kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sekolah perlu lahir pelajar cemerlang akademik, jati diri

BAGI pelajar Tingkatan Lima, minggu ini mereka diberi cuti seminggu, sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula minggu depan. Cuti seminggu atau apa yang dipanggil 'minggu belajar' menjelang hari peperiksaan itu, sama seperti diberikan kepada pelajar institusi pengajian tinggi sebelum menduduki peperiksaan.

Dalam tempoh seminggu sebelum 'hari besar' itu, pelajar berpeluang membuat persediaan akhir. Ia menandakan mereka sudah menamatkan silibus pelajaran mereka. Ia juga menandakan tempoh alam persekolahan mereka di sekolah menengah sudah berakhir. SPM adalah penentu kepada perjalanan masa depan mereka sama ada meneruskan pengajian ke tahap lebih tinggi, memasuki alam pekerjaan dengan kelulusan paling minimum itu atau hanyut dalam dunia mereka sendiri.

Selama seminggu itu pelajar biasanya menggunakan sepenuh masa untuk membuat ulang kaji pelajaran yang diajar oleh guru masing-masing sejak mereka berada di sekolah menengah atas.

Majlis graduasi untuk pelajar

Minggu lalu atau minggu sebelumnya, banyak sekolah menengah mengadakan hari graduasi kepada pelajar Tingkatan Lima di sekolah masing-masing. Pada hari graduasi itu, pelajar menerima sijil masing-masing, menandakan mereka mengakhiri alam persekolahan sekolah menengah. Walaupun masih berada di sekolah menengah hari penyampaian sijil itu dinaikkan taraf seolah-olah mereka berada di alam universiti.

Hari graduasi mula diadakan sejak beberapa tahun lalu sebagai persediaan dan galakan kepada pelajar untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi. Ia juga menjadi hari kenang-kenangan dan bersejarah kepada pelajar kerana selepas peperiksaan nanti mereka akan berpisah dan menentukan haluan masing-masing.

Pada hari graduasi, pelajar memakai jubah seolah-olah mereka menerima skrol seperti di universiti. Guru sekolah juga memakai jubah seperti majlis graduasi di universiti untuk memberi gambaran yang mereka berada di sebuah universiti.

Ada sekolah, khasnya di bandar besar, mengadakan majlis itu di hotel untuk memberi inspirasi kepada pelajar bahawa mereka dihargai. Ada juga yang mengadakan majlis itu di dewan sekolah. Mungkin majlis seperti ini boleh diadakan di universiti untuk merapatkan diri mereka dengan suasana di menara gading.

Persatuan Ibu-Bapa Guru biasanya menjadi penggerak utama menjayakan majlis seperti itu. Untuk memeriahkan majlis, ibu bapa dijemput meraikan hari graduasi untuk anak mereka.

Bagi ibu bapa kepada pelajar berkenaan, mereka mungkin tidak pernah mempunyai pengalaman menerima sijil pada hari graduasi seperti itu. Majlis graduasi seperti itu tidak pernah diadakan ketika mereka berada di sekolah menengah. Jika ada pun hanya hari penyampaian hadiah bagi meraikan mereka yang berjaya dalam pelajaran dan pertandingan diadakan. Bagi ibu bapa, mereka meninggalkan sekolah tanpa majlis yang dianggap bersejarah.

Pada majlis ini, pengetua sekolah mengambil kesempatan memberi nasihat kepada pelajar, sebelum mereka masuk ke dalam dewan peperiksaan nanti. Pengetua meletakkan harapan yang tinggi agar pelajar dapat menjawab soalan peperiksaan SPM dengan baik. Guru hanya mampu mengajar berasaskan kepada silibus yang ditetapkan. Selebihnya adalah usaha pelajar sendiri menerusi pembacaan daripada buku teks, didikan guru dan sumber serta bahan bacaan yang lain.

Mengharap pencapaian cemerlang

Sudah tentu pengetua sekolah mahukan pelajar mereka berjaya dengan cemerlang. Begitu juga dengan guru dan ibu bapa. Bagi pelajar sendiri, sudah tentu mereka juga mahu berjaya dan mendapat semua A bagi setiap mata pelajaran. Nasihat daripada pengetua itu amat berguna untuk pelajar sebagai tangkal dan azimat supaya dapat menjawab soalan dengan lebih yakin.

Pengetua dan guru mengharapkan ramai pelajarnya mencapai kejayaan yang cemerlang kerana ia akan meningkatkan pencapaian Indeks Utama Prestasi (KPI) sekolah berkenaan. Namun, ada yang berpendapat, kemajuan bidang pendidikan tidak sewajarnya berasaskan kepada pencapaian KPI semata-mata. Paling penting, setiap sekolah perlu menghasilkan pelajar berkualiti. Tidak ada ertinya jika mereka mendapat keputusan yang baik, tetapi mempunyai kelemahan daripada pelbagai ciri-ciri penting lain seperti kemampuan berkomunikasi, disiplin diri, tinggi nilai jati diri dan sebagainya.

Sudah menjadi kebiasaan, di setiap sekolah, kumpulan pelajar mempunyai latar belakang berbeza khasnya penduduk di bandar. Ada antara mereka daripada kalangan anak orang kaya yang dihantar mengikuti tuisyen dan tidak kurang juga anak orang miskin. Namun, mereka belajar bersama dalam satu kelas dan berkawan tanpa mengira bangsa dan agama.

Bagi pelajar, jika mereka dilahirkan miskin, itu bukanlah kesalahan mereka, tetapi jika mereka mati miskin, itu adalah kesalahan mereka. Ini menunjukkan betapa pentingnya pelajaran bagi kehidupan seseorang. Jika pelajar tidak berusaha mengubah kehidupan mereka, tidak ada siapa yang boleh dipersalahkan, melainkan diri sendiri.                 Mior Kamarul Shahid Berita Harian Rencana JUMAAT, 24 OKTOBER 2014 @ 8:26 AM
Tags: cemerlang, sekolah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments