kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Keturunan kerabat raja Siam?

CATATAN pengkaji Barat, CS Ogilve pada 1948 menggambarkan masyarakat Che Wong sebagai kaum yang berasimilasi rapat dengan hutan.



SEBAHAGIAN masyarakat Orang Asli Che Wong menjayakan tarian sewang di Perkampungan Orang Asli Che Wong, Kuala Gandah, Pahang baru-baru ini.

Sebahagian daripada penemuan Ogilve di dalam jurnalnya yang bertajuk More On The Che Wong itu  berbunyi;


“Tiada cukai, sewaan atau jenayah dalam masyarakat mereka. Mereka hidup dengan peraturan sendiri tanpa kawalan penguat kuasa dan hidup dalam lingkungan peraturan itu.

 “Mereka adalah masyarakat yang hidup aman dan tidak bergaduh antara satu sama lain, mahu pun orang lain. Mungkin kita boleh mempelajari sesuatu daripada mereka.

  “Mereka tidak jahil, malah cerdas dan bijak dengan pengetahuan yang luas mengenai hutan. Pengetahuan ditimba daripada keakraban dengan alam seperti pokok, bumi, air dan haiwan yang sebati di dalam diri setiap Che Wong.

Selain mengambil kira catatan tersebut, Orang Asli Che Wong juga dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai suku kaum yang pemalu dan gemar hidup menyendiri di  dalam hutan.

Mungkin atas faktor yang sama, kisah mereka agak kurang diberi perhatian. Apatah lagi dengan bilangan yang jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan etnik lain seperti Bateq, Temiar, Jakun dan  Jahai.

Dengan  populasi tidak sampai 500 orang, masyarakat Che Wong merupakan suku Orang Asli terkecil dan antara kaum paling minoriti di negara ini.

Pada masa sekarang, sebahagian daripada etnik daripada kumpulan Senoi itu mendiami penempatan di perkampungan Orang Asli Sungai Enggang, dekat Lanchang, Pahang.

Penempatan rumah konkrit yang dibina sejak lima tahun lalu itu kini menempatkan kira-kira 200 orang penduduk Che Wong manakala selebihnya tinggal merata di hutan berhampiran kawasan Hutan Simpan Krau, Temerloh.

Berbekalkan kemahiran hidup di hutan yang diwarisi sejak zaman berzaman, sebahagian daripada mereka merasakan kehidupan secara berpindah-randah di hutan lebih selesa berbanding dengan tinggal di rumah batu.
Malah sehingga hari ini, hutan masih menjadi kunci kelangsungan hidup orang Che Wong dan secara prinsipnya mereka percaya kehidupan yang baik hanya boleh diperolehi di hutan.

Kru S2 baru-baru ini menjejak ketua masyarakat Che Wong di Sungai Enggang iaitu Bak Raja Tek, 74, untuk mencungkil salasilah orang Che Wong yang dikatakan mempunyai keturunan raja Siam.

Kunjungan kami ke pondok usang yang terletak di hutan berhampiran penempatan Che Wong di Sungai Enggang itu diiringi oleh Pembantu Penggerak Masyarakat Che Wong, Zaliah Ali, selaku orang tengah dan juga penterjemah.




Bak Raja Tek

Menurut Zaliah, susur-galur orang Che Wong bermula daripada seorang kerabat raja Siam bernama Raja Tepak yang melarikan diri dari istana dan bertemu jodoh dengan gadis Orang Asli di hutan negara ini.

 “Raja Tepak dan pengikutnya tiba di hutan negara ini beratus-ratus tahun lalu. Mereka bertemu dengan puak Orang Asli yang hidup dalam satu kumpulan kecil.

 “Masing-masing bertemu jodoh, beranak-pinak dan tidak lagi kembali ke Siam. Itulah permulaan orang Che Wong.
 “Perkataan ‘Che’ bermaksud perempuan rimba manakala ‘Wong’ pula bermaksud lelaki berketurunan raja,’’ jelas beliau.

Beliau yang berpengalaman luas dalam budaya masyarakat Che Wong berkata, bermula dengan beberapa buah keluarga, komuniti Che Wong terus berkembang dan sehingga kini mendiami kawasan hutan di sekitar Raub, Lanchang dan Temerloh.

Menurut Zaliah, walaupun dakwaan keturunan raja itu tidak dapat dibuktikan secara sahih,  namun beliau percaya orang Che Wong suatu ketika dahulu mempunyai pertalian dengan masyarakat Siam.

Dakwaan itu dibuat berdasarkan struktur bahasa Che Wong yang mirip dengan bahasa Siam malah jauh berbeza dengan lenggok bahasa suku kaum Orang Asli lain di negara ini.

 “Bahasa Che Wong ada lenggok dan irama yang menyamai bahasa Siam.
 “Malah ada sesetengah perkataan yang sama dan ada juga sebutan yang seakan-akan terbalik,’’ ujar beliau yang fasih berbahasa Che Wong.

Selain itu katanya, kajian yang dilakukan oleh penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) beberapa tahun lalu turut mendapati sebahagian besar daripada sampel genetik orang Che Wong berasal daripada ‘satu keluarga’ dan tidak mempunyai campuran genetik suku-suku lain.

 “Di Kampung Sungai Enggang, kajian genetik mendapati hanya ada tiga keluarga yang berdarah kacukan suku lain. Selebihnya datang daripada keturunan yang sama,’’ katanya.

Sementara itu, Tok Batin yang mesra dengan panggilan Batin Bak mengakui dirinya adalah cucu dan waris terdekat kepada Raja Tepak.
 “Saya ini anak kepada Raja Tek. Ayah saya Raja Tek adalah anak kepada Raja Tepak.
 “Kuasa sebagai Tok Batin yang saya pegang sekarang adalah atas lantikan oleh ayah saya.

 “Mengikut tradisi orang Che Wong, pelantikan sebagai Tok Batin hanya dilakukan dalam kalangan waris raja,’’ katanya sambil membuktikan perkataan ‘Raja’ pada pangkal nama bapanya seperti mana tertera pada kad pengenalan beliau.




Zaliah Ali


Bagaimanapun Batin Bak berkata, perkataan ‘Raja’ tidak dikekalkan pada namanya kerana berlaku kesilapan semasa membuat kad pengenalan.

“Entah macam mana mereka boleh tertinggal perkataan Raja pada nama saya. Sebagai anak lelaki, nama saya sepatutnya Raja Bak,’’ jelas beliau yang dilantik sebagai Tok Batin sejak berusia 18 tahun.

Sementara itu, Zaliah berkata, selain bukti yang ada pada panggilan dan nama, masyarakat Che Wong juga mempercayai wujudnya ‘daulat’ yang dimiliki oleh keturunan raja orang Che Wong.

 “Tok Batin dikatakan ada daulat yang datang dalam bentuk tulah atau sumpah kepada mereka yang enggan menurut perintah atau bersifat kurang ajar kepada Tok Batin,’’ katanya mengakhiri perbualan.

Utusan Malaysia Rencana 08/11/2014

Tags: etnik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments