kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Revolusi mental Jokowi dan DEB

SEJAK April lalu, saya ber­ulang-alik dan ber­mas­tautin selama lebih ku­rang tiga minggu bergilir-gilir antara kampus Universiti Malaya (UM) di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dengan kampus Universitas An­dalas di Bukit Limau Manis, Pa­dang Sumatera Barat. Saya ber­ada di UM sebagai Pakar Rujuk (adakalanya disebut se­bagai Felo Kanan) di Akademi Pe­ngajian Melayu manakala di Universitas Andalas saya mendapat penghormatan sebagai Guru Besar Tamu (istilahnya di Malaysia ialah Profesor Pelawat). Universitas An­dalas adalah satu daripada dua universiti terbesar di Indonesia di luar pulau Jawa.

Peluang menjadi Profesor Tamu di Universitas Andalas itu semakin menyedarkan saya betapa terbatasnya pengetahuan saya tentang dinamika sosiopolitik Indonesia dan betapa banyaknya masih perlu dipelajari. Demikian juga saya dapati pengetahuan dan pemahaman rakan-rakan kita di Indonesia menge­nai Malaysia masih sa­ngat dangkal. Mereka lebih banyak terdedah kepada hal-hal sensasi. Pengetahuan dan pemahaman kebanyakan mereka tentang Malaysia masih sangat banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif.

Secara kebetulan, kedudukan saya sebagai Profesor Pelawat di Universitas Andalas itu bermula serentak dengan berlangsungnya Pilihan Raya Parlimen Indonesia (Pemilihan Legislatif - Pileg). Pileg ini diikuti oleh Pilpres atau Pemilihan Presiden yang berakhir dengan kemenangan Joko Widodo sebagai presiden dan pasangannya Jusuf Ka­la sebagai Wakil (Naib) Presiden mengalahkan pasangan Prabowo-Hatta.

Sehubungan itu, saya ingin membincangkan secara ringkas tentang pilihan raya atau pemilihan umum (pemilu) khususnya Pilpres di Indonesia serta implikasi kemenangan pasangan Jokowi-Jusuf Kala yang popular juga dengan panggilan Joko-JK itu. Apakah tampak kemenangan Joko-JK terhadap masa depan Indonesia dan apakah kesannya terhadap hubungan Malaysia-Indonesia? Yang sudah pasti kemenangan pasangan Joko-JK itu telah membawa pelbagai pembaharuan terhadap dinamika politik Indonesia. Proses pemilihan umum presiden yang dilalui Jokowi-JK adalah satu pembaharuan berban­ding proses pemilihan yang dilalui lima orang presiden terdahulu.

Lima presiden Indonesia (Sukarno, Suharto, Habibi, Abdul Rahman Wahid @ Gusdur dan Megawati Sukarno Putri) menduduki jawatan tersebut melalui proses pemilihan oleh anggota Parlimen atau Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) yang jumlahnya hanya lebih kurang 700 orang. MPR adalah gabungan dua dewan iaitu Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD), lebih kurang sama seperti gabungan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam Parlimen Malaysia.

Sementara itu, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) sebagai presiden keenam dan Joko Widodo (Jokowi) sebagai presiden ketujuh dipilih langsung oleh rakyat yang bila­ngannya lebih kurang 140 juta orang tersebar di seluruh pelosok Indonesia. Pasangan Jokowi-JK memperoleh 53% undi.

Kerana Jokowi (seperti juga SBY) terpilih menjadi presiden me­lalui proses pemilihan secara langsung oleh ratusan juta pengundi di seluruh negara tentu sahaja terdapat pelbagai perbezaan berban­ding proses pemilihan lima presiden yang lebih awal. Pemilihan Jokowi dan SBY jauh lebih demokratik dan sangat terbuka sifatnya. Suasana persaingan sengit diperhebat dengan amalan berkempen yang sangat intensif melibatkan tokoh-tokoh akademik dan profesional (di samping pemimpin-pemimpin politik), memanfaatkan kemajuan teknologi komunikasi yang canggih.

Perdebatan dalam pelbagai forum melibatkan tokoh akademik, cendekiawan, usahawan dan pe­mimpin-pemimpin po­litik itu de­ngan sendirinya telah menjadi satu pendidikan demokrasi yang sangat bernas untuk masyarakat awam. Dan yang lebih menarik pada pandangan saya, semua perdebatan itu berlaku dengan menggunakan bahasa Indonesia yang canggih sama ada yang terlibat dalam pelbagai peringkat perdebatan itu warganegara Indonesia asli atau keturunan masyarakat imigran.

Ini mengingatkan saya betapa masih ramai pemimpin kita di Malaysia yang tidak fasih berbahasa kebangsaan, malah dalam perbahasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sendiri sering terdengar penggunaan bahasa rojak.( Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengakui kegagalan kita menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan).

Satu lagi aspek baru dalam pemilihan Presiden Indonesia yang terbaru ini adalah penggabungan (koalisi) parti-parti politik yang membentuk dua khemah atau kubu yang secara signifikan me­rintis kewujudan sistem dua parti dalam politik Indonesia. Pada masa ini Indonesia mempunyai parti politik yang sangat banyak dan persaingan serta perebutan kuasa dan pengaruh di kalangan parti politik tersebut merumitkan usaha-usaha penggubalan undang-undang dan proses pemerintahan. Diperkirakan kerumitan itu akan dapat diatasi (dikurangkan) jika parti-parti politik terbabit dapat bergabung membentuk dua koalisi.

Sehubungan itu, kelihatan juga tanda-tanda kematangan berpolitik, meningkatkan kefahaman pro­ses demokrasi serta menerima hakikat perbezaan dan kepen­tingan tole­ransi. Persaingan sengit yang mendebarkan dan ‘memperlihatkan ancaman perpecahan’ semasa kempen pilihan raya ternyata berakhir dengan kesediaan untuk akrab kembali bila keputusan muktamad pilihan raya itu diumumkan dan diterima setiap yang berkenaan. Ada pihak berpendapat bahawa antara sebab utama semua itu berlaku adalah kerana pendekatan dan gaya kepimpinan Jokowi yang berbeza dengan enam orang presiden terdahulu.

Pertama kalinya dalam sejarah politik negara itu, seorang pre­siden daripada rakyat biasa, bukan kelas elit dan tidak mempunyai latar belakang ketenteraan. Joko Widodo ialah seorang tokoh politik yang tidak begitu pandai berpidato dan tidak mahir beretorik, berbeza dengan presiden-presiden terdahulu terutama Almarhum Presiden Sukarno yang sangat petah berpidato dan memiliki watak yang flamboyant dan glamorous. Daya tarik Jokowi yang utama ialah ke­sederhanaan dan sikapnya yang bersahaja di samping imej bersih daripada gejala korupsi dan ditanggapi sebagai seorang yang sangat prihatin terhadap nasib rakyat jelata atau golongan bawahan.

Dia juga memperkenalkan satu lagi gaya kepimpinan mendekati rakyat jelata dengan amalan ‘blusu­kan’­ iaitu berjalan kaki di tengah pasar, di kaki lima dan pusat beli-belah beramah mesra dengan rakyat jelata sambil menanyakan masalah mereka.

Amalan ‘blusukan’ ini (sama seperti amalan turun padang di Malaysia) yang sebenarnya telah lama dilakukan oleh pemim­pin Malaysia termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak. Tetapi dalam amalan komunikasi politik di Indonesia, ‘blusukan’ sesuatu yang baru dan jarang dilakukan oleh pemimpin sebelum Jokowi. Malah istilah itu sendiri dianggap baharu dalam perbendaharaan bahasa Indonesia baku.

Jokowi berusaha mendapatkan input atau pandangan sebanyak-banyaknya daripada pelbagai pihak mengenai hal-hal penting. Um­pamanya dia menjemput ­orang ramai mencadangkan nama-nama tokoh yang patut menjadi menteri dalam Kabinetnya. Dan untuk memastikan Kabinet dan peme­rintahannya benar-benar bersih daripada unsur rasuah, ­dia meminta Komisi (Suruhanjaya) Pembanteras Korupsi (KPK) menyenarai pendek bakal menteri yang hendak dilantiknya. Sehingga ­tengah malam Rabu kelmarin, sekurang-kurangnya lapan daripada 42 nama calon menteri yang dikemukakan oleh Jokowi telah dinilai sebagai tidak layak (dicoret dengan dakwat merah) oleh KPK. Ini menyebabkan tertangguhnya pengumuman Kabinet baharu yang dijadualkan sehari selepas upacara angkat sumpah Isnin lalu.

Banyak lagi unsur pembaharuan yang muncul dalam dinamika politik Indonesia berikutan pemilihan legislatif (pileg) Mei lalu dan pemilihan presiden (pilpres) yang menobatkan Joko Widodo sebagai presiden baharu. Tetapi bagi kita di Malaysia soalan yang paling relevan: Sejauh manakah pelbagai pembaharuan itu akan mempengaruhi hubungan Malaysia-Indonesia?

Saya melihat sesuatu yang positif. Sambil memikirkan jawapan terhadap soalan tersebut, dua perkara terbayang dalam ingatan saya. Pertama, antara Najib dan Jusuf Kala untuk sekian lama telah terjalin ikatan persahabatan yang amat akrab dan rasa kekeluargaan yang amat intim. Kedua-dua tokoh secara terbuka mengakui dua persamaan yang mereka miliki. Pertama, kedua-duanya mempunyai latar belakang keturunan Bugis dan isteri masing-masing berasal dari Minangkabau.

Selain itu, saya melihat manifesto pilihan raya Jokowi yang berjudul Revolusi Mental mempunyai persamaan dengan falsafah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dirintis oleh ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak. Tiga matlamat Revolusi Mental gagasan Jokowi ialah kedaulatan politik, kemakmuran ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan keperibadian dan jati diri bangsa.

Sementara itu, matlamat serampang dua mata DEB yang diilhamkan oleh Tun Razak ialah: pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Hampir serentak dengan pelancaran DEB di bawah pimpinan Tun Razak itu, Pergerakan Pemuda UMNO di bawah pimpinan Datuk Senu Abdul Rahman melancarkan pula kempen Revolusi Mental. Tidak lama kemudian Tun Razak juga menerima Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang diluluskan sebagai satu resolusi sebuah kongres yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan Malaysia pada 1971.

Demikianlah saya melihat persamaan visi dan misi dua negara dari bangsa serumpun berikutan pelbagai perubahan berlaku di Indonesia di bawah pimpinan Joko Widodo dan Jusuf Kala. Semoga dua negara dari bangsa serumpun ini akan berjaya meningkatkan kerjasama dan sinergi yang lebih produktif dalam usaha mencapai tiga matlamat re­volusi mental dan matlamat serampang dua mata DEB itu. Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) yang juga Profesor Pelawat di Fakultas Hukum Universitas Andalas, Padang, Indonesia Utusan Malaysia Rencana 28/10/2014

Tags: deb, mental
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments