kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

BM dipinggirkan?

Baru-baru ini saya berpeluang menyampaikan pandangan di Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu antara lain mengucapkan tahniah dan berbanyak terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta sekutunya dalam usaha menggigihkan diri terus berjuang memartabatkan bahasa Melayu. Kini kita bersama sekali lagi dalam perjuangan tanpa henti ini. Setelah hampir enam dekad merdeka, kita masih berkempen Bulan Bahasa Kebangsaan, kita masih merintih semacam mahu terus membuat keluhan bahawa perjalanan Bahasa Kebangsaan masih sukar.

Pimpinan negara lebih bilangan Melayunya tetapi kerajaan-kerajaan tempatan masih liat dan enggan melaksana dasar-dasar tegas Bahasa Kebangsaan. Kita terlalu bertolak ansur sehingga bahasa Melayu sering diensot dan diansur.

Kadang-kadang kita sendiri yang ensotkan – ada 'kawasan' tetapi ditukar saja kepada 'presint' seperti di Putrajaya; ada barangan terpakai, kita jadikan barang sekenhend seperti dalam Akta Barang Sekenhend 1946 (Akta 189). Jadi bagaimana? – ditukar kepada “so bagaimana?” Banyak pagar keutuhan bahasa Melayu sudah ditumbangkan, ditolak ke tepi. Kadang-kadang semacam terasa bahasa Melayu disepak terajang, dihempas dipulas.Kita masih berkempen. Kita masih menyanyikan senandung lagu lama yang semestinya jangan dilupai seperti mana kita jangan lupai Allahyarham Dol Ramli yang mencipta senikata: Bahasa Jiwa Bangsa; Satu Bahasa Satu Bangsa dan pelbagai tajuk serta motto yang lain. Dalam pada itu Utusan Melayu Jawi mati sudah, edaran akhbar bahasa Melayu dapat ditandingi akhbar-akhbar bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin. Para saudagar tak begitu tertarik hendak mengiklankan khidmat dan barangan mereka di dada akhbar berbahasa Melayu kerana edarannya agak terhad.

Hakikatnya kita sudah merdeka 57 tahun tetapi keadaan seolah-olah kita masih baru merdeka. Juga saya melihat penglibatan bukan Melayu dalam kerja-kerja mempromosi bahasa Melayu amat berkurangan.

Dalam pada itu, penggunaan Bahasa Kebangsaan di Internet begitu caca merba, sekerat belut-sekerat ular. Bila itu berlaku, ramai yang berduyun-duyun menggunakan bahasa Inggeris saja. Kalau boleh kita ingin mencadangkan – jawatankuasa bahasa Kebangsaan di peringkat wilayah wajib mempelbagai kaumkan keanggotaannya selain programnya. Golongan bukan Melayu mahu bercakap Melayu tetapi bila melihat Melayu sendiri yang bertutur Melayu-Inggeris mungkin tumpul semangat mereka. Akhirnya di Malaysia, kalau tak tahu pun bercakap Melayu sudah tidak menjadi apa lagi, mereka boleh berdaya hidup di pekan dan bandar dengan menggunakan bahasa Inggeris, Kantonis atau Mandarin. Tetapi kalau ke Indonesia, walaupun di sana penuh dengan akronim dan alih bahasa kata nama, pelawat terpaksa berbahasa Indonesia lantaran rakyatnya tidak berbahasa Inggeris atau sekerat Inggeris sekerat bahasa Indonesia.

Memang mudah untuk dihujahkan bahawa dengan adanya sekitar 250 juta penutur bahasa Melayu/Indonesia di republik itu maka ujian bilangan penutur memang mudah diatasi. Di Malaysia penutur bahasa Melayu sekitar 28 juta termasuk mereka yang diksinya bahasa pasar; di Brunei, Singapura dan selatan Thai sekitar 1.5 hingga 2 juta manusia. Dengan yang demikian angka sebenar penutur bahasa Melayu ialah tak kurang 300 juta jika terus dimasuk kira penutur di Pulau Krismas, Sri Langka, Madagaskar, Surinam dan Afrika Selatan. Jeritan “kita boleh” memang tergiang-giang di telinga. Tetapi di sisi angan-angan besar ini kita sedia menghadapi beberapa hadangan awalan.

Pertama ialah deria politik. Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand sebagai permulaan harus sedar betapa relevannya bahasa Melayu/Indonesia diusahakan dan diiktiraf sebagai bahasa diplomatik. Atas bilangan penutur sahaja akan boleh dibuktikan realiti hakikat ini. Jika Malaysia dan jirannya ini tidak dapat mencantumkan azam politik atau kesepakatan terlebih dahulu maka angan-angan yang bersifat urat tunjang ini tidak akan berjaya.

Usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia perlu dimanfaatkan juga dari sudut dagangan, ekonomi am, budaya dan sejarah. Semasa zaman Srivijaya 650-1375 bahasa Melayu bersifat jaguh. Ia menjadi bahasa diplomatik, dagangan dan budaya.

Memanfaatkan

Negara-negara ASEAN atas konsep komuniti ASEAN 2015 amat beruntung jika bahasa Melayu/Indonesia disetujui sebagai bahasa antarabangsa. Mengantarabangsakan bahasa Melayu mempunyai empat peringkat realitinya:

Pertama – harus mengiktiraf dan mengamalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua komuniti ASEAN terlebih dahulu.

Kedua – perlu diwujudkan hubungan kerja-kerja pembahasaan atau pembahasaan bahasa Melayu/Indonesia dalam urusan diplomatik tertentu. Kini Indonesia dan Malaysia masih menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi rasmi. Ini seharusnya dilandaskan kepada realiti baru sebelum merentas ke benua antarabangsa.

Ketiga – kedua-dua negara amat perlu memanfaatkan apa-apa saluran atau kemudahan rangka kerjasama bahasa yang sedia ada seperti Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu MABM, jawatankuasa istilah. Interaksi ilmiah, budaya, saintifik dan linguistik yang berterusan mesti diperhebatkan.

Keempat – usaha menyelaras pengurangan penggunaan terma-terma dan istilah bahasa Inggeris yang kini sedang meledak di kedua-dua negara. Ledakan akronim dan kesingkatan perkataan begitu keterlaluan sehingga bahasa Indonesia dan bahasa Melayu 10 tahun lalu sudah sukar dikenali. Ini disebabkan tiada kepatuhan kepada prinsip “bila ada perkataan atau istilah dalam bahasa Melayu jangan digunanakan istilah atau perkataan bahasa Inggeris.” Di sini kita boleh buat perbandingan nyata.

Tentu sekali sesuatu bahasa yang dituturkan oleh sekian ramai manusia di bawah empat atau lima kuasa geo-politik seperti mana halnya di kawasan dunia Melayu dan ASEAN, keseragaman menjadi salah satu isu. Namun pada asasnya kesemua negara berbahasa Melayu itu memahami apa yang dibahasakan dalam kehidupan seharian. Konteks pengertiannya lebih kurang sama dengan apa yang berlaku di antara United Kingdom (Britain) dan Amerika Syarikat. Memahami bahasa Queen’s English di New York tidak menjadi masalah. Begitu juga halnya – bahasa Inggeris (English) New York lantas difahami jelas dan secara biasa di Liverpool atau London, malah di seluruh dunia.

Ketepatan bahasa Melayu untuk dijadikan bahasa diplomatik memang sudah perkara logik. Tinggal lagi soal ini terserah sahaja kepada azam perjuangan antara Indonesia dengan Malaysia. Secara percerakinan, alasan-alasan berikut adalah membantu kita membuat cadangan tersebut yang saya sendiri telah mengutarakanya kerapkali sama ada di Jakarta, Beijing dan di Kuala Lumpur.

Selagi apa yang kita tuturkan di Kuala Lumpur difahami oleh rakan-rakan di Jakarta; selagi ayat “Saya lapar” masih dimengerti di KL-Jakarta-Seri Begawan-Songkhla-Kg. Geylang Singapura – selama itu ungkapan “Kita cinta bahasa kita” juga boleh bertahan dan dipertahankan – selama itulah bahasa Melayu perlu diantarabangsakan sekalipun belum lagi jadi bahasa rasmi di PBB. DR. RAIS YATIM Utusan Malaysia Rencana 26 Oktober 2014 1:23

Tags: melayu
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments