kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Ranking penanda aras wujudkan universiti taraf dunia

Mengetahui kedudukan atau ranking universiti kita di peringkat antarabangsa sememangnya diakui penting terutama sebagai penanda aras untuk penambahbaikan dan bukannya dijadikan 'peluru' menghentam sistem pendidikan negara.

Menurut Pengarah Kanan Antarabangsa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Nordin Yahaya, dengan kedudukan atau ranking ini, setiap institusi pengajian tinggi (IPT) boleh mengukuhkan asas untuk memiliki ciri-ciri sebuah universiti bertaraf dunia.

"Untuk memenuhi ciri-ciri seperti penyelidikan, pengkomersialan, inovasi, pengantarabangsaan dan kepelbagaian tentunya mengambil masa namun tetap dilaksanakan dan terbukti berjaya menaikkan kedudukan universiti kita dalam ranking Quacquarelli Symonds (QS)," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Skudai, Johor baru-baru ini.

Buktinya, UTM melonjak 61 tangga daripada tempat 355 pada 2013 ke kedudukan 294 dalam ranking terbaru QS. Begitu juga dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang naik 10 tangga ke tempat 259 di belakang Universiti Malaya (UM) pada tangga 151.

Dua lagi universiti penyelidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) masing-masing berada di tangga 309 dan 376. Bagaimanapun, dalam satu lagi ranking oleh Times Higher Education (THE), universiti negara kita tidak tersenarai apabila UM dan UKM tidak menyerahkan data untuk dinilai.

Ketika ini, ada dua entiti berorientasikan perniagaan yang mengendalikan ranking universiti di peringkat global iaitu QS dan THE - kedua-duanya beroperasi di United Kingdom.

Oleh sebab kriteria yang diguna pakai dan jumlah responden yang terlibat berbeza, maka hasilnya juga tidak sama. Sebagai contoh, Massachusetts Institute of Technology (MIT), Amerika Syarikat nombor satu dalam QS tetapi di kedudukan keenam dalam THE manakala California Institute of Technology pula di tempat pertama THE, nombor lapan QS.

Di peringkat Asia, National University of Singapore berada di tangga ke-22 QS tetapi dalam THE, nombor 25 manakala Universiti Tokyo pula QS: 31 dan THE: 20.

QS menggunakan kriteria Reputasi Akademik (40%), Reputasi Majikan (10%), Nisbah Pelajar Terhadap Fakulti (20%), Sitasi Penyelidikan (20%), Nisbah Fakulti Antarabangsa (5%) dan Nisbah Pelajar Antarabangsa (5%).

Kriteria THE pula adalah Pengajaran (30%), Penyelidikan (30%), Sitasi atau Pengaruh Penyelidikan (30%), Pendapatan Industri (2.5%) dan Pengantarabangsaan (7.5%).

Sebagai satu perbandingan, responden QS melibatkan 63,700 ahli akademik dan 28,800 majikan dari seluruh dunia manakala THE pula berdasarkan 10,000 maklum balas terhadap kajian reputasi akademiknya.

Secara umumnya, jelas Nordin, penentuan ranking ini memberi kelebihan kepada universiti di negara-negara maju dan universiti yang sudah berusia lama dengan sejarah yang panjang.

"Namun begitu, negara yang kukuh ekonominya dengan bilangan penduduk yang kecil juga mempunyai kelebihan seperti Singapura dan Hong Kong. Kelebihannya adalah mereka boleh menyediakan peruntukan kewangan yang besar kepada dua atau tiga universiti sahaja berbanding Malaysia yang mempunyai 20 buah universiti awam termasuk lima universiti penyelidikan," katanya.

Tambah Nordin, era globalisasi turut memberi impak kepada mobiliti pelajar dan statistik terkini menunjukkan terdapat empat juta pelajar yang melanjutkan pengajian di luar dari negara asal mereka.

"Pelajar ini akan menjadikan ranking sebagai salah satu faktor penentu untuk memilih sesebuah universiti itu dan kita perlu memanfaatkan peluang tersebut bagi menarik mereka belajar di sini," tegasnya.

Dan yang lebih penting, kata Nordin, pembiaya pengajian sama ada syarikat korporat, kerajaan atau agensinya akan menggunakan ranking universiti sebagai salah satu kriteria sebelum meluluskan untuk memberi biasiswa atau pun pinjaman pelajaran.

Keberadaan universiti kita dalam ranking QS pastinya akan terus membuka ruang dan peluang untuk menarik pelajar dari seluruh dunia melanjutkan pengajian di sini sama ada di peringkat ijazah, sarjana mahupun doktor falsafah, selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi di rantau ini.   Azmy Mohamed pendidikan@utusan.com.my ialah Penolong Pengurus Unit Pendidikan Utusan Malaysia Utusan/Rencana/20141014

Tags: ranking, universiti
Subscribe

  • Hampir semua berita berbaur politik

    Kita terlampau berpolitik, setuju? oleh Merrepak 24 Mac 2019 adalah dipersetujui. Setiap hari tentunya kita akan membaca dan memperolehi berita…

  • Print media still has a role

    Avoid straining your eye and outlook and ‘never say die’ is maybe what I understand of the writing by the NST group editor, Rashid Yusof…

  • Media cetak masih relevan

    Elakkan dari menyakitkan mata dan pandangan anda dan 'jangan mengalah' mungkin apa yang saya faham tentang penulisan oleh editor kumpulan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments