kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Usaha cari minyak di wilayah 'maut'

Dalam beberapa coretan saya terdahulu, saya berkata banyak pemikiran Mao Tse-tung bukan saja songsang malahan gila dari segi kesannya terhadap nyawa dan kebajikan rakyat China. Terhadap Red Guards, saya menganggap mereka seperti telah dirasuk syaitan melihat kepada keganasan-keganasan yang dilakukan.

RAHIM NOOR... (ABDULRAHIM.NOOR@YAHOO.COM)





Utusan Malaysia Renca  02 November 2014 2:56 AM

Harrison Salisbury, yang telah mengambil masa 20 tahun mengkaji secara empirikal keadaan negara China semasa pemerintahan Mao Tse-tung untuk menghasilkan bukunya The New Emperors: Mao and Deng, semacam senada dengan pandangan saya itu. Dalam halaman 247 bukunya dia berkata, “There was nothing accidental about the madman’s (Mao’s) rage that boiled up in the streets and hutongs (narrow streets or alleys) of Beijing’s dusty August 1966. Later, some would suppose that the madness was a fever that spontaneously swept China’s young people into delirium over Mao Zedong.”

Bagi Salisbury, keadaan huru-hara yang membakar di seluruh Beijing bukan datang secara tidak disangka-sangka atau secara kebetulan. Ia berpunca daripada sikap gila seseorang (Mao Tse-tung). Kegilaannya melimpah keluar ke jalan-jalan raya di Beijing dan bandar-bandar lain utama China, semacam ia sudah menjadi satu wabak demam kepialu, yang menimpa anak-anak muda seluruh China. Kita sedia maklum, suhu badan pesakit demam kepialu boleh sampai ke tahap luar biasa tingginya. Ia boleh menyebabkan pesakit yang malang itu mengalami gangguan fikiran disebabkan tahap suhu badan yang terlampau tinggi. Ini disebut delirium. Dalam keadaan itu, tidakkan kita tahu pesakit akan kerap cakap merepek atau meracau?

Pada satu ketika dahulu, masyarakat di kampung saya –mungkin juga dalam kalangan masyarakat Melayu amnya – apabila berhadapan dengan pesakit demam kepialu dan pesakit mula meracau, dukun akan berkata pesakit terkena sampuk. Ada juga berkata telah dirasuk hantu. Tidakkah hantu juga syaitan? Jadi, penjelasan Salisbury tidak jauh berbeza dengan pendapat saya.

Seperti saya kisahkan dalam coretan terdahulu, Mao Tse-tung telah memberi surat kepada Jiang Qing pada Julai 1966. Dua inti kandungan surat itu – pertama, pemikiran Mao bahawa keadaan huru-hara besar seluruh China pasti berakhir dengan wujudnya keadaan aman, dan kedua, pemikiran gila Mao, bahawa setiap tujuh atau lapan tahun, China akan diganggu oleh makhluk hantu besar yang sangat menakutkan dan akan mengganas di seluruh pelosok China. Tentulah bagi saya, makhluk hantu besar itu tak lain daripada Mao Tse-tunglah. Dialah yang membebaskan hantu besar itu untuk membaham masyarakat China. Itulah Red Guards, yang bertindak liar atas nama makhluk hantu kalau kita ikutkan pemikiran gila Mao Tse-tung.

Penerokaan

Dalam keadaan itulah nasib malang menimpa Wang Jinxi, yang sebelum dia diseksa dengan teruk oleh Red Guards, telah dijulang oleh parti komunis dan negara China sebagai penggerak utama pengeluaran minyak di Daqing, satu kawasan sangat terpencil (lokasinya antara Harbin dan Qiqihar), provinsi Heilongjiang, utara China bersempadan dengan Rusia. Provinsi ini adalah sebahagian dari wilayah besar Manchuria. Semasa Jepun menjajah Manchuria (1937 – 1945), Daqing didapati berpotensi menghasilkan minyak. Tetapi minyak tidak banyak diterokai semasa pendudukan Jepun sehinggalah tahun 1958 apabila pemerintah komunis China menghantar satu pasukan pakar geologi ke Daqing sebagai langkah pertama untuk penerokaan minyak secara lebih serius.

Pada tahun 1960, Mao Tse-tung menetapkan dasar supaya China berusaha lebih keras agar tidak lagi bergantung kepada bekalan minyak dari luar negara. Kebergantungan China kepada minyak luar negara bagi Mao, bukan saja berbahaya dari segi strategi pertahanan China, malah ia boleh menghambat kelancaran dasar menjadikan China sebuah negara industri yang hebat seperti Britain dan Amerika Syarikat. Mao mahu ini terjadi semasa hayatnya. Hasrat Mao Tse-tung menjadikan China setanding dan sebaris dengan kedua-dua kuasa Barat itu pernah saya ceritakan dalam coretan-coretan saya sebelum ini. Idaman ini, sebetulnya, semacam satu obsesi bagi Mao, menghantui fikirannya ‘siang dan malam’. Ego atau harga dirinya semacam akan tercalar sekiranya dia gagal mencapai hasrat itu. Kalau saya boleh mengulanginya – itulah mesej terpendam di sebalik dasar gilanya yang digelar Great Leap Forward (1958 – 1962) untuk bidang industri dan pertanian yang berkesudahan dengan kemusnahan dan kesengsaraan hidup rakyat China.

Wang Jinxi lahir pada tahun 1923 di daerah Yumen provinsi Gangsu di bahagian tengah China. Kemiskinan menyebabkan Wang tidak bersekolah walau satu hari pun. Wang Jinxi yang buta huruf itu mengenal keperitan hidup sejak berumur sembilan tahun apabila dia bekerja sebagai gembala kambing milik satu keluarga di kampungnya. Selepas itu, pada umur dua belas tahun, dia mencari nafkah di sebuah kilang arang batu.

Tiga tahun kemudian, pada tahun 1938 pada umur 15 tahun, Wang Jinxi melangkah ke bidang penghasilan minyak di Yumen. Syarikat minyak itu bernama Yumen Oilfield, milik parti Kuomintang yang memerintah China ketika itu. Oleh sebab syarikat itu milik parti Kuomintang, maka pemerintah China pun mempunyai kepentingan dalam perusahaan itu.

Sedikit mengenai latar belakang penghasilan minyak di Yumen: ia merupakan kawasan pertama penghasilan minyak di China. Mula beroperasi pada 1939, Yumen merupakan salah sebuah kawasan di bahagian barat China yang diterokai oleh kerajaan Kuomintang pada tahun-tahun 1930-an untuk menjadikan China tidak lagi oil-poor country.

Selain Yumen, lain-lain kawasan ialah Jinquan, Junggar Basin, Tarim Basin, Qaidan Basin dan Ordos Basin di provinsi Xinjiang. Namun, kawasan Yumen di Gangsu itu dipastikan paling besar untuk negara China. Sewaktu bekerja dengan syarikat minyak itulah Wang Jinxi menimba pengalaman tahun demi tahun sehingga dia menjadi terkenal di seluruh China – sampai menarik perhatian parti komunis, apa lagi Mao Tse-tung secara peribadi.

Pada tahun 1956, semasa di Yumen, dia memasuki Parti Komunis China sebagai ahli. Tiga tahun kemudian (1959) dia menghadiri Perhimpunan Wira-wira Pekerja di Beijing, mewakili kaum buruh industri pengeluaran minyak. Pada bulan Februari 1960, apabila Mao Tse-tung dan Jawatan-kuasa Pusat Parti memutuskan untuk ‘menggempur cabaran hebat’ membuka Daqing sebagai kawasan pengeluaran minyak terbesar di China, Wang Jinxi serta-merta menyahut cabaran itu.

Dia bergegas ke Daqing bersama dengan pasukan rakan sekerjanya yang sudah pun sedia terkenal di China pada ketika itu. Ia diberi nama, No. 1205 Drilling Team (Pasukan Penggali No. 1205) yang dianggotai 30 orang.

Apa bakal terjadi kepada Wang Jinxi dan pasukannya selepas tiba di Daqing awal tahun 1960 itu dengan menghadapi cuaca yang sangat sejuk, keadaan sekeliling yang tidak dihuni manusia, sunyi-sepi dan menggerunkan bagi sesiapa pun manusia yang kurang kental semangatnya? Ikutilah coretan saya di minggu hadapan.

Tags: komunis
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments