kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Propaganda penerokaan minyak

Wang Jinxi dan rakan-rakan sekerjanya dari Pasukan Penggali No. 1205, termasuk dua orang tukang masak, bertolak menaiki kereta api dari Yumen, bahagian tengah China, pada 15 Mac 1960 menuju ke Daqing, bahagian timur laut negara itu.



Gambar seorang mangsa Red Guards mengharungi penyeksaan ‘airplane take-off stance’.

Perjalanan sejauh hampir 3,000 batu itu memakan masa enam hari. Mereka sampai di Sartu, stesen kereta api paling hampir dengan Daqing pada 21 Mac. Anehnya, sepanjang perjalanan, mereka tidak diberi tempat dalam koc penumpang tetapi di gerabak yang biasanya menempatkan barang-barang atau haiwan.

Daqing terletak tidak jauh dari sempadan China-Rusia, kira-kira 150 batu paling dekat. Pada musim sejuk – lazimnya, sampai bulan Mac – cuaca boleh jatuh sampai 30 darjah di bawah paras sifar (zero) Fahrenheit. Tanah menjadi beku sehingga enam kaki ke bawah. Suasana di sekeliling sangat membosankan. Apabila Wang Jinxi dan pasukannya melangkah keluar daripada kereta api setibanya di Sartu dengan cuaca di bawah sifar, tidak ada tempat disediakan untuk mereka bermalam.

Mereka tidur berhimpit-himpit di satu sudut di stesen itu untuk mengelakkan kesejukan. Keesokan harinya, mereka bergerak ke Daqing dengan berjalan kaki. Tempat kerja menggali minyak diberi nama Tapak (site) SA 55. Di situ, sebuah rumah usang milik satu keluarga petani disediakan sebagai tempat tinggal mereka. Pakaian dan alat-alat menggali minyak hanya tiba beberapa hari kemudian. Sementara itu, sepanjang hari, mereka menunggu untuk memulakan kerja dalam kesejukan.

Kerana tidak ada kemudahan kren apabila alat-alat sampai di stesen Sartu, Wang dan pasukannya terpaksa menggunakan besi paip dan kayu balak untuk mengangkat keluar alat-alat gerudi daripada gerabak kereta api untuk dipindahkan ke trak sebelum diangkut ke Daqing.

Dengan kekuatan tenaga mereka, alat-alat gerudi seberat 60 tan selamat dibawa ke Daqing menjelang tengah malam hari berkenaan. Pekerjaan itu dilakukan secara manual sehari suntuk. Kehebatan Wang Jinxi dan pasukannya segera mendapat pujian Mao Tse-tung. Dia cukup kagum dan memberi nama gelaran kepada Wang Jinxi: Wang Besi (Iron Man Wang). Gelaran ini lekat sampai sekarang. Nama Wang Besi sering disebut dalam mana-mana penulisan sejarah penerokaan minyak di China. Wang dianggap tokoh peneroka minyak yang wajar dicontohi.

Kesulitan

Selepas lima hari mereka memulakan kerja menggali, minyak ditemui. Dalam tempoh tiga tahun sahaja, Daqing Oilfield sudah menjadi pengeluar minyak utama di China. Walaupun sering menempuh pelbagai kesulitan dan kecederaan pada tubuh badan, Wang dan pasukannya dengan cekal menggali minyak dari satu telaga ke telaga lain.

Sejak dimulakan pada tahun 1960, dikatakan lebih daripada 10 bilion tong (barrels) minyak telah dikeluarkan di Daqing. Pada masa ini pengeluaran minyak di Daqing adalah keempat tertinggi di dunia. Dikatakan juga, sejak tahun 2004, syarikat Daqing Oilfield telah melaksanakan dasar mengurangkan pengeluaran sebanyak tujuh peratus setiap tahun selama sepuluh tahun supaya hayat Daqing kekal lama.

Sementara itu, kejayaan Wang Jinxi meneroka minyak di Daqing cepat digunakan parti komunis sebagai bahan propaganda untuk membina semangat kerja keras dalam kalangan rakyat China. Bagi parti, Wang Besi adalah contoh tauladan kepada rakyat China yang tidak ada tolok bandingnya.

Beberapa rangkap propaganda berbunyi: "Untuk industri, ikutlah contoh Daqing", "Wang Besi simbol Daqing, Daqing contoh kejayaan China", "Iron Man was the brawn, Mao the brains." Wang menjadi kader parti dan selepas itu dilantik timbalan pengarah syarikat Oil Drilling Company Daqing.

Dari segi propaganda juga, beberapa gambar lukisan Wang Jinxi disebarkan ke seluruh China, memaparkan sikap Wang Besi yang suka bekerja keras. Wang mengelilingi China, memberi ceramah di merata tempat menyeru anak-anak muda China supaya berani meneroka kawasan-kawasan yang nampak susah untuk dibangunkan.

Kebanyakan pemimpin kanan China seperti Chou En-lai, Deng Xiao-ping dan Liu Shao-chi membuat lawatan ke Daqing, tetapi tidak Mao Tse-tung. Kata Salisbury, “He didn’t care for the rough oil field life. He preferred the perfume of Hangzhou (halaman 253).” Chou datang tiga kali, sementara Liu datang bersama isterinya, Wang Guang-mei. (Patut saya sebut, beberapa tahun kemudian, Wang Guang-mei, yang juga telah diseksa oleh Red Guards seperti suaminya, pernah berkata, sokongan yang mereka beri kepada Wang Besi mungkin menjadi punca kenapa Wang Besi telah diseksa dengan kejam oleh Red Guards. Ada pihak iri hati terhadap Wang Besi).

Bibit perkara yang dimaksudkan oleh Wang Guang-mei itu terjadi pada 12 Mac 1968. Pada hari itu satu perjumpaan telah diadakan di Beijing atas kehendak Jiang Qing. Ia turut dihadiri isteri Lin Biao bernama Ye Qun, Chao En-lai dan tiga orang lagi daripada kumpulan Gang of Four. (Ye Qun berpengaruh dalam parti. Dia juga pambantu khas kepada suaminya). Jiang Qing juga telah meminta kehadiran wakil Maktab Petroleum Daqing (yang ditubuhkan selepas kejayaan Daqing).

Jiang mendapat tahu Maktab tersebut tidak menyebelahinya semasa menghadapi tentangan oleh satu pasukan tentera di provinsi Heilongjiang yang tidak bersetuju dengan Revolusi Kebudayaan. Jiang menuduh syarikat minyak Daqing – termasuk Wang Jinxi – dan Maktab Petroleum Daqing bersubahat melindungi penyokong-penyokong Liu Shao-shi (Liu telah pun disingkirkan oleh Mao ketika itu).

Beberapa hari selepas perjumpaan itu, satu kumpulan Red Guards dari Beijing (kumpulan sama yang telah menyeksa penulis Lao She pada bulan Ogos 1966) datang ke Daqing. Arahan Jiang Qing kepada mereka: “To ferret out traitorous elements”. Bermulalah apa yang dinamakan struggle session terhadap Wang Jinxi dan sahabat karibnya Xue Guobang (Xue telah datang ke Daqing bersama Wang dan terbabit sama dalam penggalian minyak sejak dari mula).

Sesi penyeksaan diadakan di satu kawasan lapang. Sebuah khemah didirikan untuk tujuan itu. Seorang Red Guard berteriak: kesalahan Wang Besi dan rakannya Xue ialah mereka pengintip KMT (Parti Kuomintang, musuh ketat parti komunis). Buktinya? Sebab, mereka telah bekerja dengan syarikat minyak di Yumen beberapa tahun dahulu dan syarikat itu milik parti Kuomintang. Sebab itulah mereka sekarang dianggap pengkhianat. Pengkhianat terhadap negara komunis China. Itulah logik dan bukti kesalahan mereka.

Setelah kesalahan itu ‘dibacakan’, Wang dan Xue dipakaikan ‘sarung kepala si bodoh’. Sekeping papan yang tertulis perkataan ‘Pekerja-Pengkhianat’ digantung di leher mereka. Kemudian, mereka disuruh membongkok dan kedua-dua belah tangan mereka ditarik ke belakang dengan kuat. Seorang anggota Red Guard menggenggam rambut mereka seraya merentap kepala Wang dan Xue ke belakang.

Bagi Red Guards, ini dibilang aksi airplane take off stance. Dalam keadaan itulah Wang dan Xue dipukul oleh Red Guards dengan kayu pada seluruh badannya. ABDULRAHIM.NOOR@YAHOO.COM Utusan Malaysia Rencana 09/11/2014

Tags: komunis
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments