kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

SuperMokh kekal dalam ingatan

KUALA LUMPUR – Semalam adalah hari lahir Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, dan jika hayatnya masih ada usia legenda bola sepak negara itu mencecah 61 tahun.

Google beri penghormatan kepada SuperMokhMemiliki 167 kaps antarabangsa bersama pasukan kebangsaan dan berjaya menjaringkan 125 gol.

Biarpun sudah 23 tahun meninggalkan kita semua, namun beliau yang turut terkenal dengan jolokan SuperMokh tetap dikenang sebagai legenda yang tiada gantinya.




MOKHTAR DAHARI menjulang Piala Malaysia 1981 selepas membantu Selangor menewaskan Singapura 4-0 dalam perlawanan akhir. Kejayaan itu antara deretan trofi yang pernah dimenangi legenda bola sepak negara ini. -

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya, Selangor pada pukul 8.25 pagi 11 Julai 1991 ketika berusia 37 tahun akibat penyakit Motor Neuron Disease (MND).

Andai Stadium Merdeka boleh berbicara pastinya banyak yang akan diceritakan tentang kehebatan Mokhtar kerana tempat itu bagaikan rumah kedua buat pemain dari Setapak tersebut selain menjadi saksi sejarah dilakar oleh legenda negara tersebut.

Sepanjang hayatnya, Mokhtar pernah melakar banyak kejayaan yang mengharumkan nama negara malah kecemerlangan terbaik pernah di­cipta dalam karier sebagai penyerang adalah dengan menjaringkan gol penyamaan ketika menentang skuad England B pada 1978 dalam aksi siri jelajah skuad Three Lions itu.

Bagi penyokong yang pernah hadir menyaksikan perlawanan tersebut di Stadium Merdeka pada 30 Mei 1978 pastinya akan mengingati saat Mokhtar melepaskan tendangan kencang dari jarak 40 meter hasil gerakan solo selepas gagal dihalang oleh pertahanan England B hingga menewaskan penjaga gol pasukan lawan Joe Corrigan.

Corrigan yang dianggap antara penjaga gol terbaik di Eropah dan juga pemain Manchester City dilihat tersungkur selepas gagal menangkap bola yang terlalu laju ketika menembusi gawang England B.

Jaringan Mokhtar pada minit ke-32 tersebut menjadikan kedudukan 1-1 selepas Alan Kennedy meledak gol seawal minit ke-14 sekali gus menjadikan stadium gegak gempita dengan sorakan penyokong malah jurulatih pasukan England B, Bobby Robson turut memuji kelincahan dipamerkan legenda bola sepak negara itu.

Itu adalah antara memori yang paling seronok dijadikan modal bagi mengimbau kejaguhan Mokhtar oleh penyokong yang berada di zaman kegemilangan penyerang tersebut malah gelaran Supermokh melekat selepas jaringan padu menentang England B itu.

Sebelum aksi menentang England B, Mokhtar telah mengukuhkan namanya sebagai penyerang yang wajar digeruni malah dua jaringannya juga telah membantu skuad kebangsaan menundukkan Arsenal pada 1975 dalam aksi persahabatan di Stadium Merdeka.

Mokhtar dan Diego Maradona turut bertembung di Stadium Merdeka dalam perlawanan persahabatan antara Pilihan Selangor dengan Boca Juniors pada 1982, empat tahun sebelum bekas jagoan dan jurulatih Argentina itu menjulang Piala Dunia di Mexico.

Hasil kerja keras Allahyarham dalam bola sepak turut dihargai dan pada usia 23 tahun, Mokhtar diiktiraf Majalah World Star Soccer sebagai Penyerang Terbaik Asia, malah pada ketika itu turut dinobat sebagai Olahragawan Kebangsaan 1976.

Allahyarham turut dianugerahkan Ahli Kelab Seabad Gabu­ngan Bola Sepak Asia (AFC) 1999, manakala pada 8 Mei 2010, Kementerian Belia dan Sukan memberikan penghormatan kepadanya dengan menamakan salah satu gelanggang Kompleks Futsal Putrajaya, Gelanggang Mokhtar Dahari.

Memori yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham pastinya akan terus di ingat sepanjang zaman dan sehingga kini masih belum ada yang layak menggantikan tempat pemain itu sebagai penyerang berbisa.

Beliau meninggal dunia pada hari Khamis, 11 Julai 1991 jam 8.25 pagi di Pusat Perubatan Subang meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak. Al-Fatihah.

Corrigan pernah tersungkur kerana Mokhtar

Tags: bolasepak, legend, sukan
Subscribe

  • Pakar Pakau

    Saya sedang membaca beberapa berita sensasi di portal media apabila satu mesej WhatsApp diterima bersama satu lampiran fail disertakan. Mesej…

  • Bersuaralah

    Pada saat permintaan komunikasi yang telus di tempat kerja berada pada tahap premium, ramai yang masih tidak bersuara dan memberi pandangan yang…

  • Falsafah politik adalah ideologi?

    Ahli politik tak lagi cenderung soal falsafah, ideologi - Musa Hitam (7/3/2021) menjadi tajuk salah satu berita. Ahli falsafah politik…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments