kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jaguh laut dikagumi ramai

MASIH ingatkah anda video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan Bajau Laut menyelamatkan perahu yang hampir karam yang menjadi viral di laman sosial Facebook beberapa bulan lalu?

Kanak-kanak perempuan tersebut mendapat perhatian ramai apabila menggunakan kemahirannya yang tersendiri mengeluarkan air dari dalam perahu tersebut dengan cara mengimbangkan badannya ke kiri dan kanan sehingga air keluar sepenuhnya.



Gasuling Omar Dani

Itu antara kebolehan yang ada pada kaum tersebut yang mungkin tidak pernah dilihat oleh mana-mana orang. Seawal usia kanak-kanak, mereka sudah pandai menunjukkan pelbagai aksi dan bakat tersendiri di laut.

Menurut Ketua Anak Negeri, Gasuling Omar Dani, 63, sejak bayi lagi, ibu bapa telah mendedahkan anak-anak mereka dengan laut bagi membiasakan mereka kehidupan di kawasan perairan memandangkan mereka hidup secara nomad di atas perahu yang dikenali sebagai lepa-lepa.

“Apabila mereka meningkat usia, mereka diajar dengan pelbagai kegiatan di laut seperti berenang dan menyelam. Bajau Laut juga dikenali sebagai penyelam handal kerana boleh menyelam tanpa menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Sebab itu, jangan terkejut jika melihat anak-anak kecil begitu berani terjun ke laut dan bermain di kawasan perairan, sebab dari kecil lagi, mereka sudah belajar menguasai laut. Walaupun tanpa pengawasan dan bimbingan orang dewasa, mereka tidak gentar mahupun takut bermain di lautan,” katanya.


AIR laut merupakan ‘sahabat’ karib yang menemani kanak-kanak Bajau Laut setiap hari .

Kebanyakan komuniti Bajau Laut juga meneruskan warisan ekonomi tradisi nenek moyang mereka dengan menjalankan kegiatan ekonomi berasaskan laut seperti menangkap ikan. Sebab itu, kehebatan mereka di dalam laut bukan sesuatu yang janggal atau kepakaran yang baru diketahui kerana kemahiran itu mereka pelajari sejak turun temurun.

“Bajau Laut merupakan sebuah komuniti yang cukup mahir di dalam kegiatan penangkapan hasil laut. Mereka menggunakan pukat yang dihasilkan sendiri untuk menangkap ikan dan mempunyai cara-cara tersendiri untuk mendapatkan hasil laut,” katanya.

Dari aspek pemakanan, Bajau Laut menjadikan ubi kayu yang direbus atau digoreng sebagai makanan utama menggantikan beras dan dimakan bersama ikan yang dibakar atau direbus.

“Air laut digunakan sebagai sumber air untuk mandi dan membasuh. Mereka menjalani kehidupan secara sederhana dan sangat berdikari tanpa perlu bergantung kepada orang lain.

“Komuniti Bajau Laut tidak suka mengganggu orang lain dan sebab itu, mereka tidak begitu berani memasuki penempatan lain. Ada kalanya mereka naik seketika ke darat apabila ada keperluan penting sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, kini semakin ramai kaum Bajau Laut yang berpindah dan menetap di kawasan darat dan perkampungan air. Perubahan ini didorong oleh kesedaran kaum Bajau Laut untuk memajukan diri mereka seiring dengan arus pembangunan negara.

“Bagi golongan yang kurang berkemampuan untuk membina rumah di darat, mereka tetap meneruskan kehidupan di laut dan menjalani kehidupan seperti biasa.

“Ada yang tidak ‘tahan’ untuk tinggal di darat juga akan kembali ke perahu mereka,” katanya.

Tags: etnik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments