kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bajet mengurangkan kos sara hidup

BAJET 2015, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu jelas mempamerkan kesungguhan kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.



ORANG ramai yang lalu-lalang di kaki lima di hadapan sebuah kedai elektrik di Kuala Lumpur memberikan tumpuan ketika mendengar ucapan pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, pada Jumaat lalu.

Kenaikan kos itu tidak dapat dielakkan berikutan Malaysia kini sedang dalam proses untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 yang akan menyaksikan kadar gaji dinaikkan, sekali gus akan menyebabkan kos barangan dan perkhidmatan turut naik.

Langkah kerajaan mengurangkan defisit negara dengan memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan melakukan rasionalisasi subsidi juga akan menyebabkan kos sara hidup meningkat terutama jika para peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berkali-kali ganda lebih tinggi berbanding kos sebenar ditanggung mereka.

Dalam masa sama, ketika memberi tumpuan membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, kerajaan juga tidak melupakan dasar-dasar proaktif untuk membantu golongan pemodal dan peniaga.

Bajet kali ini boleh disifatkan sebagai properniagaan apabila cukai korporat diturunkan sebagaimana dijanjikan dan pelbagai insentif diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk bagi membolehkannya melakukan automasi mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh yang ramai.

Dalam erti kata lain, bajet yang bertemakan 'Ekonomi Keperluan Rakyat' kekal mesra perniagaan dan pelabur dan dalam masa sama bersifat inklusif dengan mengambil kira kebimbangan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang terjejas akibat kenaikan kos sara hidup.

Dalam pada itu, antara yang paling disambut baik dalam bajet kali ini adalah langkah untuk mengecualikan lebih banyak barangan keperluan daripada GST seperti petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Turut dikecualikan daripada sistem percukaian baharu itu yang akan dilaksanakan mulai 1 April tahun depan adalah 2,900 jenama ubat untuk merawat 30 jenis penyakit termasuk sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, rawatan kesuburan dan kanser.

Produk lain yang dikecualikan GST termasuk semua jenis buah-buahan tempatan dan import, roti, kopi, teh, koko, tepung, mi, laksa, bihun, bahan bacaan untuk kanak-kanak, buku teks, buku rujukan, kamus, buku agama dan akhbar.

Bagi Timbalan Pengarah Unit Teknikal GST Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Mohd. Rozlan Mohamed Ali, pengecualian barangan terbabit bertujuan memastikan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak akan terbeban menerusi pelaksanaan sistem cukai baharu itu.

Beliau berkata, kesan positif lain daripada pelaksanaan GST adalah pematuhan cukai daripada penggiat industri akan lebih tinggi sekali gus menyokong peningkatan pendapatan kerajaan.

"Justeru, hasil kutipan cukai ini nanti boleh disalurkan kepada rakyat terutama dalam soal pembangunan, kesejahteraan dan kebajikan mereka," katanya.

Menurut beliau, sistem percukaian baharu yang bersifat cukai kepenggunaan itu juga mampu mendorong kestabilan ekonomi negara.

Mengulas itu sama, bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Tan Sri Zainal Rampak mencadangkan supaya barangan yang diberikan pelepasan GST dilabelkan secara jelas bagi mengelak orang ramai daripada teraniaya dan diperdaya peniaga.

"Saya mencadangkan agar barangan terutamanya keperluan harian yang tidak dikenakan GST ini ditandakan atau dilekatkan pelekat warna berbeza. Maka rakyat biasa dan golongan pekerja tahu bahawa barang ini tidak dikenakan GST," katanya.

Beliau berkata, langkah kerajaan mengecualikan GST untuk barangan keperluan dan perkhidmatan asas melegakan kebimbangan warga pekerja.

"Langkah ini sekali gus meyakinkan orang ramai khususnya warga pekerja dan golongan berpendapatan rendah bahawa pelaksanaan GST tidak membebankan mereka," ujarnya.

Sementara itu, kerajaan dilihat telah menunaikan janji apabila menyalurkan RM4.9 bilion daripada pendapatan GST kepada rakyat melalui pakej-pakej bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan memberi manfaat kepada tujuh juta orang.

Cukup menggembirakan kerana dalam bajet kali ini, Najib telah mengumumkan peningkatan bantuan BR1M dengan isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, kerajaan akan menaikkan bantuan daripada RM650 kepada RM950.

Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000, kerajaan akan meningkatkan kadar BR1M daripada RM450 kepada RM750.

Bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan pula, kadar BR1M dinaikkan daripada RM300 kepada RM350.

Mengulas berita baik itu, Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, biarpun menerima kritikan daripada banyak pihak, kerajaan tetap meneruskan bantuan itu tanpa mengenal sempadan politik dan kaum.

"Walaupun kritikan dilontar, kerajaan tetap meneruskan pemberian BR1M dan menaikkan lagi jumlahnya setiap tahun dan langkah itu wajar dipuji dalam usaha meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung masyarakat," katanya.

Beliau menyifatkan individu yang menerima BR1M dan kemudian mengkritik kerajaan adalah individu yang tidak bijak dan tidak rasional.

"Jika ada yang merasakan BR1M itu tidak bagus, jangan terima langsung bantuan itu kerana menerima sambil mengkritik bukan nilai murni dalam aspek kemanusiaan," katanya.

Selain pengecualian lebih banyak barangan daripada dikenakan GST dan peningkatan jumlah BR1M, bajet kali ini juga banyak memberikan berita gembira lain kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Antaranya, cukai pendapatan individu dikurangkan antara satu dan tiga mata peratusan tahun depan sekali gus menyebabkan 300,000 orang tidak perlu lagi membayar cukai itu.

Bagi tahun taksiran 2015, pembayar cukai yang berkeluarga dan berpendapatan RM4,000 sebulan juga tidak lagi mempunyai tanggungan cukai.

Selain itu, penggunaan elektrik yang tidak dikenakan GST akan dinaikkan daripada 200 unit kepada 300 unit yang akan memberi manfaat kepada 70 peratus isi rumah.



NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
Utusan/Rencana/20141013
©
Tags: ekonomi, kos, sara hidup
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments