kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Malaysia miliki pakar kaji selidik untuk ganti Nielsen

KUALA LUMPUR 22 Okt. – Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan mempunyai ramai pakar kaji selidik yang boleh digembleng untuk membantu syarikat penerbitan dan penyiaran mendapatkan rating pembaca dan penonton berikutan kegagalan firma The Nielsen Company (Malaysia) Sdn. Bhd. (Nielsen) menyediakan maklumat yang tepat.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Ismail Sualman berkata, pakar yang bergabung di bawah firma atau institut kaji selidik itu perlu diselia Kementerian Komunikasi dan Multimedia supaya tidak bias serta dipengaruhi oleh pihak berkepentingan.

“Belum ada lagi syarikat tempatan yang menjalankan kajian pasaran dan kebanyakannya masih bergantung kepada khidmat Nielsen yang menggunakan kayu ukur ketinggalan zaman.

“Kaji selidik rating memerlukan pengumpulan data dan pemilihan responden bagi menitik beratkan aspek kebolehpercayaan supaya data yang diperoleh dapat menggambarkan situasi sebenar kajian melalui instrumen yang betul,” katanya yang dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff mengenai cadangan mewujudkan firma kaji selidik tempatan berikutan dakwaan bekas Menteri Pe­nerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang menyatakan hasil kajian Nielsen mempunyai agenda tersembunyi.

Nielsen yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat, merupakan sebuah syarikat global dalam bidang penilaian dan maklumat pasaran dalam segmen kepenggunaan, pemasaran, penilaian televisyen dan media.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Syed Agil Syed Alsagoff berkata, penubuhan firma kaji selidik tempatan sudah lama ditunggu kerana firma luar kurang arif mengenai demografi sebenar selain tidak memenuhi aspirasi negara.

“Firma kaji selidik itu kelak mestilah mengambil sumber dan nasihat pakar akademik dan golongan profesional dalam industri supaya hasil kajian akan lebih tepat sekali gus memperoleh kajian pemasaran yang lebih baik,” katanya.

Syed Agil berkata, penubuhan firma tersebut kemudian boleh diperluaskan ke rantau Asia untuk memberi khidmat kaji selidik kepada organisasi luar yang seterusnya akan membanggakan negara.

Utusan Nasional 23 Oktober 2014
Tags: pakar
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments