Kedudukannya mulai semalam ialah Wanita Pertama Indonesia, tetapi Iriana bertegas tetap mahu mengekalkan hidup sederhana seperti sebelum ini.
“Kasut? Saya pakai yang ada saja. Saya juga tiada perunding gaya,” katanya. GAMBAR perkahwinan Jokowi dan Iriana 28 tahun lalu. |
Ketika ditemui media kelmarin, Iriana, 51, tampil berbaju kebaya dan berkain batik untuk menyambut tetamu yang berkunjung ke kediaman rasmi Gabenor Jakarta di Menteng.
Ditanya mengenai persediaan mereka sempena pelantikan rasmi Joko Widodo (Jokowi) semalam, Iriana berkata, tidak banyak yang dilakukan.
“Saya cuma memotong rambut agar tampil lebih kemas.
“Rambut saya sebelum ini panjang dan asyik gugur,” katanya.
Iriana juga mengaku tidak membuat sebarang persediaan khusus untuk menghadiri majlis angkat sumpah Jokowi sebagai presiden ketujuh Indonesia.
“Jokowi akan memakai sut, anak-anak kami memakai batik dan saya memilih pakaian tradisional Jawa.
“Kasut? Saya pakai yang ada saja. Saya juga tiada perunding gaya,” katanya.
Pasangan Iriana - Jokowi dipertemukan oleh adik perempuan Jokowi dan hasil perkenalan itu, mereka berkahwin pada 1986.
Mereka berpacaran ketika Jokowi masih bekerja sebagai tukang kayu dan mengusahakan kedai perabot.
Selepas menyertai politik, Jokowi dilantik menjadi Datuk Bandar Solo sebelum memenangi pilihan raya Gabenor Jakarta.
Dalam keadaan populariti Jokowi begitu tinggi ketika itu, Iriana berkata, dia tidak pernah membayangkan suaminya mampu sampai ke tahap hari ini.
Dengan status barunya, Iriana ternyata tidak teruja, malah mengaku menjadi Wanita Pertama Indonesia tidak pernah menjadi impiannya.
Kata bekas siswi jurusan ekonomi itu, Jokowi bukan seorang lelaki romantik, namun sepanjang tempoh 28 tahun bersama, pelbagai cabaran berjaya diatasi.
“Jokowi langsung tidak romantik.
“Kami tidak pernah meraikan hari lahir tetapi selepas sekian lama berkongsi hidup, kami tidak perlukan semua itu.
“Ia terlalu berlebihan,” katanya.
Mengenai rancangannya mengisi masa lapang selepas ini, Iriana berkata, dia belum membuat keputusan.
“Saya mungkin mengambil selfie dan akan memaklumkan kepada anda kemudian,” katanya berjenaka.
Harian Metro Setempat 21/10/2014