kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Isu-Isu Akhbar Cina

JANGAN PRASANGKA TERHADAP SJKC

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 13 Oktober 2014 meminta pemimpin-pemimpin UMNO menghormati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengiktiraf Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dalam sistem pendidikan negara apabila turut menyalurkan sejumlah peruntukan dalam Bajet 2015 baru-baru ini.

Artikel bertajuk 'Sila hentikan syak wasangka pada SJKC' yang merupakan pandangan editorial akhbar itu disiarkan dalam ruangan Pendapat Yanlun halaman W3 turut menyentuh jaminan Perdana Menteri semasa merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ahad lalu bahawa menurut Perlembagaan Persekutuan kedudukan SJKC kekal dan tidak berubah.

Kenyataan pemimpin nombor satu negara itu telah memberi suntikan semangat kepada SJKC, sekali gus diharap dapat meredakan kepanasan apabila sering dibangkitkan secara sengaja oleh beberapa pemimpin UMNO.

Editorial akhbar itu membangkitkan tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim yang meminta supaya kerajaan menghentikan pembinaan SJKC kerana mendakwa kewujudannya tidak menyumbang kepada perpaduan nasional.

Seorang lagi ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad yang mencadangkan supaya Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang akan berlangsung November ini membincangkan dengan teliti sama ada SJKC perlu diteruskan atau dimansuhkan kerana sekolah berkenaan didakwa menjadi tempat melahirkan pembangkang kepada kerajaan.

Setiap kali menjelang perhimpunan parti pasti akan ada pemimpin UMNO menimbulkan isu SJKC untuk menarik perhatian, tetapi malangnya mereka ini tidak pernah dihukum oleh UMNO atau Barisan Nasional (BN). Adalah salah sekiranya perkara ini dianggap kecil, bukankah telah wujud unsur-unsur berat sebelah?

Cuba kita fikirkan, jika semua orang dibenarkan mengeluarkan kenyataan yang mencederakan kaum lain terutama dalam sebuah negara yang berbilang kaum, tindakan itu akan menyebabkan negara mudah terjerumus ke dalam kekacauan.

BN anggap diri mereka mampu menjaga semua politik gabungan antara berbilang kaum, tetapi kenapa BN buat-buat tidak dengar suara ahli parti yang secara lantang mengemukakan kenyataan berunsur fanatik? Terutama sekali semasa negara ini diselubungi dengan isu perkauman yang boleh membawa kesan sangat buruk kepada perpaduan rakyat?

MCA telah tewas teruk pada Pilihan Raya Umum 2008 dan 2013, kini parti itu sedang cuba bangkit kembali dan selagi kata-kata yang menusuk telinga dari UMNO tidak dihentikan, maka segala usaha MCA itu tidak akan dapat dijayakan dengan berkesan.

Kata-kata itu bukan sahaja mencederakan MCA tetapi turut menjejaskan masyarakat Cina dan Malaysia yang telah dibina dengan segala kesusahan dan kesukaran selama ini untuk menguatkan perpaduan rakyat.

Diharapkan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini dan seterusnya, Najib dapat suarakan sekali lagi mengenai jaminan terhadap SJKC, sekali gus membuang jauh-jauh perasaan ragu-ragu terhadap sekolah itu.

TRANSFORMASI MCA

Sementara itu, akhbar sama bertarikh 14 Oktober 2014 memuji tiga agenda perubahan yang dibawa oleh Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ahad lalu, iaitu kesinambungan politik, ekonomi dan pendidikan.

Artikel bertajuk 'Agenda ekonomi MCA' yang merupakan pandangan editorial akhbar itu disiarkan dalam ruangan Pendapat Yanlun halaman W3 menegaskan bahawa kesemua agenda itu amat penting bagi memastikan kekuatan ekonomi Cina pada masa hadapan tidak hanya sekadar menjadi catatan sejarah sahaja.

Cadangan penubuhan sebuah agensi China 1Malaysia iaitu gabungan syarikat-syarikat syarikat milik kerajaan (GLC) dengan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk menembusi pasaran ke negara China juga dipuji kerana ia boleh menguntungkan seluruh rakyat di negara ini.

Agensi ini boleh bekerjasama menerokai pasaran terutamanya di China, India, Timur Tengah dan Indonesia. Bagaimanapun konsep ini masih tergantung, bagaimanakah bentuk dan cara kerjasama dilaksanakan? Siapa yang layak mengambil bahagian? Apakah kesanggupan yang bakal dihulurkan oleh IKS dan GLC? Bagaimana caranya untuk mengimbangi kepentingan?

Semuanya perlu diperincikan jika tidak pada akhirnya cadangan itu hanya tinggal pada nama dan slogannya sahaja.

MCA LAWAN DAP

Dalam pada itu, akhbar sama bertarikh 11 Oktober 2014 menempelak peranan sebenar DAP terhadap kepentingan dan kebajikan masyarakat Cina di negara ini yang sehingga kini masih belum nampak keberkesanannya.

Artikel bertajuk 'Pendidikan bahasa antara DAP dan orang Cina menyedihkan' yang merupakan pandangan Chang Long Yan itu disiarkan dalam ruangan Pendapat Yanlun halaman C8 menyifatkan MCA sebagai pencari duit untuk membela keluarga besar Cina tetapi DAP hanya pandai cakap manis, suka mencari kesilapan orang lain, suka mencabar orang lain dan perasan hebat.

Contohnya apabila timbul isu pimpinan UMNO mengkritik SJKC, reaksi DAP ialah seperti biasa menyindir MCA mengatakan bahawa parti itu tidak berani angkat muka dan tidak berani marahkan UMNO.

Pendidikan Cina pada masa ini mempunyai cabaran yang besar apabila semakin ramai ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa dan swasta yang semakin banyak seperti cendawan tumbuh selepas musim hujan.

DAP sering anggap diri mereka telah merentasi kaum, mereka kemukakan Malaysian Malaysia. Jika DAP berkuasa dan sekolah Cina ditutup seperti yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, adakah masyarakat Cina boleh terimanya?

SJKC boleh terus kekal di negara ini kerana wujudnya toleransi dalam politik, yang termaktub dalam peninggalan sejarah. Dari segi Perlembagaan Persekutuan walaupun sekolah ini tidak diberi jaminan, tetapi dari segi politik kewujudannya dibolehkan.

Perkara ini perlu difahami oleh seluruh masyarakat Cina kerana politik itu umpama air, air boleh timbulkan kapal dan air juga boleh tenggelamkan kapal. Perangai DAP ialah semata-mata mahu marah dan terus marahkan orang lain, mereka tidak prihatin langsung masalah yang timbul di SJKC. Utusan/Rencana/20141016

Tags: cina, politik, sekolah, sjkc, transformasi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments