Sebagai negara yang menuju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kewangan negara tidak boleh sesekali diurus dengan semberono dan membazir. Tetapi ini tidak bermaksud permintaan rakyat dipinggirkan begitu sahaja. Cuma untuk memenuhi kesemua permintaan rakyat sudah tentulah sukar dilakukan dengan mengambil kira sumber kewangan negara juga bersifat terhad dan ia perlu diagihkan secara saksama.
Walau bagaimanapun Bajet 2015 tetap mempunyai keistimewaannya tersendiri yang mana ia telah menjawab segala keresahan rakyat Malaysia yang dihimpit dengan pelbagai isu ekonomi.
Pokoknya, Bajet 2015 diperincikan bagi mengetuk pintu-pintu rumah setiap rakyat di negara ini. Isu-isu ekonomi yang berpaksikan keperluan rakyat menjadi intipati utama Bajet 2015. Melalui tujuh strategi yang dirangka dengan begitu teliti sekali, isu-isu ekonomi keperluan rakyat seperti peluang pekerjaan dan keusahawanan, pendidikan, kos sara hidup, perumahan, kebajikan dan keselamatan awam diambil kira.
Bagi aspek peluang pekerjaan dan keusahawanan, Bajet 2015 dirangka untuk menyediakan suasana kondusif untuk merancakkan dan memperkukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi dengan cara meningkatkan lagi pelaburan domestik dan asing.
Sebanyak 14 tindakan digariskan di bawah strategi pertama dalam Bajet 2015 bagi meningkatkan lagi pelaburan domestik dan asing. Melalui peningkatan pelaburan domestik dan asing, peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia juga akan bertambah.
Kerajaan juga mengambil kira aspek keusahawanan sebagaimana diperincikan dalam strategi ketiga. Misalnya, latihan kemahiran akan dipertingkatkan melibatkan institusi latihan kemahiran Jabatan Tenaga Kerja. Begitu juga, peruntukan RM300 juta diperuntukkan bagi melatih seramai 30,000 pekerja. Tidak cukup dengan itu, suasana kondusif diwujudkan bagi menjadikan Malaysia sebagai hab syarikat permulaan.
Bagi isu pendidikan, jelas sekali Bajet 2015 menitikberatkan hal ini sebagaimana digariskan dalam strategi ketiga. Antara tindakan yang akan dilaksanakan ialah memantapkan profesionalisme pengurusan dan prestasi sekolah dengan memperuntukkan RM250 juta bagi menjayakan program Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah dan program Rakan Peningkatan Sekolah. Bahkan, kerajaan juga berusaha meletakkan pendidikan teknikal dan vokasional sebagai pendidikan yang cukup penting buat negara. Untuk itu, dana RM100 juta diperuntukkan bagi menempatkan 10,000 pelajar di kolej teknikal dan vokasional swasta.
Untuk memastikan beban rakyat dapat diringankan dalam suasana kos sara hidup yang semakin tinggi, intipati Bajet 2015 di bawah strategi ketujuh iaitu mensejahterakan rakyat menggariskan tindakan dalam menangani isu ini. Ada di antara tindakan di bawah strategi ketujuh ini dikekalkan sebagaimana Bajet 2014 seperti bantuan persekolahan dan Program Baucar Buku 1Malaysia (BB1M). Bagi Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), jumlah bantuan dipertingkatkan lagi selari dengan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kemampuan kewangan kerajaan.
Tidak terkecuali, bantuan untuk nelayan juga diberikan keutamaan seperti menaikkan elaun sara hidup nelayan bagi kesemua Zon A, B dan C. Malah, buat pertama kalinya, nelayan darat diberikan elaun sebanyak RM200 sebulan. Begitu juga, kerajaan menyediakan subsidi padi bagi memperkukuhkan rantaian bekalan makanan di Sabah dan Sarawak. Kerajaan juga akan membina Lebuh Raya Pan Borneo yang akan memberi manfaat besar kepada penduduk Sarawak dan Sabah.
Selain strategi ketujuh, strategi kedua juga memperincikan mengenai pengurangan cukai pendapatan individu bagi tahun taksiran 2015. Pengurangan cukai pendapatan individu dari satu peratus sehingga tiga peratus sedikit sebanyak membantu rakyat Malaysia meningkatkan lagi lebihan wang di tangan tatkala GST dilaksanakan bermula 1 April 2015. Struktur baharu cukai pendapatan individu juga mengambil kira beban rakyat dalam mengharungi kos sara hidup yang semakin tinggi. Kerajaan juga telah mengumumkan senarai baharu bagi barangan yang tidak dikenakan GST.
Bagi memastikan rakyat Malaysia memiliki rumah, Bajet 2015 memperincikan program-program pemilikan rumah seperti skim perumahan belia, perumahan rakyat 1Malaysia (PR1MA), Program Perumahan Rakyat, skim Rumah Pertamaku, Rumah Mesra Rakyat dan Rumah Idaman Rakyat. Isu perumahan ini amat dititikberatkan kerana ia paling banyak diperkatakan selain isu kos sara hidup rakyat. Dalam hal ini, kerajaan juga bersetuju memperuntukkan dana penyelenggaraan sebanyak RM40 juta bagi menyelenggara perumahan kos rendah awam.
Bajet 2015 tidak lengkap jika tidak membicarakan hal ehwal keselamatan dan ketenteraman awam. Dalam konteks ini, sejumlah dana yang cukup besar diperuntukkan untuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Tujuannya bagi memastikan pengurangan kes jenayah jalanan, jenayah berat dan juga memastikan tiada lagi aktiviti pencerobohan pihak asing serta kejadian penculikan di kawasan perairan negara kita.
Secara keseluruhannya, Bajet 2015 cukup komprehensif dengan mengambil kira kebimbangan rakyat selama ini dalam pelbagai isu yang menghimpit mereka. Namun, tiada guna di atas kertas segala-galanya nampak cantik dan elok. Justeru, Bajet 2015 sewajarnya direalisasikan dengan cekap dan berkesan agar segala manfaat dapat melimpah ke kaki-kaki halaman rumah setiap rakyat Malaysia.
Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia Utusan/Rencana/20141013