kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tanggungjawab majukan R&D

Baru-baru ini, polemik tentang isu penyelidikan dan pembangunan (R&D) di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara mendapat perhatian umum. Universiti tempatan dikatakan tidak mampu menghasilkan produk berteknologi tinggi untuk membangunkan negara, walhal, mereka diperuntukkan dana yang besar untuk menjalankan penyelidikan.

Walaupun ada benarnya, isu ini tidak boleh dilihat daripada perspektif hubungan antara dana penyelidikan dan produk boleh komersial sahaja. Aktiviti R&D perlu dilihat daripada perspektif matlamat akhir dan institusi yang melaksanakan penyelidikan tersebut. Pada peringkat awal, apabila kerajaan menyalurkan dana R&D melalui mekanisme IRPA ( Tumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan) sememangnya negara mengharapkan agihan dana penyelidikan boleh menghasilkan produk yang boleh dikomersialkan.

Dana disalurkan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Universiti yang berminat untuk mendapatkan dana perlu mencadangkan tajuk penyelidikan bersifat gunaan dan pembangunan yang berpotensi untuk menghasilkan produk baharu. Malangnya, ketika itu tidak banyak institusi penyelidikan industri yang bersedia menjalankan penyelidikan. Kebanyakan industri bergantung sepenuhnya kepada perniagaan berteraskan teknologi luar negara. Untuk memacu pembangunan ekonomi berasaskan teknologi, kerajaan tiada pilihan kecuali menggembleng tenaga pakar yang terdapat di universiti tempatan.

Penulis percaya strategi ini bijak dan tepat pada waktu itu. Pelbagai kejayaan diraih, antaranya, IPTA mulai mengalami transformasi daripada institusi yang hanya melahirkan modal insan kepada universiti berteras penyelidikan. Kini negara mempunyai lima universiti penyelidikan yang mampu bersaing di arena global.

Kejayaan paling cemerlang ialah apabila universiti tempatan berjaya menghasilkan ribuan pelajar PhD iaitu keperluan asas menyediakan tenaga mahir untuk R&D. Sebahagian besar daripada graduan PhD datangnya dari negara sedang membangun, khususnya Arab, Bangladesh, Indonesia dan negara di rantau Asia Tenggara. Daripada perspektif ini, Malaysia terlibat terus menjayakan agenda membangun tenaga pakar untuk rakan negara sedang membangun. Jumlah hasilan graduan PhD dari dalam negara agak kecil. Sebahagian besar daripada graduan ini diserap masuk ke dunia akademik dan sejumlah kecil menjadi pegawai kanan kerajaan. Institusi R&D, sama ada sebagai agensi awam atau swasta masih belum berjaya dikembangkan seperti yang diharapkan.

Oleh kerana permintaan terhad, graduan berkelulusan PhD tidak dapat disalurkan kepada institusi R&D yang memerlukan tenaga pakar untuk membangun teknologi. Jika kita bersungguh-bersungguh untuk membangun keupayaan watan, kerajaan dan pihak swasta, perlu mengadakan banyak institusi R&D bagi mewujudkan sekitaran pembangunan teknologi tinggi yang lebih kondusif.

Penyaluran dana R&D ke IPTA ketika itu juga membawa fenomena baharu dalam senario penyelidikan universiti. Sebahagian daripada ahli akademik terdorong untuk bertukar pendekatan dalam membangunkan ilmu. Ramai yang dididik dalam bidang sains asas, terpaksa bertukar haluan menjadi ahli sains gunaan kerana peruntukan dana R&D dikhaskan untuk penyelidikan bersifat gunaan dan pembangunan.

Fenomena ini menghasilkan impak bercampur dalam pembangunan bakat akademik. Antara impak positif ialah negara berjaya meningkatkan jumlah pakar dalam bidang sains dan teknologi gunaan. Bagaimanapun, fenomena ini juga membawa kepada kemerosotan kualiti penyelidikan dalam bidang asas atau fundamental. Negara yang mampu bersaing secara jangka panjang perlu memperkasa penyelidikan fundamental. Tanpa ilmu sains fundamental, teknologi tinggi tidak mungkin dapat disediakan. Atas keprihatinan ini, beberapa tahun lepas, kerajaan mula menyalurkan dana penyelidikan melalui Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjalankan penyelidikan fundamental.

Penulis percaya sudah tiba masanya, kerajaan mewujudkan strategi baharu mengimbangi keperluan menyalurkan dana R&D dan dana penyelidikan fundamental. Pengurusan dana R&D perlu disalurkan melalui satu badan bebas untuk membangun teknologi watan secara bersungguh-sungguh dan terintegrasi. Perkongsian pintar antara industri dan IPT perlu diwujudkan dalam ‘sekitaran perniagaan’ untuk menjayakan agenda utama negara ini.

Pada masa sama, dana penyelidikan fundamental perlu terus disalurkan kepada IPTA dalam bentuk geran pengurusan dan pembangunan. Penulis ingin meyakinkan masyarakat, strategi dan pendekatan kerajaan memajukan R&D dan membangun kepelbagaian bakat akademik berada pada landasan yang tepat. Sebahagian besar IPTA negara masih berusia muda, masih memperkukuhkan tapak kecemerlangan, dan masih melalui fasa pembangunan modal insan dalam pelbagai kepakaran. Begitupun, kami dapat merasakan, pencapaian yang ditunjukkan kini sangat luar biasa. Berilah sedikit masa bagi membolehkan mereka mengukuhkan keupayaan untuk menyumbang kepada pembangunan R&D negara. Profesor Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu. Utusan Rencana 08/11/2014

Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments