kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Karya unggul mampu matangkan pembaca

Di negara kita, setiap tahun ratusan karya kreatif diterbitkan. Jika mengambil kira penerbitan karya kreatif seluruh dunia, ribuan buku diterbitkan setahun. Andainya kita ingin membaca buku kreatif yang diterbitkan dalam tempoh setahun, prosesnya mungkin mengambil seluruh hayat kita. Lalu kita hanya memilih yang terbaik. Akan tetapi apakah yang menyebabkan sesebuah karya itu hebat berbanding karya yang lain? Dalam hubungan ini ada beberapa prasyarat yang saling tunjang menunjangi dalam proses penghasilan karya sastera yang unggul.

Oleh sebab karya dihasilkan oleh seseorang pengarang, maka bijaksana atau tidaknya seseorang pengarang memilih persoalan dan kaedah pengolahan karyanya akan menentukan taraf karyanya. Pengarang yang bijaksana, lebih-lebih lagi yang telah mencapai takah genius, selalunya menghasilkan karya yang unggul.

Keupayaan berfikir

Pengarang genius memperlihatkan keaslian, keupayaan berfikir secara kreatif, meneroka idea dan teknik baru, yang belum diterokai sebelumnya, dan dengan cara yang demikian menyumbang ilmu baru kepada masyarakat manusia.

Seseorang genius juga harus berupaya mencipta penerokaan saintifik, karya-karya seni, inovasi teknikal atau terlibat dalam kepemimpinan politik dengan cara yang sangat terkemuka atau eminent. Secara ringkas, seorang genius harus mencipta, meneroka, atau merekacipta sesuatu yang tahan oleh zaman dan dapat digunakan dalam berbagai-bagai budaya atau tamadun.

Kepentingan peranan editor

Pada zaman karya dihasilkan dalam bentuk manuskrip bertulisan tangan, belum muncul istilah atau peranan editor. Bagaimanapun kini peranan editor di sesebuah penerbit menjadi semakin penting. Antara tugas editor ialah menambah baik teks yang disuntingnya, agar menjadi karya yang lebih teguh dan unggul.

Malangnya di negara kita belum ada tradisi kukuh hubungan editor dengan pengarang, sebagaimana peranan William Maxwell Evarts Perkins (lahir 20 September 1884 - meninggal 17 Jun 1947) yang telah menjadi editor sastera kepada pengarang-pengarang besar Amerika Syarikat seperti Ernest Hemingway, F Scott Fitzgerald dan Thomos Wolfe.

Makluman tentang sesebuah karya, lebih-lebih lagi karya yang baik, dapat dilakukan melalui beberapa usaha. Antaranya ialah promosi, pemasaran, penterjemahan dan penerbitan sampingan. Setiap produk, termasuk buku sastera, wajar dipromosi dan dipasarkan melalui pelbagai cara, termasuk menggunakan teknologi internet dan media sosial masa kini.

Usaha penterjemahan ke bahasa-bahasa lain juga boleh meluaskan khalayak pembaca karya yang baik, termasuk pada peringkat antarabangsa. Selain itu, penerbitan sampingannya seperti diolah menjadi drama TV, filem dan sebagainya, turut boleh meluaskan jumlah khalayaknya.

Dalam hubungan ini unit hak cipta dan harta intelek sesebuah penerbit harus lebih agresif mencari alternatif-alternatif baharu penerbitan sampingan.

Peranan pengkritik juga amat penting, kerana mereka menjadi semacam jambatan pemahaman antara teks dengan pembaca. Kritikan digunakan untuk menganalisis, menilai dan mengulas sesuatu perkara atau isu. Oleh yang demikian kritikan yang bertanggungjawab, yang biasanya diharapkan dalam sebuah masyarakat yang bertamadun, biasanya bersifat rasional.

Ulasan berkesan bantu pembaca kenal pasti karya baik

Kritikan dan ulasan oleh pengkritik akan turut memudahkan khalayak pembaca mengenal pasti karya yang baik kandungannya, olahannya, nilai estetiknya dan pengalaman intelektual yang ditawarkannya.

Yang terakhir, tetapi tidak kurang penting, ialah wujudnya pembaca matang dalam sesuatu masyarakat. Ertinya, akan ada lebih ramai pembaca yang memilih karya yang serius, berbanding jumlah pembaca yang menyukai karya popular dan picisan.

Pembaca matang membina bangsa yang berfikir. Masyarakat yang berfikir dapat mengukuhkan tamadun bangsanya. Dr Anwar Ridhwan ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA Berita Harian Kolumnis SELASA, 28 OKTOBER 2014 @ 4:43 AM
Tags: buku, karya
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments