kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Siapalah kita 
tanpa cikgu...

DALAM setandan pisang, tidak semuanya elok. Dalam setandan pisang juga, tidak semuanya busuk. Malangnya di negara kita sekarang, orang lebih gemar memberi perhatian kepada buah yang busuk sehingga melupakan buah yang elok, sedangkan yang elok lebih ba­nyak daripada yang busuk.

Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula 3 November ini iaitu Isnin depan, penulis tiba-tiba teringatkan peribahasa lama yang satu ini.

Mempunyai anak yang bakal menduduki peperiksaan penting itu, penulis melihat sendiri komitmen yang ditunjukkan oleh para guru untuk memastikan kejayaan anak muridnya. Buktinya Ahad lalu, hari cuti umum di Selangor, SMS7 di Shah Alam, mengadakan kelas tambahan untuk pelajar tingkatan lima.

Penulis percaya bukan hanya SMs7 bahkan sekolah lain juga melakukannya. Jika bukan kelas khas untuk pelajar yang disasarkan mendapat semua A, ulang kaji khusus buat pelajar yang lemah dalam mata pelajaran tertentu. Pendek kata tempoh yang berbaki tidak sampai berapa hari lagi menjelang SPM hendak dimanfaatkan sepenuhnya dan sebaik-baiknya bagi mencapai matlamat yang disasarkan.

Tidak kiralah komitmen itu diberikan demi mencapai KPI (indeks petunjuk prestasi) sekolah atau untuk mengejar Anugerah Guru Cemerlang, yang pasti ia tidak datang dengan lewa sebaliknya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.

Ramai guru yang menghabiskan lebih banyak masa di sekolah daripada di rumah. Walaupun sesi persekolahan hanya separuh hari, jarang ada dapat pulang melenggang selepas loceng kelas terakhir berbunyi.

Bagi yang mengajar kelas kritikal termasuk pelajar tingkatan lima yang bakal menduduki SPM tidak sampai seminggu lagi, masa kerja mereka biasanya bersambung dengan kelas tambahan, ulang kaji dan latih tubi.

Bahkan ramai yang terpaksa mengorbankan cuti hujung minggu bersama keluarga untuk ke sekolah seperti hari-hari biasa, mengajar seperti biasa terutama buat anak murid atau pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama.

Di saat-saat begini, keluarga terpaksa di­letak ke tepi, sekolah sudah menjadi rumah kedua guru-guru yang dedikasi ini.

Penulis mengenali ramai guru yang komited de­ngan tugas dan tanggungjawab mereka terhadap kerjaya mulia itu.

Di samping ramai yang mengajar di sekolah harian, sekolah berasrama penuh dan sekolah lain untuk pelajar normal, ada yang mengajar di sekolah istimewa – sama ada di sekolah pendidikan khas untuk pelajar kurang upaya; sekolah dalam hospital untuk pelajar yang menghidap penyakit kronik dan tidak boleh meninggalkan wad; sekolah gelandangan dan sekolah untuk mereka yang bermasalah termasuk yang sedang menjalani hukuman di penjara.

Ramai juga yang mengajar di sekolah pedalaman yang terpaksa bersampan, me­redah denai dan hutan, namun mereka tetap melakukannya demi ikrar terhadap profesion dan iltizam untuk mendidik anak bangsa.

Mengenangkan pengorbanan guru yang bukan sedikit ini, agak malang apabila insiden terpencil seperti kes kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan mudah membuatkan kita terlupa akan jasa-jasa mereka. Peranan mereka diperlekeh, sumba­ngan mereka diremeh. Walaupun ada seorang dua guru yang terlibat dalam kes itu, wajarkah seluruh warga guru hendak dihukum sama?

Dalam setandan pisang, tidak semuanya busuk. Ja­nganlah kerana terlalu memberi perhatian kepada buah yang busuk, kita lupakan buah yang elok. Sedangkan yang elok lebih banyak daripada yang busuk.

Begitu jugalah dengan guru. Lebih banyak yang elok daripada tidak elok. Lebih banyak yang jujur memikul amanah mendidik anak bangsa, yang komited dan sanggup berkorban, masa, tenaga dan wang ringgit demi melihat kejayaan anak-anak muridnya.

Janganlah kerana seorang dua guru yang tidak amanah­, culas mengajar dan terlibat dalam membocorkan soalan peperiksaan, habis semua hendak dihukum, semuanya hendak diberi pandangan serong.

Penulis percaya setiap daripada kita ada kenangan bersama guru tidak kiralah ketika di bangku sekolah rendah atau menengah. Tidak kiralah guru itu mengajar sepenuh masa atau hanya guru sandaran, di sekolah, tempat tui­syen atau warden asrama.

Setidak-tidaknya pasti ada seorang guru yang kekal dalam ingatan kita walaupun setelah lama meninggalkan alam persekolahan. Ingatan itu tentulah kerana pe­ngajaran yang diberikan kepada kita sama ada dalam bentuk teguran, nasihat waima herdikan atau sindiran begitu terkesan di hati dan membantu membentuk diri kita hari ini.

Kesempatan menjadi guru sandaran di TIKL walaupun singkat membuatkan penulis merasa cukup istimewa memakai gelaran guru atau cikgu. Dan penulis mencemburui mereka yang terus sabar dan sanggup bertahan dalam kerjaya itu walau pelbagai cabaran mendatang dan cukup berat beban yang ditanggung.

Sebagai ibu bapa, kita berdebar lebih daripada biasa apabila anak kita menduduki peperiksaan utama. Bayang­kan pula debaran para guru yang perlu menyaksikan ‘anak-anak’ muridnya menghadapi peperiksaan saban tahun.

Justeru walaupun kadang-kala kita merasakan lebih pandai daripada guru di sekolah, belajar-belajarlah menghormati dan menghargai mereka.

Ingatlah, kita tidak akan berada di kedudukan sekarang tanpa jasa dan tunjuk ajar guru. Siapalah kita tanpa mereka. Coretan Marhaen Utusan Malaysia Rencana 28/10/2014

Tags: guru
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments