kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Krisis kejujuran melanda negara?

SEMASA di bangku sekolah dulu, seorang guru Inggeris selalu berpesan “Honesty is always the best policy”. Semasa di sekolah agama pula, guru al-Quran sering mengingatkan - “Sentiasalah bercakap benar, bertindak secara jujur, ikhlas kerana Allah”.

Penulis teringat semua ini apabila membaca laporan media baru-baru ini bahawa cawangan perisikan khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan tangkapan ke atas 24 individu terdiri dari 5 agensi penguat kuasa kerajaan yang disyaki menerima wang sogokan bulanan daripada pihak-pihak tertentu.

Seramai 24 individu ini, yang bertugas di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dikatakan terbabit dalam kegiatan melepas dan melindungi pengusaha cakera padat digital (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak di sekitar Pulau Pinang.

Mengesahkan operasi tangkapan itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Jamidan Abdullah menyatakan kesemua 24 individu ini akan didakwa pada waktu terdekat, dan ada yang dikenakan tindakan tatatertib.

Lebih sebulan lalu, pada 4 September 2014, SPRM ada mengeluarkan kenyataan media di mana badan itu menyatakan “Susulan pemantauan selama lebih setahun, SPRM berjaya menumpaskan sindiket terbesar penyeludupan barang-barang di Lembah Klang, yang mengelak daripada membayar duti kastam melibatkan lebih RM1 bilion. Akibat tindakan itu kerajaan dipercayai mengalami kerugian lebih RM2 bilion”

Dalam operasi itu, SPRM menangkap 24 individu, terdiri dari 12 pegawai Kastam pelbagai pangkat, dan 12 anggota sindiket. Mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull, pegawai Kastam yang ditahan berusia antara 35 hingga 58 tahun dan salah seorang daripadanya adalah pengarah negeri.

Mengikut Mohd. Shukri lagi, hasil operasi ini, SPRM telah merampas dan menyita wang rasuah bernilai lebih kurang RM3 juta, membekukan 207 akaun bank milik individu dan syarikat, dan menyita 10 kenderaan mewah yang disyaki hasil wang rasuah, gudang arak dan rumah kedai.

Sepanjang 5 tahun lalu (2009-2014), SPRM telah melakukan 847 tangkapan melibatkan penguat kuasa daripada pelbagai agensi penguatkuasaan atas kesalahan rasuah.

Pada Januari 2010 lalu, SPRM telah mendedahkan kes kecurian dan penyeludupan pasir ke sebuah negara jiran dan menahan 34 individu di seluruh negara. Menurut Mohd. Shukri, tangkapan itu melibatkan 24 penjawat awam, 5 orang awam, 3 pekerja swasta, seorang pegawai khas kepada ahli politik dan seorang setiausaha sulit kepada ahli politik.

“Sejak tahun lepas, SPRM menerima 410 maklumat berkaitan kes ini. Bertindak atas maklumat ini kita jalankan intipan, pemerhatian dan seterusnya siasatan dan hasilnya kita telah memulakan operasi tersebut”, katanya kepada pihak media.

Jumlah anggaran wang rasuah bagi kes ini melebihi RM280,000 – dengan nilai suapan antara RM500 dan RM50,000 seorang. Ada kes wang rasuah diterima secara bulanan dan terdapat tiga kes melibatkan rasuah seks.

Rasuah berkenaan diberi untuk mempercepatkan proses permohonan permit pasir dan tidak mengambil tindakan terhadap individu yang membawa pasir keluar negara tanpa permit.

Setahun sebelum itu, pada April 2009, SPRM menangkap 5 individu di sebuah hotel di Genting Highlands, termasuk dua kakitangan kerajaan, kerana dipercayai terbabit suapan rasuah.

Menurut Pengarah SPRM Pahang, Sutinah Sutan, kesemua yang ditahan berusia 30 hingga 49 tahun, dipercayai terbabit dalam suapan rasuah berjumlah RM55,000.

Seorang daripada kakitangan kerajaan itu bertugas di pejabat Hutan Bentong, manakala seorang lagi bertugas di pejabat Hutan Temerloh, kata Sutihan kepada media.

Tiga orang awam yang ditahan itu dipercayai memberi suapan rasuah kepada kakitangan kerajaan bagi mengelak tindakan dikenakan ke atas aktiviti pembalakan haram di hutan simpan sekitar Karak dan Bentong.

Dalam kejadian terbaru, SPRM dilaporkan telah menahan seorang pegawainya kerana disyaki menerima RM50,000 yang dikatakan sebagai dorongan untuk menutup satu kes yang sedang disiasat.

Pegawai berkenaan, seorang Penolong Penguasa, ditahan oleh pasukan Bahagian Operasi Khas SPRM di Seremban pada 17 Oktober lalu. Melihat beberapa siri tangkapan yang dilakukan oleh SPRM sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, tidak hairanlah ada pihak yang menyatakan bahawa tahap integriti anggota penguat kuasa kita “longgar sejak 20 tahun lalu dan berterusan sehingga kini, bukan sekadar berlaku di satu atau dua buah agensi malah boleh dikatakan hampir semua agensi?.’’

Jika ini satu kesimpulan yang berasas, disokong oleh fakta dan tidak boleh dinafikan lagi, kita terpaksa terima hakikat bahawa kita sekarang berdepan dengan satu krisis kejujuran yang maha besar.

Dan andainya kita gagal atasi masalah ini, kita seolah-olahnya meninggalkan satu legasi untuk generasi depan bahawa “Honesty is no longer the best policy”.

Sehubungan itu, kita perlu ingat bahawa mengikut Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index, CPI) bagi tahun 2013, Malaysia berada di tangga 53 dari 177 negara.

Pada tahun sebelumnya (2012), kita di tangga 54 – yang bermakna prestasi kita hampir tak berubah langsung. Walaupun kita akui bahawa SPRM telah melakukan sebaik mungkin selama ini, natijahnya kita macam masih berada di takuk lama.

Penulis teringat kata-kata Theodore Roosevelt “Seorang yang tidak pernah ke sekolah mungkin curi satu gerabak keretapi; tapi seorang yang lulusan universiti mungkin mencuri keseluruhan rangkaian keretapi”. Salleh Buang ialah Penganalisis Undang-undang Utusan Rencana 12 Oktober 2014

Tags: integriti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments