kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mendidik benci rasuah bermula dari sekolah

Sejak kebelakangan ini, sering diperkatakan mengenai isu rasuah. Sebenarnya pada zaman moden ini, tiada negara yang terkecuali daripada masalah rasuah. Ia boleh dianggap sebagai 'penyakit kanser' serius yang menular dalam masyarakat.

Pelbagai faktor penyebab diketengahkan oleh pelbagai pihak mengenai isu ini. Antara faktor penyebab sering dilontarkan ialah masalah kenaikan kos sara hidup, gaji yang diterima tidak setimpal dengan keadaan persekitaran ekonomi semasa serta masalah kelembapan pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia. Masalah ini dikatakan menyebabkan ramai pihak terpaksa mengambil jalan mudah dengan terbabit dalam rasuah.

Kebanyakan punca rasuah juga dikatakan berlaku disebabkan oleh faktor individu itu sendiri. Kelemahan sahsiah peribadi adalah masalah yang sukar untuk ditangani. Kelemahan sifat peribadi ini berlaku disebabkan kurangnya iman serta jati diri dalam diri individu terbabit.

Sesetengah individu yang bersikap tamak dan ingin cepat kaya biasanya akan mengambil jalan mudah dengan menerima suapan kerana mereka sudah kehilangan sifat jujur, amanah dan juga kawalan terhadap diri sendiri. Selain kelemahan sifat peribadi, kekurangan pegangan serta didikan agama juga akan menyebabkan timbulnya masalah rasuah.

Masalah rasuah memberi pelbagai kesan kepada negara, masyarakat dan juga individu itu sendiri. Rasuah menjejaskan kecekapan pentadbiran sesebuah negara, seterusnya menyebabkan negara dalam keadaan kucar-kacir.

Langkah komprehensif

Usaha membasmi masalah rasuah dalam negara kita boleh diambil dengan mengambil langkah komprehensif yang meliputi semua sudut. Antara langkah yang perlu diambil untuk mengatasi gejala rasuah ini ialah dengan menguatkuatkuasakan undang-undang dan hukuman yang berkaitan dengan isu rasuah seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575), Kanun Keseksaan (Akta 574), dan lain-lain lagi.

Hukuman yang berat perlu dijatuhi kepada pesalah rasuah agar mereka serik untuk melakukan jenayah rasuah serta dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat umum.

Menerusi langkah ini juga seluruh anggota masyarakat akan sedar bahayanya kesan aktiviti rasuah ini. Usaha galakan juga harus diberikan kepada individu serta masyarakat umum yang ingin tampil membantu. Pihak kerajaan hendaklah sentiasa memastikan segala akta berkaitan dapat membantu golongan terbabit tampil membantu dan menyalurkan segala maklumat berkaitan dengan kesalahan rasuah tanpa rasa takut serta menghadapi masalah sampingan.

Ini dapat dilakukan menerusi akta yang berkaitan seperti Akta Melarikan Orang dan Mengugut Saksi Secara Jenayah 1947 (Pindaan 1977) (Akta 191), Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696) dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Pendedahan awal

Selain daripada aspek penguatkuasaan undang-undang, pendedahan awal mengenai kesalahan serta kesan negatif rasuah perlu disemai dalam kalangan murid. Generasi muda yang dididik agar membenci gejala rasuah ini akan lebih bersikap telus, jujur dan amanah ketika menjalankan tugas mereka apabila dewasa kelak.

Pendedahan awal mengenai gejala rasuah ini boleh diterapkan dalam sukatan pelajaran di sekolah dalam mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, dan subjek berkaitan.

Bagi mengatasi masalah kos sara hidup yang semakin meningkat serta faktor utama yang sering diperkatakan ramai pihak sebagai punca berlakunya rasuah, pihak kerajaan mungkin perlu menimbang dengan serius mengenai kenaikan gaji pekerja di Malaysia.

Perkara sama juga perlu difikirkan oleh majikan pihak swasta. Penetapan gaji minimum juga harus dilihat kembali sejajar perubahan dalam persekitaran ekonomi.

Kesimpulannya, kerajaan mahupun masyarakat perlu berganding bahu membanteras gejala rasuah ini agar imej negara sentiasa bersih. Ini akan menjadikan ekonomi negara kita bertambah maju dan melahirkan sebuah masyarakat yang hidup aman sejahtera serta bebas rasuah. Dr Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia Berita Harian Kolumnis 28/10/2014

Tags: rasuah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments