-nilai berhemah dan perlindungan mampu memelihara khazanah sedia ada daripada pupus ditelan arus kemodenan. Sememangnya dalam Model Baharu Ekonomi (MBE) menekankan aspek kemampanan.

Dalam konteks ini, kemampanan bukan setakat kemampanan meliputi kedudukan kewangan negara dan rakyat tetapi juga kelestarian alam sekitar supaya tidak berlaku bencana besar seperti banjir dan tanah runtuh akibat kerakusan manusia menghapuskan pasak-pasak bumi yang sememangnya cukup penting untuk kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

Sudah banyak contoh, pembangunan secara besar-besaran tanpa diurus dengan baik menyebabkan banjir kilat. Tidak cukup dengan itu, pembangunan menyebabkan keadaan alam sekitar sudah tidak lagi menjadi 'kawan' kepada manusia tetapi berubah menjadi musuh yang menghimpit kehidupan rakyat. Bajet 2015 yang merupakan belanjawan tahunan jangka masa pendek perlu menitikberatkan elemen pemeliharaan seperti memberi insentif besar kepada teknologi hijau dan mengekalkan alam sekitar sedia ada. Apalah gunanya erti kemajuan dan wang ringgit jika kehidupan dan keselesaan rakyat tergugat sama sekali dek kerana pembangunan yang tidak terkawal telah merosakkan alam sekitar yang sedia ada yang selama ini cukup penting buat manusia.

Sultan Nazrin juga ada menitahkan agar meninggalkan idea pemaksimuman kepada memartabatkan etos pengoptimuman. Ini kerana menurut baginda, pengotimuman menyumbang kepada daya maju yang mampan dalam ekosistem ekonomi. Dalam konteks ini, keupayaan jangka panjang dengan melibatkan pelaburan lebih tinggi adalah aspek yang akan mengoptimumkan keupayaan negara.

Bajet 2015 perlu mengoptimumkan sumber-sumber yang ada dalam negara seperti mengoptimumkan keupayaan modal insan kerana ia merupakan sumber terpenting dalam mengoptimumkan kecekapan negara. Pelaburan dalam modal insan dengan memperkasakan generasi muda agar lebih inovatif, kreatif dan mampu berfikir pada aras tinggi tanpa meminggirkan akhlak, etika dan moral bakal mengubah ekonomi Malaysia ke arah produktiviti berskala tinggi.

Harapan negara banyak bergantung kepada keupayaan generasi muda yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang. Keupayaan mereka perlu dioptimumkan agar berdaya saing bukan setakat di dalam Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa. Inilah cabaran yang perlu diambil kira dalam Bajet 2015. Lebih-lebih lagi pada tahun depan, Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) bakal dilaksanakan yang merupakan RMK yang terakhir sebelum Malaysia bergelar negara maju pada tahun 2020. Maka, untuk memastikan kemampanan dan kelestarian ekosistem ekonomi Malaysia, keupayaan generasi muda perlu dioptimumkan.

Paradigma terakhir yang dititahkan oleh Sultan Perak iaitu peralihan paradigma pemilikan sumber kepada penyeliaan sumber berkenaan. Dalam hal ini, paradigma yang menyatakan manusia itu pemilik atau pengawal mutlak sumber perlu ditinggalkan. Perlu diingat, setiap generasi akan diganti oleh generasi lain. Oleh itu, setiap tindakan yang dilakukan oleh generasi semasa dalam menggunakan sumber yang ada akan memberi kesan terhadap generasi akan datang. Paradigma baharu yang menekankan bahawa manusia hanyalah sekadar penyelia atau pemegang amanah akan mengubah manusia ke arah lebih bertanggungjawab dalam mengekalkan sumber tersebut dan pada masa sama meningkatkan lagi keupayaan sumber itu pada tahap paling optimum.

Mengambil kira Bajet 2015 yang cukup penting buat rakyat Malaysia, pelaksanaannya perlu berlaku dalam keadaan yang cekap dan berkesan agar setiap rakyat Malaysia dapat merasainya. Penjawat-penjawat awam yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya sewajarnya menyelia Bajet 2015 dengan cara sebaik mungkin dan bukannya menyatakan itu adalah hak mereka. Penyeliaan yang baik akan mengurangkan sebarang ketirisan, pembaziran, penyelewengan dan rasuah.

Tiada erti Bajet 2015 yang disiapkan oleh penjawat-penjawat awam yang cukup berdedikasi di Kementerian Kewangan, tetapi pelaksanaannya berakhir tanpa mencapai objektif sebenar dalam memberi kesejahteraan kepada rakyat Malaysia. Justeru, sebagaimana yang dititahkan oleh Sultan Nazrin, ketiga-tiga paradigma ini berbaloi untuk dijulang serta dijayakan. Maka, dalam konteks ini, ia amat sesuai dijayakan dalam Bajet 2015 bagi merealisasikan Bajet 2015 berbaloi buat rakyat Malaysia.

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia Utusan/Rencana/20141008

Tags: minda
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments