kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Umno bakal terima padah jika terus abai pemikiran bandar mahasiswa

Akhirnya, perbicaraan kes rayuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan Putrajaya berakhir semalam, dan sama ada ahli politik veteran itu akan ‘kembali’ semula ke Penjara Sungai Buloh, masih lagi belum dapat ditentukan.

Ketika Anwar sedang menunggu keputusannya, sekumpulan 8 mahasiswa Universiti Malaya (UM) juga terpaksa menunggu sehingga 18 November ini, sama ada mereka dijatuhkan hukuman atau tidak kerana membawa ketua pembangkang itu berceramah di universiti berkenaan minggu lalu.

Apa yang pasti persepsi penghakiman politik dan pelbagai tuduhan lagi terus dilemparkan pembangkang kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sering dilabelkan mempengaruhi keputusan cabang kehakiman.

Hakikatnya, tiga cabang utama yang membentuk pentadbiran dan perundangan negara iaitu Parlimen, eksekutif (kerajaan) dan kehakiman tidak boleh bercampur atau mempengaruhi antara satu sama lain.

Itulah yang diajar secara teori dalam subjek Sejarah sistem pendidikan negara, walaupun ramai yang sering memberi tafsiran sememangnya berlaku campur tangan antara ketiga-tiga cabang berkenaan dan kononnya banyak contoh boleh diberikan.

Ada yang membuat tanggapan apabila Anwar masuk ke penjara nanti (masih belum diputuskan), yang paling beruntung adalah BN dan Umno serta pimpinan parti terutama sekali Datuk Seri Najib Razak.

Ini kerana bagi mereka yang yakin dengan teori ini, Umno tidak lagi mempunyai sebarang masalah menumpaskan pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 14 memandangkan ‘gel’ pelekat gabungan parti pembangkang ini, iaitu Anwar sudah berada dalam penjara.

Dengan populariti perdana menteri yang menjunam kepada 48% berdasarkan tinjauan Merdeka Center, sudah pasti keputusan kes Anwar juga akan terus mempengaruhi populariti Najib.

Pendekatan tidak popular yang diambil kerajaan BN dengan rasionalisasi subsidi minyak tetapi terus memberikan subsidi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat, jelas mengundang kemarahan kepada rakyat golongan pertengahan sama ada orang Melayu atau bukan Melayu.

Golongan ini, yang majoritinya tinggal di kawasan bandar dan separuh bandar jelas bersuara dalam PRU13 lalu, dengan menghukum BN dan Umno kerana dilihat gagal memperjuangkan nasib mereka.

Kegagalan menawan kembali Selangor selain kalah beberapa lagi kerusi DUN dan Parlimen di Johor yang majoritinya kawasan bandar dan separuh bandar menunjukkan aliran penolakan berterusan golongan ini kepada BN serta Umno.

Majoriti rakyat sebenarnya, tidak lagi peduli dengan apa akan berlaku pada Anwar sama ada ketua umum pembangkang ini, dijatuhkan hukuman penjara semula atau tidak kerana yang pasti kos sara hidup pasti akan terus meningkat, harga barang di pasar terus meningkat.

Ini semua jelas akan menjerut poket rakyat yang terus sensitif dengan perbelanjaan kerajaan yang dilihat mewah serta isu melingkari keputusan perbelanjaan kerajaan dalam pelbagai projek mega yang sering didendangkan pembangkang.

Pada masa sama, aura Anwar terus meresap di kalangan golongan mahasiswa yang jelas akan membentuk pengundi terbesar dalam PRU14 nanti dengan memberi tanggapan pelbagai bentuk kezaliman dilakukan kerajaan BN.

Di sinilah, kelemahan ketara BN terutama sekali Umno untuk ‘merobohkan’ pagar pemikiran mahasiswa di negara ini, bagi mengembalikan sokongan kepada parti pemerintah kerana tiada satu strategi menawan institusi pengajian tinggi.

Di pihak pembangkang pula, mereka sudah bersedia dengan pemimpin muda yang terbukti  akan dapat menarik undi rakyat apabila sering dilihat dizalimi kerajaan BN dan mendapat ‘publisiti’ di media massa terutama sekali media sosial dan media Internet.

Nama-nama seperti Prof Madya Azmi Shahrom, Adam Adli, Fahmi Zainol dan beberapa lagi aktivitis muda pro-pembangkang akan membentuk barisan pemimpin muda pembangkang yang jelas ‘berupaya’ untuk memenangi PRU apabila bertanding.

Amat jelas sekali proses peremajaan parti yang dijanjikan Najib selaku presiden umno masih gagal menghasilkan pemimpin muda lepasan mahasiswa untuk menjadi barisan pelapis kepada pimpinan sedia ada seperti Dyana Sofia daripada DAP yang jelas dapat menarik sokongan pengundi muda di kawasan bandar dan separuh bandar.

Dan perlu diakui Umno perlu segera melahirkan pemimpin muda di kawasan bandar dan separuh bandar kerana ia adalah langkah pertama perlu diambil bagi memulihkan parti di kawasan ini.

Jika Umno terus bersikap ‘in denial’ terhadap pengaruh Anwar terhadap golongan muda terutama sekali golongan mahasiswa ia jelas satu strategi yang akan memakan parti dalam PRU.

Walaupun, Anwar dan barisan pemimpin pembangkang seangkatannya makin hampir kepada senja perjuangan mereka tapi mereka mempunyai ramai pemimpin pelapis muda untuk menggantikan mereka ditambah dengan lapisan terbaru yang bakal dicipta sekarang seperti mahasiswa dalam kumpulan 8 UM.

Mengambil contoh UM yang berjaya melahirkan ramai pemimpin politik sama ada daripada Umno atau pembangkang bukan sahaja Anwar Ibrahim malahan pemimpon dalam kerajaan seperti Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Namun, adakah mahasiswa di UM ini sanggup bermatian untuk pemimpin kerajaan, sanggup datang secara sukarela untuk mendengar amanat pemimpin kerajaan dan mendengar penjelasan mengenai apa yang diperkatakan pembangkang adalah pembohongan semata-mata.

Sesuatu yang menghairankan juga mengapa mahasiswa di IPT lebih gemar menjemput pemimpin pembangkang dan aktivis pembangkang, adakah mereka bosan melihat pemimpin kerajaan yang sering dipapar dan dilambung dalam media arus perdana.

Perkara ini, sebenarnya memerlukan perhatian serius daripada Umno dan Putrajaya jika mahu terus memegang tampuk kuasa pemerintahan menjelang PRU14 yang sebenarnya amat getir selepas PRU13.

Dalam mengatur strategi untuk terus memberi pelbagai bentuk bantuan kepada golongan miskin dan kurang kemampuan, Putrajaya dan PWTC perlu juga sedar lanskap sosiopolitik negara terus berubah dengan pantas.

Golongan pertengahan yang majoriti dibentuk daripada graduan lepasan IPT terus ‘ditanam’ dengan pelbagai bentuk dakyah dan persepsi terhadap keborosan, kerakusan dan penyelewengan dalam Umno dan kerajaan BN.

Baru-baru ini, saya dijemput menghadiri satu debat anjuran sekretariat Festival  Konvokesyen Universiti Malaya bersama dengan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah bertajuk ‘Varisiti Kini Ketandusan Cendekiawan’.

Ketika sesi soal jawab, seorang mahasiswa bertanya kepada saya adakah Umno sebuah parti yang mengenepikan mereka yang pandai dan golongan ini, tidak berpeluang untuk menjadi pemimpin dalam parti.

Terus-terang saya katakan soalan itu mencerminkan persepsi dan pemikiran mahasiswa terhadap Umno yang menjadi tulang belakang kepada kerajaan BN terus gagal memulihkan kredibiliti di kalangan mahasiswa.

Dengan kata lain, soalan itu turut menyimpulkan kejayaan seseorang pemimpin Umno menjawat jawatan penting dalam kerajaan dan parti bukan terletak kepada kebolehan atau kepandaiannya tetapi lebih kepada usaha ‘membodek’ pemimpin tertentu.

Keputusan kerajaan membenarkan mahasiswa aktif dalam politik sebenarnya, terus gagal dimanupulasi Umno serta BN dan kelebihan itulah dimanfaatkan pembangkang untuk membentuk generasi muda sebagai pemimpin pelapis mereka.

Turut memelikkan mengapa jentera Umno dan BN tidak menjalinkan kerjasama dengan persatuan mahasiswa, kalau ada pun hanya lebih kepada program berbentuk kemasyarakatan yang sebenarnya tidak banyak memberikan manfaat dalam mengikis persepsi negatif terhadap kerajaan BN dan parti.

Apa yang saya lihat mahasiswa ‘dahaga’ kepada aktiviti yang mencernakan pemikiran mereka, keupayaan untuk menganalisa pelbagai isu dan menepis persepsi negatif dengan fakta bukan auta.

Di sinilah, kurangnya penekanan daripada pemimpin Umno dan BN sama ada disebabkan mereka tidak berani berdepan dengan mahasiswa atau tidak mempunyai fakta bagi menangkis persepsi berkenaan.

Lompong inilah berjaya dimanupulasi pemimpin pembangkang terutama sekali Anwar dalam mengkaderkan pemimpin pembangkang daripada golongan mahasiswa sekali gus membentuk masyarakat kelas pertengahan yang menolak BN dan Umno.

Sebab itu, strategi Umno dan BN perlu berubah dan saya sudah tekankan beberapa kali supaya strategi Umno dan BN perlu digubah berlandaskan perubahan masyarakat kelas pertengahan di kawasan bandar dan separa bandar.

Daripada terus bersikap defensif, strategi ofensif yang lebih radikal perlu diambil bagi mengekang pengaruh Anwar dan pembangkang daripada terus ‘membasuh’ fikiran masyarakat ini, untuk membenci BN dan Umno.

Pimpinan Umno perlu mengakui parti ketandusan pemimpin menggantikan Najib di atas bagi mengambil alih pucuk pimpinan dan soal melahirkan pelapis kepada pelapis masih jauh daripada sasaran.

Imej Umno pada masa sekarang sememangnya amat bergantung kepada Datuk Seri Najib dan  langkah presiden parti untuk memulihkan imej Umno masih belum membuahkan hasil untuk memPERKASAkan Umno menjelang PRU14. Pada masa sama ahli Umno perlulah berdoa Najib terus sihat walafiat dalam meneruskan tugas tersebut

Justeru, jika Umno dan pemimpinnya terus ‘bersuka ria’ dengan majlis penuh tradisi serta protokol tetapi mengabaikan mahasiswa dan tidak mahu berdamping dengan mereka dalam majlis-majlis ilmu, mereka inilah yang akan menjadi pendokong kuat Pakatan Rakyat dalam menolak Umno serta BN dalam PRU14 kelak. – 8 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. Nur Jazlan The Malaysian Insider Nov 8, 2014

Tags: pelajar
Subscribe

  • Masalah ekonomi: Beri alasan wajar

    SELASA lalu, masa makan tengah hari di sebuah restoran makanan Cina ala-Pulau Pinang di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, taukenya sembang…

  • Muflis: Dasar pelik bank?

    WAKTU ini dianggarkan nilai hartanah di negara ini yang hendak dilelong berjumlah RM28 juta. Kebanyakannya milik orang Melayu. Dalam satu insiden…

  • Akta baharu lindungi hak penjamin

    Usaha kerajaan menggubal akta baharu menggantikan Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) bertujuan melindungi penjamin tentunya melegakan pihak yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments