kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sindrom ‘segalanya dijaga dan diatur’

SUDAH pasti pelbagai tafsiran dan andaian dibuat apabila Mingguan Malaysia semalam menyiarkan laporan khas mengenai integriti agensi penguat kuasa yang hancur akibat ramalan rasuah.

Laporan itu bukankah bertujuan memburuk-burukkan mana-mana pihak tetapi membentangkan fakta apa yang sedang berlaku kepada agensi-agensi penguat kuasa yang diberikan amanah dan tanggungjawab untuk menegakkan undang-undang.

Walaupun kita memahami pepatah `kerana nila setitik rosak susu sebelanga’ tetapi berdasarkan maklumat yang diterima oleh penulis `nila yang tumpah’ bukan lagi setitik tetapi titisannya sudah menghampiri ibarat curahan.

Oleh itu, kerajaan perlu mencari satu mekanisme yang lebih jitu untuk menghapuskan sama sekali perbuatan rasuah dalam agensi-agensi penguat kuasa memandangkan ia merupakan ancaman serius kepada masa depan negara.

Bayangkanlah apakah akan terjadi jika mereka yang diberi tanggungjawab mengutip hasil negara `menukarnya’ kepada hasil sendiri?

Apa akan berlaku kalau kelompok yang memegang amanah menjaga sempadan negara bekerjasama dengan sindiket? Apakah natijahnya jika pasukan yang diberi kepercayaan bagi membanteras jenayah sebaliknya menjadikan ia `lubuk’ untuk hidup mewah?

Apa yang dipersoalkan itu bukanlah satu tuduhan apatah lagi fitnah tetapi inilah hakikat atau senario yang sedang berlaku dalam agensi-agensi penguat kuasa, sama ada menerima sogokan kecil atau besar, harian atau bulanan ia tetap boleh meruntuhkan negara.

Jika tidak bagaimana mungkin sesuatu jenayah itu contohnya mesin judi haram, penyeludupan di sempadan dan penyelewengan minyak bersubsidi boleh bertapak kukuh sehingga ke hari ini biar pun pelbagai operasi dilakukan.

“Negara akan terus berhadapan dengan situasi ini jika `lakonan wayang tinggi’ terus dipersembahkan oleh sesetengah ketua-ketua agensi penguat kuasa, sedangkan integriti mereka sendiri boleh dipertikaikan,’’ kata satu sumber.

‘Pelakon-pelakon’ inilah yang menyebabkan rasuah dalam agensi tersebut berleluasa sehingga anggota di peringkat paling bawah pun turut terlibat menjamah wang haram dan menggadaikan maruah mereka kepada sindiket.

Kalaulah semua anggota agensi penguat kuasa benar-benar jujur, ikhlas dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing tidak mungkin apa juga kegiatan jenayah bermaharajalela.

Tetapi apa yang disaksikan dan berdasarkan senario yang berlaku maruah dan integriti agensi-agensi penguat kuasa bagaikan berada di bawah telapak kaki sindiket-sindiket.

Penjenayah-penjenayah tersebut menjadikan jaminan hidup mewah kepada anggota-anggota agensi penguat kuasa.

Cakaplah apa sahaja yang dimahukan habuan bulanan ribuan ringgit? Berhibur secara percuma di kelab-kelab malam? Bermain golf di kelab-kelab di dalam atau luar negara? Memiliki kenderaan mewah? Bercuti ke luar negara dengan segala ditanggung beres? Mahukan sumbangan untuk mengadakan aktiviti jabatan atau peribadi? Semua boleh diuruskan oleh sindiket-sindiket asalkan kegiatan haram mereka terjamin dan tidak diganggu.

Oleh itu sudah tiba masanya, perbuatan jenayah melibatkan sindiket dan amalan rasuah dalam kalangan anggota agensi penguat kuasa dihapuskan sehingga ke akar umbi.

Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Pasukan Petugas Khas (STF) Jabatan Peguam Negara dalam mengendalikan dua kelompok ini perlu dijadikan bukti bahawa segala-galanya boleh dilakukan jika ada kemahuan.

Jika tidak mana mungkin STF mampu membanteras jenayah yang sudah bertahun-tahun berlaku contohnya dalam dua operasi membanteras penyeludupan diesel dan petrol di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang baru-baru ini.

Sebelum ini pasukan itu juga bertanggungjawab membongkar pelbagai penyelewengan dalam agensi penguat kuasa dan membanteras perbuatan haram yang mendatangkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.

Malangnya kemahuan seperti mana ditunjukkan oleh STF tidak ada dalam sesetengah agensi-agensi penguat kuasa.

Kemahuan yang ada ialah untuk hidup mewah dengan menyara keluarga dengan wang haram dan menggadaikan amanah yang diberikan serta undang-undang yang sepatutnya ditegakkan kepada sindiket-sindiket.

Justeru berdasarkan rekod STF sudah tiba masanya peranan pasukan itu diperkukuh dan dipertingkatkan. STF perlu menjadi barisan paling hadapan untuk menghapuskan segala penyelewengan oleh agensi penguat kuasa dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan membanteras kegiatan jenayah habis-habisan.

Seperti mana kata seorang pegawai kanan polis kepada penulis, perbuatan rasuah dan kegiatan jenayah tidak akan mampu dihapuskan selagi ada kelompok di dalam agensi penguat kuasa sudah selesa dengan kehidupan yang segalanya `dijaga dan diatur’.

Kesimpulannya, masalah integriti dalam kalangan agensi penguat kuasa bukanlah perkara remeh, amalan rasuah yang dilakukan oleh mereka tidak boleh dipandang ringan kerana jika orang yang melanggar undang-undang lebih berkuasa daripada orang yang sepatutnya menegakkan undang-undang, maka negara pasti berada dalam bahaya! Bertindaklah sebelum terlambat! ZULKIFLEE BAKAR Utusan Rencana 21 Oktober 2014

Tags: integriti
Subscribe

  • Online education must continue

    Learning sessions and approaches through educational television will be taken to provide students without access to the internet but access to…

  • There are more things than PPSMI 2.0

    The PPSMI issue is back in the news. The BM Linguistic group is again against the proposal. It is seen as a one-man show by an obsessed man and…

  • What students need to know

    Unwrapping standard is a simple strategy for teachers to identify the skills and content knowledge needed in a lesson to ensure students are…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments