kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Penarafan MUET jejas peluang

Apabila kenaikan penarafan Band Malaysia University English Test (MUET) dibentangkan dalam Bajet 15, baru-baru ini, pelbagai pihak memberikan reaksi berbeza.

Ada menyambut baik usaha itu dengan alasan sudah tiba masanya pelajar kita mempunyai standard pencapaian bahasa Inggeris yang selari dengan nilai komersial.

Namun ada pihak berpendapat kenaikan penarafan itu bakal memberi kesan kepada jumlah kemasukan mereka ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kerana bukan semua mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
TANPA penguasaan bahasa Inggeris yang baik, pelajar masih boleh memperoleh kecemerlangan namun tetap kerugian dalam aspek penguasaan bahasa Inggeris.
- Gambar hiasan. - http://www.hmetro.com.my/node/2960#sthash.HxPhmC6T.dpuf




Sumber : Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali rencana@mediaprima.com.my

Pro dan kontra dalam polemik ini mewujudkan dilema dalam kalangan masyarakat terutama mereka yang melihat pelajar kita masih belum mampu mencapai nilai kompeten sebenar.

Adakah syarat baru itu akan menjejaskan peluang mereka bergelar warga institusi pengajian tinggi?

Atau pembaharuan itu bermakna kita di landasan tepat bagi menjadikan bakal graduan kita lebih bernilai di pasaran?

Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr Raja Nor Safinas Raja Harun mengakui syarat baru bagi kenaikan penarafan MUET itu akan menjejaskan peluang pelajar melanjutkan pengajian ke IPTA.

Kompetitif

Bagaimanapun, katanya itu hanya membabitkan fasa awal tetapi apabila mereka sudah bersedia, masalah itu bukan menjadi satu isu lagi.

Beliau berkata, masalah itu hanya akan timbul jika mereka memperoleh Band 1 dalam MUET untuk kemasukan yang membabitkan sains sosial sebelum ini.

"Tapi untuk mereka yang mengikuti sains dan teknologi dengan kemasukan Band 3, undang-undang (Band 4) dan perubatan (Band 5), perubahan syarat ini bukanlah sesuatu yang baru.


MUET boleh menjadi penanda aras untuk melihat sejauh mana kemampuan pelajar menguasai keperluan bahasa antarabangsa itu. - Gambar hiasan. - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2960#foto


"Kebanyakan IPTA terutama Universiti Penyelidikan yang bersifat lebih kompetitif sudah melaksana syarat itu.

"Langkah ini bukan bertujuan menyusahkan golo­ngan terbabit tapi sebaliknya memberi satu standard sama untuk kemasukan mereka ke program di IPTA,"katanya.

Menurutnya, meletakkan peningkatan penarafan Band sebagai syarat bergraduasi juga untuk memastikan peningkatan pelajar dalam penguasaan bahasa Inggeris.



DEBAT kampus antara aktiviti yang boleh disertai pelajar sebagai salah satu usaha memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris. - Gambar hiasan. - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2960#foto
"Sebilangan besar pelajar sama ada di peringkat sekolah atau institusi lemah dalam bahasa ini terutamanya pertuturan.

"Namun, kelemahan ini tidak berkaitan dengan taraf ditentukan MUET sebalik­nya berpunca daripada kegagalan mereka menguasainya sejak sekolah.

"Faktor persekitaran memainkan peranan penting dalam mempengaruhi penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris. Malangnya kita kurang usaha menangani masalah ini.

"Sepatutnya, mereka mampu mendapat Band 3 dalam MUET dan bukan Band 1," katanya yang meng­anggap agak mustahil selepas belajar selama 11 tahun di sekolah, pelajar masih gagal menguasai sepenuhnya bahasa itu.

Bagi pelajar aliran sains sosial, mereka mungkin terjejas jika peningkatan daripada MUET Band 1 ke MUET Band 2 dilaksanakan tahun depan.

Penaksiran

"Ini kerana mereka memerlukan masa lebih lama untuk meningkatkan pe­nguasaan bahasa Inggeris.

"Tapi, lebih membim­bangkan ialah cara penaksiran akan dimudahkan bagi memastikan pelajar mampu memperoleh sekurang-kurangnya Band 2. Ini sudah tentu menjejaskan standard dan kualiti penaksiran itu.

"Satu kajian perlu dibuat untuk melihat berapa ramai jumlah pelajar MUET Band 1 ini di seluruh IPTA sebelum perkara ini dilaksanakan supaya peluang tidak terjejas," katanya.

Mengenai kebimbangan segelintir pihak yang meng­anggap syarat baru itu akan menyebabkan lebih ramai pelajar luar bandar semakin tercicir, beliau berkata, jika tiada MUET, keciciran dalam kelompok itu memang berlaku.

"Sekurang-kurangnya MUET dapat menjadi penanda aras penguasaan pelajar dan membantu IPTA merancang kursus sesuai dengan kemampuan mereka.

"Dengan adanya MUET, universiti tidak perlu mengadakan peperiksaan tertentu bagi mengukur kemampuan pelajar kerana tahap MUET menentukan kursus bahasa Inggeris yang perlu diambil," katanya.

MUET diperkenalkan sebagai syarat wajib masuk universiti pada 2000.

Pada mulanya, calon ke IPTA hanya perlu menduduki peperiksaan itu untuk memperoleh tempat dalam institusi dan pada 2009, ada pihak mencadangkan tahap pencapaian minimum untuk layak masuk universiti.

MUET mengandungi empat komponen iaitu mendengar, lisan, membaca dan menulis manakala pelajar perlu menguasai semua kemahiran ini untuk mendapat Band yang tinggi.

Band 1 penguasaan bahasa yang sangat terhad, Band 2 (terhad), Band 3 (sederhana), Band 4 (memuaskan), Band 5 (baik) dan Band 6 (penguasaan sangat baik).

Kondusif

Band yang diberikan bertujuan menjadi penanda aras untuk mengetahui tahap penguasaan bahasa Ing­geris sebenar pelajar.

Beliau berkata, ada pelbagai cara boleh dilakukan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tetapi memerlukan usaha, tenaga, masa, kewangan dan komitmen berterusan.

"Contohnya, galakkan pelajar sekolah terbabit dalam persatuan bahasa Inggeris bagi mewujudkan persekitaran kondusif bagi penggunaan bahasa itu di luar bilik darjah.

"Kita perlu menukar cara berfikir dengan menganggap persatuan bahasa Inggeris di sekolah bukan satu persatuan elit yang hanya dianggotai pelajar mahir bahasa itu.

"Jika kita tidak bermula dari awal, kesannya akan melarat kepada pelajar di peringkat tinggi dan akhirnya merugikan terus golongan itu," katanya.

Namun, beliau kurang bersetuju dengan tanggapan, lemahnya penguasaan bahasa Inggeris boleh menyebabkan pelajar sukar mencapai kecemerlangan.

Menurutnya, mereka boleh mencapai cemerlang tapi pada masa sama akan berdepan kesukaran kerana bahasa Inggeris adalah bahasa universal dan diguna pakai di peringkat global.

"Sesiapa saja boleh mencapai kecemerlangan andai ada kemahuan dan bahasa Inggeris bukan penentunya.

"Bagaimanapun, dalam dunia yang semakin dikuasai industri yang semakin kompetitif, ia adalah satu bonus dan keperluan utama," katanya.

Harian Metro Rencana Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:01 AM
Tags: bahasa, pentaksiran
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments