kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Status Bajau Laut masih kabur

BAJAU Laut atau Pala’u yang juga dikategorikan sebagai kumpulan manusia ‘nomad laut’, ‘gipsi laut’ dan komuniti yang hidup dengan perahu merupakan sebahagian daripada suku kaum Bajau yang masih lagi mengamalkan cara hidup berpindah-randah.

Kebanyakan komuniti tersebut tinggal di kawasan perairan Sabah terutama di daerah Semporna seperti di perkampungan air Bangau-Bangau, Labuan Haji (Pulau Bum Bum), Pulau Gusungan dan Pulau Mabul, Taman Marin Tun Sakaran dan sebahagiannya menetap di dalam bot di sekitar perairan daerah tersebut.

Menurut pengkaji komuniti Bajau Laut yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah,



Prof. Madya Dr. Ismail Ali
Prof. Madya Dr. Ismail Ali, berdasarkan kerangka etnografi, kaum Bajau Laut di Semporna pada masa ini dapat dikategorikan kepada empat kelompok berasaskan lokasi penempatan mereka.

“Bajau Laut-Darat yang tinggal secara tetap di perkampungan air Bangau-Bangau, Bajau Laut-Pulau yang menetap di pulau (Pulau Bum-Bum (Labuan Haji), Pulau Mabul, Pulau Omadal, Pulau Sabangkat, Pulau Dinawan, Pulau Gusungan dan lain-lain), Bajau Laut-Laut yang menduduki Taman Marin Tun Sakaran dan akhir sekali Bajau Laut-Terapung yang tinggal di dalam perahu dan hidup secara berpindah-randah di perairan pulau-pulau di Semporna,” katanya.

Asal-usul dan sejarah awal komuniti itu di Sabah bagaimanapun masih tidak jelas, menimbulkan pelbagai persoalan dan memerlukan satu penelitian semula.

“Dalam erti kata lain, kaum Bajau Laut di Sabah dilihat seolah-olah tidak mempunyai sejarah asal-usul dan identitinya sendiri sehingga terpaksa ‘ditumpangkan’ dengan sejarah besar kaum Bajau Darat,” katanya.




Budaya tinggal di dalam perahu masih diamalkan oleh sebilangan
komuniti kaum Bajau Laut di Pulau Mabul.

Bagi Ismail, sejarah awal dan asal usul kaum Bajau Laut di Sabah ini sukar difahami sekiranya dilihat daripada perspektif dalaman kaum itu sendiri tetapi berada dalam sejarah dan asal usul keluarga besar suku kaum Bajau.

Mengikut sejarah, kaum Bajau yang tinggal di dalam perahu di perairan Sabah (Laut Sulu) telah wujud sejak era Kesultanan Sulu lagi. Melihat kepada susun lapis masyarakat, kaum Bajau diletakkan di bawah kawalan datu-datu Tausung (Suluk) dan diurus tadbir kaum Iranun dan Balangingi.

“Semasa pemerintahan Kesultanan Sulu, orang Bajau yang tinggal di dalam perahu telah memainkan peranan sebagai sumber tenaga kerja yang penting kepada datu-datu Tausung dalam pengeksploitasian hasil-hasil laut seperti ikan kering, mutiara dan Tripang.

“Setelah memasuki era pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara British pada (1878 hingga 1941) dan seterusnya Kerajaan British sehingga 1963, komuniti Bajau ini diberi gelaran sebagai sea-nomad, sea gypsies dan normadic boat people oleh Barat. Sungguhpun pelbagai gelaran yang diberikan oleh penjajah pada masa itu, namun orang Bajau terus memainkan peranan penting sebagai pelaut dan pembekal sumber protein (perikanan) kepada tenaga kerja yang berkhidmat di pelbagai sektor seperti pembalakan, perlombongan dan perladangan ,” katanya.

Setelah mencapai kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia pada 1963, sejarah awal dan gelaran kaum Bajau yang tinggal di dalam bot nampaknya berubah sekali lagi.

Di bawah kerajaan Sabah, sebilangan besar kaum Bajau Darat telah menetap di kawasan darat, mendapat tempat untuk berkhidmat di pelbagai agensi kerajaan dan dilihat terus berkembang maju berbanding dengan kaum Bajau (sea-nomad, sea gypsies dan normadic boat people) yang majoritinya masih lagi tinggal di dalam perahu dan pulau.

“Justeru, bagi membezakan status mereka yang secara relatifnya belum maju dan ketinggalan zaman, maka kaum Bajau Darat telah memberi gelaran Bajau Laut atau Pala’u kepada kaum itu. Meskipun evolusi masa telah ‘memusnahkan’ sejarah dan asal usul kaum Bajau Laut, namun kebudayaan dan identiti kaum tersebut tetap bertahan sehingga sekarang dan dikagumi umum melalui sambutan ‘Regatta Lepa Semporna’ (Lumba perahu kecil).

“Pesta tersebut diadakan setiap tahun pada bulan April sejak 1994 dan telah dimasukkan ke dalam kalendar Pesta Air Malaysia pada 2003 di samping menjadi salah satu produk pelancongan utama Sabah. Menerusi pesta kebudayaan itu, para pengunjung dari dalam dan luar negara berpeluang menyaksikan pembudayaan perahu dalam kehidupan kaum Bajau Laut yang disimbolikkan dan diterjemahkan menerusi ‘lepa cantik’ yang dihiasi dengan pelbagai warna kain layar yang dikenali sebagai ‘sambulayang’ dan diiringi dengan pukulan muzik, lagu-lagu dan tarian suku kaum Bajau,” katanya.

Membicarakan isu kewarganegaraan menurut beliau, setelah Sabah mencapai kemerdekaan, terdapat pelbagai isu dan persoalan kaum Bajau Laut yang sukar untuk diselesaikan sehingga kini seperti status kerakyatan mereka, keciciran dari arus pembangunan, pembasmian kemiskinan tegar dan jenayah maritim.

“Terdapat pelbagai persoalan yang timbul berhubung keberadaan mereka di Sabah antaranya, apakah status kerakyatan sebenar mereka, adakah wajar kaum tersebut diberikan sahaja status kerakyatan Sabah berdasarkan faktor sejarah dan sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi, apakah kaum ini perlu dihantar pulang secara paksaan sahaja ke negara asalnya (Filipina), bagaimana pula persepsi dan penerimaan rakyat Sabah terhadap kaum Bajau Laut, apakah nasib dan masa depan anak-anak mereka, dan apakah kesan keberadaan kaum ini kepada Sabah dan pelbagai lagi persoalan lain,” katanya.

Mengambil contoh di Pulau Mabul, kebanyakan Bajau Laut yang baru menduduki kawasan perairan di situ adalah berasal dari perairan Pulau Sitangkai yang kedudukannya berada di sempadan perairan antarabangsa Filipina dan Malaysia yang tinggal di dalam perahu dan hidup secara berpindah randah.

“Setelah terbentuknya negara bangsa dan sempadan antarabangsa di antara kedua-dua negara, kaum ini tidak diiktiraf sebagai rakyat sama ada Malaysia mahupun Filipina kerana tidak menetap di kawasan darat dan di pulau milik Filipina dan Malaysia tetapi bergerak bebas mengikut angin dan arus di Laut Sulu sahaja.

“Memandangkan tiada satu bentuk persefahaman di antara kedua-dua negara untuk menentukan nasib kaum tersebut menyebabkan mereka tiada tempat untuk singgah di daratan atau pulau milik mutlak Malaysia dan Filipina melainkan terus berada di perairan Laut Sulu yang longgar dari segi pemilikan dan kawalannya,” katanya.

Bagaimanapun, kaum Bajau Laut dilihat lebih suka dan selesa berada di kawasan perairan pulau-pulau di Sabah daripada di pulau-pulau selatan Filipina kerana lebih selamat dan mudah mencari sumber rezeki.

“Situasi ini menyebabkan status kerakyatan dan kedudukan mereka di perairan Sabah (Malaysia) dan Filipina masih lagi kabur dan sukar untuk diselesaikan. Implikasi tersebut menyebabkan mereka diklasifikasikan sebagai orang tanpa negara atau stateless people sahaja dan bukannya pendatang tanpa izin (PATI) mahupun pelarian politik,” ujarnya.

Tags: etnik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments