Rungutan dan keluhan hati rakyat barangkali turut dirasai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan dalam merangka Bajet 2015 bersama pasukannya.
Isu menangani peningkatan kos sara hidup jelas menjadi fokus utama Bajet 2015. Ia sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam menangani keperluan 28.7 peratus penduduk berpendapatan kurang RM3,000 sebulan. Ini bererti lebih dua juta daripada tujuh juta isi rumah akan mendapat pelbagai kemudahan yang tentunya melalui agihan dana kerajaan secara lebih adil dan kompetitif dengan persekitaran ekonomi semasa.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim langkah rasionalisasi subsidi minyak yang dilaksanakan baru-baru ini akan membolehkan kerajaan menjimatkan RM3 bilion dan sudah tentu hasil penjimatan ini akan dipulangkan kepada golongan sasaran supaya mereka lebih terbela dalam mendepani cabaran kos sara hidup pada tahun hadapan.
Katanya sama ada disalirkan secara tunai melalui BR1M, bantuan wang persekolahan atau pelbagai bantuan yang lain, namun secara relatifnya sudah tentu hasil rasionalisasi ini pasti dipulangkan kepada golongan berpendapatan RM3,000 ke bawah.
"Pada waktu ini pembangkang memainkan isu bebanan berikutan kenaikan harga minyak di pasaran namun mereka tidak melihat subsidi ini sebenarnya lebih banyak dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi," katanya.
Justeru, adalah wajar rakyat menghargai langkah yang diumumkan Perdana Menteri dalam memastikan pengumuman Bajet 2015 bersifat rakyat didahulukan.
Berhubung dengan pelaburan jangka panjang, Irmohizam berkata, pelaburan kerajaan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sebelum ini dikritik telah diperjelaskan sebagai pelaburan strategik bagi memastikan Malaysia terus kompetitif dalam penyediaan prasarana pelaburan masa depan yang berkaitan dengan sasaran berimpak tinggi.
"Kerajaan akan memastikan kaedah pengurusan ekonomi jangka pendek dan panjang dikekalkan bagi memastikan kita berada di landasan yang tepat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020," katanya.
Menurut Irmohizam, pendekatan Bajet 2015 adalah bersifat jangka panjang dan strategik terhadap penyediaan prasarana pelaburan khusus bagi menarik dana asing memasuki pasaran tempatan sesuai dengan fokus ekonomi jangka panjang.
Sebagai tanda golongan berpendapatan rendah turut mendapat tempat istimewa dalam bajet kali ini, kerajaan terus memberikan keutamaan yang sangat luar biasa kepada semua peringkat masyarakat sama ada di bandar, luar bandar dan desa.
Selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Irmohizam berkata, Perdana Menteri juga cukup prihatin mengutamakan kebajikan dan pembangunan ekonomi nelayan yang senantiasa menghadapi pelbagai cabaran hidup. Di samping menaikkan elaun sara hidup nelayan Zon A kepada RM300 daripada RM200 sebulan, buat julung-julung kalinya nelayan darat juga diberikan elaun RM200 sebulan yang melibatkan lebih 44,000 nelayan.
Di samping itu Projek Khas Perumahan Nelayan dapat perhatian iaitu membaik pulih dan membina rumah nelayan yang mana ini juga antara rintihan golongan nelayan yang ingin penghidupan tempat tinggal mereka dipertingkatkan.
Di samping itu golongan berpendapatan rendah turut mendapat tempat istimewa dalam bajet kali ini dan dijangka kekal memberi tumpuan kepada penambahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sejajar dengan keperluan hampir 180,000 warga kota yang berada dalam senarai menanti.
"Pada masa ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hanya mampu menyediakan sekitar 3,000 unit rumah setahun untuk PPR dan sudah tentu kerajaan akan berusaha menggandakan binaan unit rumah ini demi kesejahteraan rakyat terutama penduduk di bandar," kata Irmohizam yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia.
Bajet kali ini juga memperlihatkan kesungguhan kepimpinan negara memperjuangkan penghidupan generasi muda yang dihimpit dengan kos taraf hidup yang semakin meningkat. Pengumuman Pelan Transformasi Belia Negara dan Skim Perumahan Belia atau Youth Housing Scheme antara langkah proaktif kerajaan dalam memastikan golongan muda di Malaysia senantiasa mendapat pembelaan di mata kerajaan.
"Dengan wujudnya langkah-langkah afirmatif untuk membantu generasi muda, sesungguhnya perbandingan boleh dilakukan dengan apa yang dinyatakan oleh Bajet Pakatan Pembangkang. Seperkara yang menarik perhatian saya ialah bajet yang diumumkan juga memperlihatkan banyak elemen Islamik ditekankan yang mana Perdana Menteri kali ini dilihat tidak menggunakan elemen menaikkan cukai arak dan rokok untuk digunakan bagi memberikan bantuan kebajikan kepada rakyat," jelas Exco 1M4U itu.
Memahami keperluan sektor awam
Tumpuan bajet pada setiap tahun pastinya terhadap apa yang penjawat sektor awam dapat. Pada pengamatan penganalisis ekonomi Rohami Shafie, penjawat awam mendapat insentif apabila kerajaan menambah baik 252 skim perkhidmatan awam. Sebelum ini kerajaan telah menambah baik 81 skim perkhidmatan awam.
Bagaimanapun Rohami mengamati dalam Bajet 2015 ini tidak diperincikan bagaimana 252 skim perkhidmatan awam ini ditambah baik. Adakah gaji dan elaun akan dikaji semula? Atau syarat kemasukan ke dalam skim perkhidmatan awam berkenaan dipertingkatkan?
"Walau apa pun tindakan yang akan dilakukan nanti, diharapkan penambahbaikan ini benar-benar dirasai oleh penjawat awam. Pada masa yang sama, skim yang terbaik boleh menarik minat rakyat Malaysia yang cekap, komitmen tinggi, bijaksana, akhlak tinggi, berkebolehan, berkemahiran dan berpengetahuan tinggi untuk memasuki perkhidmatan awam.
"Perkhidmatan awam memerlukan rakyat Malaysia yang terbaik untuk memacu ekonomi negara ke arah ekonomi berpengetahuan tinggi," kata Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia itu.
Beliau turut teruja dengan persetujuan kerajaan untuk menaikkan had kelayakan pinjaman perumahan kerajaan minimum daripada RM80,000 kepada RM120,000 dan had kelayakan pinjaman perumahan kerajaan maksimum daripada RM450,000 kepada RM600,000.
"Dengan kenaikan had kelayakan pinjaman perumahan ini, penjawat awam mampu membeli rumah yang rata-ratanya harga rumah telah meningkat dengan begitu tinggi sekali. Fenomena kenaikan harga rumah ini berlaku di seluruh negara dan paling ketara di negeri dan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Jika berasaskan had yang sedia ada, penjawat awam sudah tentu sukar untuk mencari dan membeli rumah yang berharga dalam lingkungan kelayakan mereka," katanya.
Rohami turut mengulas langkah Pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M dengan jumlah yang lebih banyak iaitu 10,639 buah rumah dalam membantu penjawat awam memiliki rumah. Bahkan, syarat kelayakan pendapatan isi rumah untuk membeli rumah berkenaan juga ditingkatkan dalam Bajet 2015 daripada RM8,000 kepada RM10,000.
Harga rumah minimum juga diturunkan daripada RM150,000 kepada hanya RM90,000 sebuah dengan keluasan lantai minimum 850 kaki persegi. Dengan itu, lebih ramai akan mampu membeli rumah PPA1M, kata beliau.
Menurut Rohami, Bajet 2015 tidak lupa menitikberatkan kebajikan anggota keselamatan yang terdedah dengan bahaya jenayah dan keselamatan diri. Sejak akhir-akhir ini pelbagai jenayah telah berlaku di Malaysia. Pengeboman di Bukit Bintang beberapa hari lalu menunjukkan betapa pentingnya keselamatan awam dan dengan ini anggota keselamatan perlu dilengkapi dengan peralatan berteknologi terkini dan pada masa yang sama kebajikan mereka dijaga agar mereka sentiasa berada dalam keadaan terbaik dalam menangani sebarang kes jenayah.
Sektor Swasta dilupakan?
Bajet kali ini dilihat oleh Prof. Madya Dr. Mohammad Ismail turut memberi pelbagai insentif dan goodies kepada sektor swasta. Dari segi aspek percukaian, kesan langsung pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan memberi manfaat bukan sahaja pekerja swasta tetapi juga penjawat awam iaitu pengurangan cukai.
"Ini diterjemahkan melalui strategi kedua iaitu memantap tadbir urus fiskal. Manfaat bakal dinikmati oleh 300,000 orang pembayar cukai yang tidak perlu lagi membayar dengan pengurangan 1-3 mata peratusan. Manakala, golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai.
"Penstrukturan semula cukai juga memberi penjimatan kepada pembayar cukai yang akan menikmati penjimatan bayaran cukai sekurang-kurangnya sebanyak 5.3 peratus. Cukai pendapatan individu akan distruktur semula dengan pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi RM100,000 kepada melebihi RM400,000.
"Kadar cukai maksimum yang kini 26 peratus pula, dikurangkan kepada 24 peratus, 24.5 peratus dan 25 peratus," kata Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan itu.
Bajet 2015 yang disifatkan sebagai 'Bajet legakan rakyat' sudah tentu dapat meredakan dan melegakan rakyat dengan insentif dan pelepasan cukai yang diumumkan. "Walau bagaimanapun kita masih menantikan mekanisme baru pemberian subsidi petroleum yang akan diumumkan agar benar-benar dapat 'melegakan' rakyat.
"Kita amat mengharapkan agar usaha berterusan daripada kerajaan untuk memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikan harga barangan keperluan. Bajet tidak akan memberi makna atau melegakan rakyat seandainya disusuli dengan kenaikan harga barang. Rakyat akan berasa 'lega' sekiranya kos sara hidup mereka tidak terbeban," kata Mohammad. Azman Anuar Uutusan/Rencana/20141012