kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Semalam di rumah Che Wong

KEDIAMAN Mohd. Marzuki Marikan dan pasangannya Intan Liayana Abdullah di penempatan Orang Asli Sungai Enggang dekat Lanchang, Pahang jauh berbeza dengan rumah penduduk di negara ini.



Marzuki Marikan (kanan) membantu isterinya Intan Liayana Abdullah menyediakan hidangan makan malam di rumahnya di Sungai Enggang, Kuala Gandah, Pahang.

Ruang tamu rumah mereka lapang tanpa televisyen dan perabot. Begitu juga bahagian dapur yang kosong tanpa perkakasan elektrik.

Apa yang ada hanyalah tin dan balang yang digunakan semula untuk mengisi barang-barang keperluan memasak.

Rumah berlantai dan berdinding buluh yang siap dibina kira-kira tiga tahun lalu itu sedikit bergoyang semasa kami melangkah naik melalui tangga yang diperbuat daripada batang pokok hutan.

Namun Mohd. Marzuki, 24, dan isterinya 21, cukup bermurah hati mempelawa kami bermalam di rumah mereka pada malam itu.

Pelawaan itu bagaimanapun terpaksa ditolak untuk memberi ruang kepada pasangan muda itu meluangkan masa bersama anak mereka yang baharu berusia setahun.

Tambahan pula, rumah satu bilik seluas kira-kira 50 meter persegi itu seperti tidak mampu menampung dua orang tetamu yang sarat dengan pelbagai peralatan seperti kami.

Persinggahan pada petang itu sekadar untuk melihat dan menyelami kehidupan seharian masyarakat Che Wong yang masih tinggal di rumah tradisional.

Ketibaan kami disambut dengan sedulang arang kuali, sejenis buah hutan yang mirip seperti buah keranji.

“Pernah makan arang kuali? Yang ini baru ambil dari pokok pagi tadi.

“Harga sekilogram lebih kurang RM2. Kalau seguni baru dapat lebih kurang RM20,’’ ujar Mohd. Marzuki.

Walaupun baharu tiga tahun ‘menyertai’ masyarakat di situ, pemuda Bidayuh yang berasal dari Bau, Sarawak itu langsung tidak kekok dengan cara hidup Che Wong.

Jika tidak bercucuk tanam atau keluar mencari hasil hutan, beliau mengambil upah sebagai penunjuk arah (guide) kepada pelancong yang ingin melawat penempatan Che Wong.

“Berbekalkan lesen sebagai penunjuk arah, ada juga rezeki untuk menampung kehidupan kami bertiga,’’ tambahnya.

Mohd. Marzuki yang bertemu jodoh dengan gadis Che Wong kira-kira tiga tahun lalu berkata, beliau berhijrah dari Kuala Lumpur ke Sungai Enggang untuk tinggal bersama isterinya.

“Dulu masa bujang, saya bekerja di Cheras, Kuala Lumpur. Sekarang rasa lebih selesa tinggal di sini,’’ katanya sambil membantu isteri beliau menghidupkan kayu api untuk memasak.

Sejam selepas itu, hidangan makan malam disajikan di bawah sinaran cahaya lampu suluh yang digantung di dinding rumah.

“Rumah kami tak ada elektrik lagi. Air pun kami ‘tarik’ dari bukit, cuma paipnya hanya sampai bawah rumah.

“Sebagai pasangan baharu kahwin, kami kena lalui semua ini sebelum hidup lebih selesa,’’ katanya.

Mohd. Marzuki berkata, mengikut tradisi Che Wong, pasangan baharu berkahwin perlu memulakan kehidupan tanpa mengharapkan bantuan daripada keluarga atau penduduk kampung.

Bagaimanapun jelas beliau, masyarakat Che Wong sebenarnya mempunyai hubungan persaudaraan yang sangat akrab di antara mereka.

Malah cara hidup orang Che Wong menurutnya boleh diumpamakan seperti satu keluarga yang besar.

“Tidak ada yang berlapar di sini kerana sesiapa sahaja boleh bertandang ke rumah jiran untuk makan. Ini sesuatu yang biasa bagi orang Che Wong,’’ katanya.

Sementara itu, penglibatannya di dalam masyarakat Che Wong memberi peluang kepada beliau mengenali adat resam, budaya dan nilai-nilai murni orang Che Wong yang wajar dipelihara.

“Sebagai ‘orang baharu’ dalam masyarakat Che Wong, banyak yang perlu saya pelajari tentang mereka,’’ tambahnya.

Utusan Malaysia Rencana 08/11/2014

Tags: etnik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments