kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jelmaan ikon layar perak I

Mengangkat kisah hidup tokoh dan selebriti terkenal ke layar lebar memerlukan kajian terperinci berpandukan fakta sejarah selain sumber maklumat daripada individu terdekat.

Selepas mendapatkan maklumat yang lazimnya mengambil masa yang panjang, proses seterusnya meneliti siapakah aktor atau aktres paling layak membawa watak yang mahu difilemkan itu.

Proses ini sangat rumit kerana bukan mudah mencari pelakon yang mampu membawakan watak individu yang sememangnya wujud. Lebih-lebih lagi individu terbabit seorang legenda dan dikenali di seluruh dunia.

Jelmaan mereka sepertimana watak asal harus benar-benar menyakini penonton.

Sehubungan itu, pengarah harus meneliti pelakon yang memiliki banyak ke­samaan dari segi fizikal, punya karisma dan semestinya berbakat untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

Tidak hanya pelakon menentukan kejayaan watak yang dibawa, malah pembabitan keseluruhan produksi, pelakon pembantu berkaliber termasuk sentuhan jurusolek sangat penting.

Paparan RAP hari ini menyenaraikan sebahagian bintang ternama Hollywood yang pernah terbabit dalam penghasilan filem 'biopic' berdasarkan kisah benar individu dalam pelbagai bidang.

Sir Ben Kingsley-Mahatma Gandhi


Sir Ben Kingsley                           Gandhi

Gandhi adalah filem biografi mengangkat kisah hidup Mohandas 'Mahatma' Gandhi, pemimpin India yang cukup disegani dunia.

Beliau gigh menentang penjajah Inggeris pada 1948 tanpa menggunakan kekerasan.

Filem arahan Sir Richard Attenborough yang ditayangkan pada 1982 itu diterajui aktor hebat Sir Ben Kingsley sebagai Gandhi.

Hingga hari ini lakonan dan penghayatan Kingsley masih dianggap terbaik dalam sejarah penghasilan filem biografi.

Jelmaan watak Gandhi yang begitu asli, membuatkan beliau dikenang masyarakat India selain turut menerima penghargaan dari kerajaan negara itu.

Filem Gandhi turut mencatat kejayaan gemilang dalam Academy Awards ke-55 pada 1983 apabila membolot lapan anugerah termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Kingsley sendiri diangkat sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik.

Morgan Freeman-Nelson Mandela


Morgan Freeman Nelson Mandela

Setakat ini, terdapat lima filem mengisahkan kehidupan tokoh cukup terkenal dunia iaitu pejuang anti-apartheid dan Presiden Afrika Selatan, mendiang Nelson Mandela.

Penghargaan terhadap perjuangan beliau pernah diadaptasi menerusi filem Mandela lakonan Danny Glover pada 1987, Goodbye Bafana (Dennis Haysbert-2007), Winnie Mandela (Terrence Howard-2011) dan terbaru Mandela: Long Walk to Freedom lakonan Idris Elba tahun lalu.

Namun watak tokoh politik terkenal itu yang dibawa aktor berpengalaman Morgan Freeman menerusi filem Invictus pada 2009 paling mendapat perhatian.

Ini kerana 'jelmaan' Morgan sebagai Mandela cukup menjadi.

Filem arahan Clint Eastwood dengan Morgan itu digarap dengan baik apabila mengetengahkan konteks cerita bagaimana Mandela menjadikan sukan sebagai agenda politik beliau untuk perpaduan.

Sir Daniel Day-Lewis-Abraham Lincoln


Daniel Day              Abraham Lincoln

Keberkesanan penghayatan Sir Daniel Day-Lewis melakonkan watak Presiden Amerika Syarikat ke-16, Abraham Lincoln melayakkan aktor handalan dari Britain itu meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Academy Awards pada 2012.

Filem berjudul Lincoln arahan Steven Spielberg itu me­ngisahkan perjuangan Lincoln dalam memimpin bangsanya keluar dari perang saudara, mempertahankan persatuan bangsa dan menghapuskan amalan hamba abdi.

Namun di saat sisa-sisa terakhir peperangan, beliau mati ditembak.

Noami Watts-Lady Diana


Naomi Watts                                                      Lady Diana

Tahun lalu aktres kelahiran Britain, Naomi Watts, 45, muncul dengan filem berjudul Diana.

Ia mengisahkan kehidupan percintaan puteri kesayangan rakyat Britain itu selepas rumahtangganya dengan Putera Charles hancur.

Filem arahan Oliver Hirschbiegel itu banyak menyentuh hubungan Diana dengan pakar bedah jantung Hasnat Khan selain kehidupan beliau dua tahun sebelum tragedi kemala­ngan yang meragut nyawanya pada 31 Ogos 1997.

Filem itu bagaimanapun mendapat kritikan daripada pelbagai pihak kerana ada fakta yang tepat dan juga sebaliknya.

Angelina Jolie-Gia


Gia Marie Carangi                         Angelina Jolie

Gia yang dibintangi oleh aktres berwajah seksi, Angelina Jolie adalah sebuah filem biografi terbitan HBO pada 1998 yang menceritakan kehidupan model kelahiran Philadelphia iaitu Gia Marie Carangi, individu terkenal pertama meninggal dunia akibat virus HIV.

Sifat dan kecantikan semula jadi dimiliki Gia membuat kerjaya modeling beliau cukup gemilang di penghujung era 1970-an.

Namun kesunyian dan kemurungan yang dialami sejak kematian Wilhelmina membuatnya terjerat dengan ketagihan kokain.

Di saat berjaya mengatasi ketagihannya, Gia disahkan mengidap HIV dan meninggal dunia pada usia 26 tahun.

Filem ini memperlihatkan Angelina Jolie membawa pulang penghargaan Golden Globe sebagai Aktres Terbaik.

Robert Downey Jr-Charlie Chaplin


Robert Downey Jr                        Charlie Chaplin

Pada 1992, nama Robert Downey Jr begitu pantas meledak selepas beraksi cemerlang sebagai Charlie Chaplin dalam filem Chaplin.

Bagi mendapatkan penghayatan yang sempurna, Robert melakukan persiapan seperti belajar bermain biola dan tenis sebagai bukti kesungguhannya itu.

Dia juga mendapatkan khidmat pembantu peribadi bagi membantunya membentuk gerak tubuh sekaligus gaya mirip Charlie Chaplin.

Berkat daripada dedikasinya itu, Robert meraih pencalonan pertamanya di Academy Awards untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada 1993.

Namun, beliau tewas di tangan Al Pacino yang beraksi cemerlang menerusi filem Scent of a Woman.



Norhadiani Baharom yanie@mediaprima.com.my     Harian Metro RAP 01/1/2014

Subscribe

  • Politik , Politicking

    Politik dan bermain politik ( politicking) adalah merupakan definisi agak mudah sehingga sering digunakan secara longgar. Politik adalah cara…

  • Membaca Terlalu Banyak Berita Politik

    Mengamati dan taksub akan isu politik boleh membahayakan kesejahteraan, kebahagiaan dan hubungan anda Tak kira ketika musim pilihan raya atau…

  • Fitnah dan Memburukan

    Minta maaf atau sedia di saman , minta maaf atau jumpa di mahkamah sudah menjadi ‘bahasa pertuturan’ kegemaran masa kini baik kepada…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments