kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

MUET - Transformasi pendidikan

SENARIO pendidikan di da­lam negara dan di pe­ring­kat antarabangsa sudah ber­ubah. Keupayaan dan keyakinan graduan bukan lagi diukur dengan pencapaian ter­baik dalam bidang akademik se­mata-mata.

Industri dan peluang pekerjaan juga menekankan kepada keupayaan kemahiran sosial termasuk penguasaan bahasa Inggeris. Keputusan kerajaan menaikkan had minimum kemasukan ke universiti dan syarat graduasi Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) yang diumumkan dalam Bajet 2015 baru-baru ini, mengajak kita berfikir tentang masa depan pendidikan.

Bagi saya Kementerian Pendidikan tidak pernah berniat untuk membelakangkan Bahasa Kebangsaan dalam usaha memperkukuh­kan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Langkah ini adalah untuk memastikan graduan IPTA mampu memenuhi permintaan dan kehendak pasaran kerja di peringkat nasional atau antarabangsa.

Saya beranggapan, pemben­ta­ng­an Bajet 2015 juga satu ‘transformasi pendidikan’ di negara ini. Walau apa pun syarat yang diletakkan, kita percaya universiti berupaya untuk meningkatkan tahap kemahiran bahasa Inggeris. Anggaplah langkah ini sebagai cabaran dan paradigma minda agar kita lebih kuat berusaha menguasai bahasa Inggeris. Bagi pelajar-pelajar Melayu, mereka perlu melipat gandakan usaha dan memfokuskan perhatian kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat sekolah dan diploma.

Sebenarnya syarat penguasaan bahasa Inggeris bagi syarat kema­sukan ke peringkat ijazah bukanlah perkara baharu. Cuma apa yang akan dilaksanakan adalah langkah memperkasakan lagi graduan menara gading supaya dapat bersaing dengan alam pekerjaan yang bersifat ‘glokal’ - global dan berakarkan kepada lokal. Iaitu mampu berbahasa Melayu dengan baik dan juga hebat menguasai bahasa Inggeris. Pokok pangkalnya, kita berusaha.

Lihat sahaja contoh, jika kita ­ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara, syarat TOEFL dan IELTS diperlukan. Samalah juga dengan MUET. Cuma yang agak membimbangkan saya adalah syarat kema­sukan ‘entry’ MUET. Bukan untuk menafikan atau menjatuhkan mana-mana pihak. Namun berdasarkan data dan pengalaman saya me­nerajui bidang pendidikan dijangkakan kemungkinan besar ramai calon dari Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Kedah akan jadi mangsa keadaan. Ini disebabkan mutu pelajaran bahasa Inggeris di sekolah. Malah ramai lagi anak-anak miskin tegar di bandar dan khususnya di luar bandar yang masih lemah menguasai bahasa ini.

Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) yang dilaksanakan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus berusaha membela anak-anak miskin ini berjaya dalam bidang pendidikan. Pusat Bahasa Inggeris, Jabatan Bahasa Inggeris atau jabatan-jabatan yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan program bahasa Inggeris akan terus diperkasa. Organisasi ini akan bertindak sebagai pusat pengajaran, pembelajaran, perundingan, latihan dan penyelidikan dalam pelbagai bidang yang berkaitan bahasa Inggeris termasuk bahasa, ke­susasteraan dan komunikasi.

Walau apa pun, yang penting kita perlu menjiwai ‘semangat dan roh kesungguhan Melayu’ dalam cabaran martabatkan pendidikan anak Melayu. Tidak perlu kita memprotes, memboikot, atau mencaci sebarang polisi. Pengalaman saya menunjukkan bahawa setiap polisi yang ingin diperkenalkan telah disaring dan dikaji setiap kemungkinannya.

Jangan kita jadi NATO (No Action Talk Only). Pengamatan saya mendapati lebih ramai suka menentang dari menyahut cabaran ini. Sebenarnya setiap universiti berhak meletak syarat kemasukan dan syarat graduasi mengikut perkembangan masa. Senat boleh memutuskan. Walau pun syarat pengambilan minimum telah ditetapkan tetapi oleh kerana wujud persaingan, maka sistem merit dilaksanakan. Selalunya calon-calon pelajar de­ngan MUET tinggi akan diutamakan. Sementara itu, yang sekadar memenuhi syarat kemasukan, tetapi dengan merit rendah diketepikan. Satu aspek merit adalah MUET. Mereka yang mempunyai MUET yang rendah dianggap kurang me­rit. Manakala untuk bergraduat pun mempunyai syarat tambahan dan memenuhi minima CGPA 2.0.

Kalau Senat menetapkan tahap MUET itulah syarat graduasi, maka ia perlu dipatuhi. Dalam isu akademik tiada tawar-menawar. Kalau tiada MUET pun Senat boleh menambah mata pelajaran bahasa Inggeris dalam program tahap sama dengan MUET. Jika pelajar tidak lulus, juga tidak boleh bergraduasi.

Oleh kerana tahun ini adalah tahun pertama pelaksanaan, maka pihak universiti diberi kelonggaran untuk menerima kemasukan pelajar, selagi ia memenuhi syarat am kemasukan. Berusahalah. Insya-Allah ia boleh dilakukan.

Tan Sri Prof. Sahol Hamid Abu Bakar ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Utusan Malaysia Rencana 28/10/2014

Tags: english, transformasi
Subscribe

  • Wise and Positive Words Jan 20

    Today's Inspirational Quote:"Do not wait; the time will never be 'just right.' Start where you stand, and work with whatever tools you may…

  • Wise and Positive Words Jan 7

    Today's Inspirational Quote:"Then give to the world the best you have, and the best will come back to you." -- Madeline Bridges…

  • Wise and Positive Words Jan 6

    Today's Inspirational Quote: "The self is not something ready-made, but something in continuous formation through choice of action." --…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments