kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tiada akta hukum ‘ali baba’

Kuala Lumpur: Ketiadaan undang-undang khusus untuk membanteras amalan ‘ali baba’ oleh segelintir syarikat yang mengaut keuntungan mudah termasuk dengan menjual bahan subsidi kerajaan pada harga lebih tinggi dilihat menjadi punca kegiatan itu semakin berleluasa.

Presiden Transparensi Antarabangsa Malaysia (Ti-M) Datuk Akhbar Satar berkata, keadaan itu menyebabkan syarikat terbabit yang tidak mengamalkan ketelusan dan integriti dalam perniagaan mereka semakin berani melakukan penipuan kerana tidak terikat dengan undang-undang.

“Saya melihat, puncanya ialah kita belum ada undang-undang untuk menghukum mereka yang terlibat dalam gejala ‘ali baba’ yang bermaksud menjual lesen atau hak perniagaan mereka kepada pihak ketiga sedangkan ia juga boleh dianggap sebagai jenayah.

“Perundangan sedia ada hanya terhad kepada isu rasuah, walhal kesan daripada amalan ‘ali baba’ juga bahayanya sama seperti rasuah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan eksklusif bersiri Harian Metro sejak 23 Oktober lalu mengenai penyelewengan dan ketirisan beras ST15 apabila dianggarkan 30,000 tan bekalan komoditi itu dengan nilai subsidi RM12 juta dipercayai mengalami ketirisan setiap bulan.

Perbuatan itu dipercayai berpunca akibat rasuah atau diistilahkan sebagai ‘toci’ dan ‘toa’ yang bermaksud syarikat pemborong beras menjual subsidi beras yang diterima kerajaan kepada pihak ketiga pada harga yang lebih tinggi sekali gus mewujudkan amalan ‘ali baba’ dalam perniagaan.

Laporan bersiri itu turut mendedahkan, akibat perbuatan ‘toci’ dan ‘toa’ hanya 10,000 tan beras berkenaan yang dibekalkan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) kepada pemborong pada harga subsidi RM1,350 setiap tan ‘wujud’ di pasaran.

Mengulas lanjut, Akhbar yang juga Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi Universiti HELP berkata, dari segi undang-undang, gejala ‘ali baba’ yang semakin berleluasa tidak dianggap satu kesalahan jenayah sebaliknya tindakan hanya diambil dari sudut peraturan.

“Apa yang diamalkan sekarang ialah tindakan administratif seperti membatalkan kontrak, lesen dan sebagainya tetapi penguatkuasaan masih lemah dan tidak tegas.

“Saya melihat, sudah tiba masanya kerajaan perlu wujudkan perundangan bagi menangani masalah syarikat yang terbabit dalam penyelewengan terutamanya berkenaan usaha untuk membantu rakyat,” katanya.

Pendedahan demi pendedahan wartawan Harian Metro dalam laporan bersiri itu menyebabkan beberapa pihak tampil memberikan kenyataan menerusi e-mel serta komen di dalam Facebook yang mahukan pihak berkuasa menyiasat segera isu ini dan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang didapati bersalah.

Laporan itu turut mendapat reaksi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kelmarin yang dipetik berkata akan menyemak semula senarai semua pemborong beras yang menerima kuota pembelian 30,000 tan beras subsidi ST15 untuk mengesan ketirisan dan penyelewengan termasuk amalan ‘ali baba’.

Program Beras Subsidi ST15 bermula sejak tahun 2008 sebagai antara opsyen kepada golongan berpendapatan rendah membeli beras pada harga lebih murah dan bagi tujuan itu, kerajaan memperuntukkan beras subsidi sebanyak 40,000 tan sebulan bagi Semenanjung manakala 20,000 tan bagi Sabah dan Sarawak. Harian Metro Setetempat 11/112014

Tags: akta
Subscribe

  • Teori asal usul nama Malaysia

    SEBELUM nama Malaysia, negara kita dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Selepas merdeka pada tahun 1957, namanya berubah kepada Persekutuan…

  • Isu rumah selesai jika semua jujur

    Ibarat ayah yang sedang menderita sakit tenat, ubat yang paling mujarab perlu dicari bagi menyembuhkannya. Semua ahli keluarga ingin membantu. Ada…

  • Penubuhan Malaysia penuh liku dan cabaran

    TARIKH 16 September 1963 adalah detik bersejarah buat negara ini. Ia menjadi realiti kepada gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments