kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bahasa Melayu simbol jati diri tak dapat dinilai sudut ekonomi

POLEMIK terbaharu tentang pendidikan vernakular Cina selesai dengan jaminan kerajaan bahawa ia akan terus berada dalam sistem pendidikan negara. Walaupun begitu, seruan dibuat agar kaum Cina memberi lebih perhatian kepada penguasaan bahasa Melayu yang baik.

Seruan ini walaupun disambut baik kaum Cina, bukan saja banyak diulas dalam konteks kepentingan bahasa Melayu dan bahasa Mandarin kepada mereka. Ia sebenarnya ikut memperlihat sikap kaum Cina dalam hal ini. Banyak ulasan bermula dengan pengakuan kendiri bahawa mereka kelompok praktikal.

Dengan ini, kaum Cina akan bertindak dalam cara paling bijak untuk menangani sesuatu keadaan. Dalam konteks linguistik ini, mereka mengakui akan mempelajari bahasa Urdu sekalipun, jika ia boleh memberi faedah kebendaan kepada mereka.

Ada ulasan yang menyebut tentang kepraktikalan mereka pada tahun 1960-an, menghantar anak belajar dalam persekolahan aliran Inggeris. Ia dilakukan kerana pada waktu itu England adalah kuasa ekonomi terkuat di Eropah. Justeru, penguasaan bahasa Inggeris sesuatu yang menguntungkan pada zaman itu.


Potensi China jadi kuasa besar

Kini mereka mengalih kepada China setelah berlakunya peralihan perimbangan ekonomi dunia yang menunjukkan potensi China menjadi kuasa besar. Ini dikaitkan dengannya sebagai negara pengeluar dan pengguna terbesar dunia untuk kebanyakan barangan.

Oleh itu, mereka mewajarkan kepentingan sekolah vernakular Cina dalam bukan saja menyediakan modal insan negara yang cekap berbahasa Mandarin. Ia juga dilihat sebagai penting untuk meraih peluang di China, dari segenap dimensi perniagaan dan perdagangan.

Kini kaum Cina Malaysia melihat China sebagai aset agung. Ini berbeza sewaktu China papa kedana pada era komunisme tegar. Sepanjang era itu yang berakhir dengan tamatnya Perang Dingin pada tahun 1989, China dilihat sebagai liabiliti besar.

Hubungan dengan China pada waktu itu lebih kepada ikatan primodial, tentang salasilah mereka, selain simpati terhadap destininya yang malang. Dalam pada ini, mereka diminta saudara di China mengirim wang dan barangan untuk mengatasi kesempitan hidup yang amat sangat. Sehubungan ini, sesetengah mereka menganggapnya sebagai bebanan. Dengan ini, China dilihat sebagai entiti yang menyusahkan.

Semua ini telah bertukar. China kini dilihat sebagai sesuatu yang amat bernilai kepada mereka, khususnya dari segi ekonomi. Dengan ini, usaha untuk menguasai bahasa Mandarin bukan lagi semata-mata fundamental sifatnya dalam konteks primodial Cina, ia lebih bersifat ekonomik, yakni banyak menguntungkan dari aspek kewangan.

Cekap dalam bahasa Inggeris

Inilah antara kepraktikalan kaum Cina, seperti yang diakui mereka. Selain bahasa Mandarin, mereka juga mengetahui kelebihan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa terpenting. Dengan ini, selain menguasai bahasa Mandarin, mereka berusaha agar ikut cekap dalam bahasa Inggeris.

Mengenai seruan berbahasa Melayu yang lebih baik, mereka mendapati ia memadai dengan hanya memenuhi syarat pendidikan yang dikehendaki. Untuk ini, mereka merujuk kepada keputusan mata pelajaran bahasa Melayu dalam peperiksaan awam, yang pada sesetengah kesnya memang cemerlang sekali.

Untuk terus menggunakannya dalam kapasitinya sebagai bahasa negara dalam kehidupan mereka, ramai dalam kalangan kaum Cina didapati mempunyai sikap yang rata-ratanya negatif. Sehubungan ini, mereka mempertikai nilai ekonomi bahasa Melayu jika dibandingkan dengan yang ada pada bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris.

Bagi mereka, bahasa Melayu tidak mampu meraih sebanyak faedah seperti yang dapat dibekalkan oleh dua bahasa lain itu. Justeru, tidak timbul keperluan mendesak untuk mereka mempertingkat kemahiran berbahasa Melayu.

Nampaknya ini satu lagi kepraktikalan kaum Cina. Kalaulah ia begitu, mereka adalah kelompok songong dalam konteks pembentukan negara bangsa di Malaysia. Dalam hal ini, mereka boleh ditafsirkan sebagai rakus untuk menyambar segala kesempatan yang ada bagi menguntungkan diri sendiri saja.

Walaupun bahasa Melayu tiada nilai ekonomi tinggi, sebagai bahasa negara ia perlu bukan sahaja dihormati, tetapi hendaklah disanjungi dari segi nilai budayanya. Ini kerana ia jati diri kebangsaan kita.

Jati diri kebangsaan ini yang menggunakan simbol dan proses sosiobudaya Melayu wajib didukung oleh semua warganegara Malaysia. Ia sebahagian penting daripada Perjanjian Etnik bersama sewaktu kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.   Teo Kok Seong ialah Profesional Bahasa Melayu Berita Harian Kolumnis 25 Oktober 2014

Tags: bahasa, melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments