TIGA puluh dua tahun lalu, pada 3 September 1982, Jeneral Carlo Alberto Dalla Chiesa ditembak mati dalam serangan hendap oleh pembunuh mafia di Sicily, Itali. Turut terbunuh ialah isteri dan pengawal peribadinya.
Join the MAFIA and be the BOSS JOHARDY IBRAHIM (JOHARDYIBRAHIM@TWITTER.COM) Utusan Malaysia Rencana 02 November 2014 3:03 AM |
Chiesa baharu sahaja empat bulan memulakan tugas setelah kejayaan menumpaskan kumpulan pengganas berhaluan kiri Brigate Rosse yang melancarkan kempen pembunuhan politik, penculikan, rompakan dan sebagainya.
Pada 1974, Chiesa menubuhkan skuad antipengganas di Turin mengandungi 10 anggota untuk menumpaskan Brigate Rosse yang berkesudahan dengan penangkapan dua pemimpin kanan kumpulan tersebut.
Berikutan statusnya sebagai hero kebangsaan, Chiesa dihantar ke Sicily, wilayah kepulauan di selatan Itali yang menjadi lubuk mafia yang bermaharajalela sehingga memiliki pengaruh luar biasa di Parlimen Rome.
Begitu dahsyatnya penguasaan mafia itu, nama Chiesa terus tercatat dalam senarai 'Mayat Bergerak’ iaitu istilah sasaran pasti untuk dibunuh oleh mafia.
Di sebalik itu, reputasi Chiesa sebagai penumpas kumpulan pengganas tidak menakutkan secubit pun mafia. Isyarat yang mahu diberi mafia ialah Sicily adalah kubu mafia dan tiada siapa boleh menewaskan mafia.
Pembunuhan Chiesa mendorong kerajaan Itali ketika itu, melipatgandakan tindakan memerangi mafia di Sicily. Majistret, Pendakwa Raya Giovanni Falcone yang merupakan anak jati Sicily, mati dalam serangan bom, 10 tahun kemudian. Penggantinya, Majistret Paolo Borsellino turut dibunuh.
Ketua segala ketua mafia atau Capo di tutti capi yang memerintahkan pembunuhan Falcone dan Borsellino dikenal pasti sebagai Salvatore 'Toto’ Riina, lahir pada 16 November 1930. Dia memimpin kumpulan mafia Corleonesi, telah menjadi pelarian selama 23 tahun sebelum ditangkap pada 15 Januari 1993 di Palermo.
Pihak berkuasa Itali dikritik kerana mengambil masa sebegitu lama untuk menangkap Riina, yang hidup seperti biasa di Sicily, termasuk anaknya ke sekolah setiap hari tanpa 'dikenali’.
Cosa Nostra Itali hari ini, telah berubah mengikut peredaran masa. Jalinan hubungan dengan sepupunya di Amerika Syarikat sejak awal kurun ke-19 telah sebati. Pengedaran dadah walaupun sulit, ia tetap menjadi komoditi utama kerana pulangan atas pelaburannya masih tinggi. Namun, antara perniagaan yang telah diceburinya ialah pemerdagangan manusia sama ada menjual wanita untuk dilacur atau menguruskan pelarian ekonomi dari negara miskin atau bergolak, dan perjudian atas talian.
Dalam buku berjudul Thieves’ World: The Threat of The New Global Network of Organized Crime tulisan Claire Sterling (Simon and Schuster, 1994), beliau menegaskan: "Tiada siapa yang lebih mendapat manfaat daripada perubahan politik pada 1990-an berbanding kumpulan jenayah terancang antarabangsa."
Buku yang menjadi rujukan pihak pengkuatkuasaan undang-undang dunia itu memberi gambaran yang menakutkan. "Hanya dalam ruang tiga atau empat tahun sahaja, sindiket jenayah terbesar di dunia telah menjalin kerjasama membentuk konsortium jenayah yang tidak pernah diketahui dalam sejarah.
Pax Mafiosa telah muncul – suatu perjanjian untuk mengelakkan konflik, membentuk strategi bersama dan mengeksploit dunia secara saksama antara mereka – menghubungkan mafia Amerika dengan Itali, maffiya Rusia, Triad China, Yakuza Jepun, dan kartel kokain Colombia.
Kegiatan kumpulan jenayah terancang bukan sesuatu yang mudah dihadapi. Itulah contoh mafia di Sicily, tempat kelahiran mafia sebenar di dunia. Polis dan majistret dibunuh. Kes seumpama itu nampaknya sudah merebak ke negara ini. Kita tunggu hasil siasatan pembunuhan pegawai kanan kastam.
Di Malaysia, tumpuan yang diberi oleh akhbar ini terhadap gejala perjudian atas talian dan mesin slot adalah ekoran daripada rintihan keluarga yang membuat aduan hampir setiap hari kepada kami, agar suatu tindakan muktamad membanteras kewujudan pusat-pusat ini dilaksanakan dengan kejujuran dan kehendak politik yang tiada was-was oleh pihak berkuasa.
Ramai yang menceritakan bagaimana keluarga mereka menjadi porak-poranda kesan daripada perjudian mesin slot ini. Ada kalangan anak muda, beralih kepada kegiatan jenayah untuk mendapatkan modal ketagihan mesin slot atau membayar balik hutang piutang kekalahan. Ada diceritakan, seorang bapa menebus hutangnya dengan ‘mengahwinkan’ anaknya dengan tauke judi.
Ada kes seorang pekerja swasta yang hanya tinggal setahun sahaja lagi hendak bersara, telah terjerumus dalam ketagihan mesin slot dan kini berdepan dengan tindakan undang-undang. Wang pencen tidak akan dapat. Keluarga menderita. Ini bukan cerita rekaan, cubaan atau 'merrepak' semata-mata. Ini adalah kejadian yang benar-benar berlaku.