kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Belanja ikut kemampuan, bukan ikut kawan

“TAK pernah kami terima panggilan daripada pe­minjam bertanyakan ha­l pem­bayaran. Cik ni orang pertama yang jujur hubungi kami”. Begitulah reaksi pegawai bahagian pinjaman sebuah jabatan kerajaan selepas penulis cuba mendapatkan jadual pembayaran balik pinjaman dengan mereka.

Terkejut juga penulis apabila dimaklumkan sebahagian besar mahasiswa cuba mengelak daripada dihubungi jabatan itu bagi tujuan sama. Tidak berminat bertanya lanjut mengenai perkara itu, penulis hanya memberi tumpuan untuk mendapatkan jadual pembayaran balik pinjaman seberapa segera.

Berpegang pesanan ibu pada masa itu mendorong penulis untuk melunaskan hutang belajar kerana katanya, duit itu bukan untuk penulis sahaja. Jadi jangan pentingkan diri. Berbekalkan gaji tidak seberapa yang diperoleh daripada melakukan dua pekerjaan secara separuh masa, penulis sudah mula komited membayar balik pinjaman. Sejurus menerima gaji, perkara utama dilakukan ialah mengasingkan duit pinjaman dan duit untuk diberikan kepada ibu. Amalan memberi ibu duit daripada gaji sudah dibuat sejak penulis bekerja sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sepanjang tempoh pembayaran balik pinjaman, penulis pernah melalui zaman ekonomi gawat termasuk pernah ditamatkan kontrak bekerja dengan sebuah syarikat milik kerajaan (GLC). Dugaan terus dilalui, namun sedikit pun tidak melunturkan semangat untuk terus membayar hutang pengajian sehingga sanggup melakukan kerja di luar bidang pengajian - juruwang dan jurujual di sebuah syarikat elektrik. Gaji tidak usah cakaplah, ikutkan memang tidak cukup. Ketika itu, penulis terpaksa meminjam duit daripada arwah ayah untuk membayar pinjaman kenderaan yang kebetulan dibeli beberapa bulan sebelum penulis dimaklumkan tentang penamatan kontrak bekerja di GLC terbabit.

Namun, segala-galanya semakin lancar setelah penulis menyertai Utusan Malaysia pada tahun 2000. Perasaan lega ketika itu lebih kepada kedudukan penulis yang semakin stabil dari segi kewangan. Dengan gaji yang ada, penulis kemudiannya ‘dipaksa’ arwah ayah untuk memiliki aset sendiri - rumah. Tidak terlintas langsung penulis untuk membuat komitmen sebegitu besar ketika itu kerana mahu juga bermewah-mewah - membeli pakaian berjenama, bercuti di luar negara dan lain-lain.

Biarpun pada usia 28 tahun sudah mampu memiliki rumah dan kereta sendiri, namun penulis masih tidak merasa apa-apa kelebihan sehinggalah sekarang nampak hikmahnya mendengar nasihat ibu bapa. Lihat sahaja kini, harga rumah mencanak-canak naik.

Coretan ini bukan tujuan meng­angkat diri, sebaliknya anggaplah ia perkongsian pengalaman. Penulis terdorong menulisnya setelah terkejut dengan pendedahan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri iaitu seramai 579 belia berusia 25 tahun ke bawah di negara ini direkodkan muflis dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Kebanyakan kes muflis orang muda disebabkan kegagalan membayar balik pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi dan kad kredit.

Seawal usia 25 tahun sudah bankrap? Rata-rata mereka pada usia itu baharu tamat pengajian. Adalah tidak adil untuk penulis menyamakan situasi mereka dengan zaman dahulu yang mana harga rumah, kereta, belanja makan dan lain-lain tidak semahal sekarang.

Begitupun, ia bukan alasan untuk belia mencipta hutang keliling pinggang. Berbelanja biarlah ikut kemampuan. Jangan terikut-ikut orang - biar papa asal bergaya tetapi akhirnya merana.

Kepada belia-belia di luar sana, belajarlah memikul tanggungjawab, sekurang-kurangnya untuk diri sendiri. Nasihat penulis, lunaskan hutang terlebih dahulu dan kemudian berkongsilah rezeki dengan keluarga dan mereka yang memerlukan (bayar zakat) maka berkatlah rezeki yang ada.

RAJMAH HASAN Utusan Malaysia Rencana  28 Oktober 2014 1:15 AM
Tags: belanja
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments