kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Bajau Laut semakin membangun

KAMPUNG Bangau-Bangau di Semporna merupakan perkampungan air yang majoriti penduduknya terdiri daripada kaum Bajau Laut.

Pegawai Daerah Semporna, Dr.Chacho Bulah berkata, kampung tersebut dibuka pada 1955 oleh dua panglima Bajau Laut iaitu Panglima Atani dan Panglima Tiring. Pada awal kewujudan hanya terdapat beberapa rumah dibina. Kebanyakan penduduk di situ datang dari kepulauan sekitar daerah Semporna.





Kampung Bangau-Bangau antara perkampungan air yang menempatkan kebanyakan kaum Bajau Laut.

“Setelah menetap di perkampungan atas air sekian lama mereka meninggalkan keturunan, sehingga jumlah penduduk melebihi 7,000 orang. Dalam kalangan mereka ini pula sudah ramai yang mengecapi pelbagai kejayaan dan menyumbang kepada pembangunan negara.

“Antaranya cucu Panglima Atani, Ahmat Daud Awang Damit merupakan penduduk pertama dari Kampung Bangau-Bangau yang berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia dalam bidang Sejarah dan Sains Politik,” katanya.

Walaupun ada yang skeptikal terhadap kemampuan kaum Bajau Laut, namun ternyata mereka telah membuktikan komuniti tersebut boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan lain dilakar Estino Taniyu, juga penduduk asal Kampung Bangau-Bangau yang mencatat rekod peribadi berenang selama 13 jam (tanpa menggunakan perlindungan sangkar) merentasi Selat Inggeris,” katanya.

Perenang solo ekspedisi Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia (RPSI1M) itu berjaya menamatkan renangan solo anjuran Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia di Sandy Beach, Calaif, Perancis selepas bermula di Dover Beach, United Kingdom pada 21 September 2012.

Estino, 26, yang merupakan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Semporna, Sabah menamatkan renangan dalam masa 13 jam 45 minit dan 45 saat.

Beliau merupakan perenang kedua dari Malaysia yang berjaya menakluk Selat Inggeris bagi kategori tanpa sangkar selepas Lennard Lee pada tahun 2004.

“Selain itu, seorang lagi anak jati kaum Bajau Laut yang merupakan cucu kepada Panglima Tiring, Intan Sulga K. K Tiring turut berjaya mengharumkan nama negara apabila mewakili Malaysia dalam membuat persembahan tarian igal-igal dan dalling-dalling di Brunei dan Filipina. Beliau turut mempersembahkan tarian tersebut di seluruh Malaysia,” katanya.

Berdasarkan kepada kejayaan ini menunjukkan kaum Bajau Laut mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi seperti masyakarat lain. Persepsi yang mengatakan mereka mundur dan ketinggalan perlu dihapuskan kerana ramai dalam kalangan mereka sudah berjaya mengubah kehidupan dengan melakukan pelbagai aktiviti ekonomi yang bukan hanya bergantung kepada sumber laut.

Mereka tidak seperti dahulu yang kebanyakan tinggal di dalam perahu. Sebahagian besar daripada mereka sudah menetap di kawasan darat dan perkampungan air khususnya di Kampung Bangau-Bangau. Kehidupan mereka sudah berubah dan pekerjaan yang dilakukan kebanyakannya sudah beralih ke daratan.

“Dari segi ekonomi pula, ada yang menceburkan diri dalam pelbagai aktiviti keusahawanan, bekerja di pelbagai sektor kerajaan dan swasta di samping menjadi pemimpin masyarakat seperti wakil ketua negeri dan ketua kampung. Itu antara bukti menunjukkan kaum Bajau Laut tidak pernah dipinggirkan,” katanya.

Sungguhpun terdapat pelbagai kemajuan dan kejayaan dicapai kaum Bajau Laut khususnya yang tinggal di Kampung Bangau-Bangau, namun terdapat juga berita yang agak kurang enak didengar.

“Keterbukaan mereka menerima kehadiran orang luar yang terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) menyebabkan nama Kampung Bangau-Bangau sedikit sebanyak tercemar akibat aktiviti salah laku dan jenayah yang dilakukan oleh golongan ini.

“Kaum Bajau Laut, sebuah komuniti yang sangat baik dan peramah, sebab itu mereka mudah menerima kehadiran sesiapa jua ‘tetamu’ yang hadir, asalkan mereka tidak mengganggu kehidupan komuniti tersebut.

Namun, malangnya kampung mereka dijadikan sebagai sarang persembu­nyian atau tempat perlindungan bagi PATI yang terlibat dengan jenayah. Sebab itu, terdapat beberapa kejadian tidak diingini berlaku seperti kes tembak dan bunuh di kawasan penempatan tersebut,” katanya.

Tags: etnik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments