kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tak biasa tinggal di darat

AGAK terkejut melihat kanak-kanak seawal usia lima tahun bergerak dari satu sudut ke sudut lain di atas perahu tanpa perlu bimbingan orang dewasa. Ada ketikanya penulis berasa khuatir melihat anak-anak kecil itu berdiri di bahagian bucu perahu beratapkan papan lapis kerana bimbang mereka akan terjatuh ke laut.

Namun, salah seorang daripada penduduk di situ memaklumkan supaya tidak risau kerana kanak-kanak berkenaan sudah biasa tinggal dan menjalani kehidupan seharian di dalam perahu. Malah, mereka juga sudah pandai berenang.

Berkesempatan menaiki perahu dan mendekati keluarga Bajau Laut di sekitar perairan Kampung Bangau-Bangau, Semporna, memberi peluang kepada penulis untuk mengenali lebih dekat cara hidup masyarakat tersebut walaupun hanya seketika. Perahu tanpa dilengkapi bilik tidur, ruang tamu, bilik mandi mahupun dapur itu ternyata sudah cukup bagi sembilan ahli keluarga tersebut untuk tinggal bersama.

Pada mulanya, agak sukar untuk kami saling berkomunikasi kerana mereka tidak fasih bertutur bahasa Melayu dan hanya bertutur bahasa Bajau Laut sahaja, namun mujur Ketua Kampung Bangau-Bangau, Mohyideen Akbara sudi membantu menjadi jurubahasa ketika itu.

Isang, wanita berusia lingkungan 40-an yang nampak sangat pemalu kerana apabila diajukan soalan, dia lebih banyak mempamerkan senyuman daripada berbicara. Mungkin itu sifat kebanyakan wanita Bajau Laut, barangkali lelaki juga sama kerana suaminya Mas Solai, 38, tidak terlalu banyak bercakap.

Perahu tanpa dilengkapi bilik tidur, ruang tamu, bilik mandi mahupun dapur itu ternyata sudah cukup bagi sembilan ahli keluarga tersebut untuk tinggal bersama.



Mas Solai menetap di dalam perahu bersama isteri dan tujuh orang anaknya.

Ketika ditanya mengenai kehidupan mereka, Mas Solai memberitahu, mereka menetap di dalam perahu dan hidup secara berpindah-randah di pulau-pulau di sekitar Semporna. Aktiviti utama adalah menangkap ikan bagi menampung kehidupan bersama isteri dan tujuh anak mereka (dua perempuan dan lima lelaki).

Mereka lebih suka tinggal di dalam perahu berbanding di daratan kerana sudah biasa dengan kehidupan di kawasan perairan.

“Namun begitu ada masanya saya dan keluarga juga akan naik ke daratan apabila hendak menjual hasil laut tetapi kami tidak singgah dalam tempoh yang lama kerana kami akan mudah jatuh sakit dan merasa tidak selesa berada di daratan,” katanya.

Selain itu, isterinya turut membantu mencari sumber pendapatan dengan memungut hasil-hasil laut seperti kerang-kerangan dan mengeringkan ikan untuk dijadikan ikan masin.

“Anak-anak pula melakukan aktiviti lain. Kadang-kadang mereka gemar menari igal-igal, bermain dan menyelam bersama saya,” katanya.

Antara perkara yang menarik perhatian penulis adalah semua anak Bajau Laut sejak bayi lagi sudah didedahkan atau direndamkan dalam air laut.

Menurut Mohyideen, cara itu dilakukan bagi membiasakan dan menghidupkan semangat laut dalam diri anak Bajau Laut.

“Sebab itu, apabila seawal usia lapan tahun anak, anak mereka sudah pandai berenang dan menyelam ke dasar lautan,” katanya.

Tags: etnik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments