kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Pengorbanan sia-sia Wang Jinxi

Penyeksaan terhadap Xue berhenti setakat itu sahaja tetapi tidak bagi Wang. Sebuah trak usang membawanya beredar dari situ untuk dia ditayangkan kepada orang ramai. Di sesetengah tempat, trak berhenti untuk dia dipukul lagi sambil dilihat oleh orang ramai. Selepas itu trak tersebut menuju ke sebuah kolam besar yang merupakan tempat fermentasi najis manusia untuk dijadikan baja bagi tanah-tanah kurang subur di daerah itu. Kemudian, dengan kejamnya, Red Guards mencampak Wang Jinxi bulat-bulat ke dalam kolam itu sebelum mereka meninggalkan kawasan tersebut, mungkin dengan perasaan puas bahawa Wang Besi akan mati di dalam kolam itu.

Tetapi Wang Besi tidak mati. Dalam keadaan tenggelam dan timbul, perlahan-lahan dia dapat merapatkan dirinya ke tepi kolam. Papan ‘Pekerja-Pengkhianat’ yang masih tergantung di lehernya mungkin telah membantu dia untuk terapung. Seorang tukang masak yang bekerja di sebuah dewan tidak jauh dari kolam itu telah melihat segala yang berlaku. Dia meluru mendapatkan Wang Jinxi sebaik saja Red Guards meninggalkan kolam itu. Dia menarik Wang keluar dari kolam dan mendapati dia dalam keadaan separuh sedar. Termengah-mengah diheretnya Wang ke bahagian belakang dewan tersebut lalu dimandi dan dibersihkannya dengan rapi.

Wang tidak terus pulang ke rumahnya. Sebaliknya, dia pergi ke tapak SS55 di mana dia telah mula-mula menyumbang kudrat untuk penghasilan minyak Daqing. Di situ dia minum seteguk air dari sebuah perigi yang mereka gali dekat tapak SS55. Fikirannya bercelaru. Tiba-tiba dia mendapat satu‘akal’. Dia hendak pergi ke stesen keretapi di Sartu. Di situ nanti, dengan cara ‘membalingkan’ dirinya ke atas trek di saat-saat keretapi akan tiba atau apabila keretapi akan berlepas. Dia mahu membunuh diri dengan cara itu.Beginilah jalur ‘akalnya’ : dia datang ke Daqing untuk berbakti kepada parti komunis dan negara China; tujuan itu telahpun tercapai. Kalau sekarang parti dan negara menganggap dia seperti najis manusia, dia rela mati daripada menghadapi malu sepanjang hidup.

Wang duduk tersimpuh di sebelah tapak SS55 yang telah diberi nama Telaga Minyak No.1. Dia memikirkan berbagai kemungkinan jika dia membunuh diri. Suara-suara tangisan isteri dan empat orang anaknya yang masih kanak-kanak tiba-tiba meluru datang mengetuk pintu benaknya. Dia merasa badannya cukup lemah, jantungnya mengeluarkan bunyi berdesit walaupun dia bukan pengidap asma, kedua-dua lubang hidungnya terasa sempit kerana masih berselaput dengan najis manusia. Beberapa jam berlalu sebelum Wang Besi membuat keputusan untuk beransur pulang ke rumahnya.

Wang Besi meneruskan hidup tetapi ditakdirkan tidak lama. Dia dibenarkan syarikatnya meneruskan kerja. Dalam bulan Oktober 1970, dia pergi ke Yumen menghadiri satu persidangan. Semasa di Yumen dia jatuh sakit dengan teruknya. Doktor di Yumen menasihatkan dia mendapatkan rawatan pakar di Beijing. Di sebuah hospital di Beijing, doktor mengesahkan Wang Besi menghidap penyakit barah perut yang sudah sampai ke tahap kritikal. Dia mati tidak berapa hari selepas itu, pada 15 November 1970. Ketika itu umurnya 47 tahun. Kawannya, Xue Guobang, membawa balik abu Wang ke Daqing untuk diserahkan kepada keluarganya.

Satu majlis kematian Wang Besi secara sederhana telah diadakan di Daqing pada bulan April 1971. Mao Tse-tung, yang telah menjulang Wang Jinxi begitu tinggi kerana jasa dan pengorbanannya dan menggunakan Wang sebagai bahan propaganda, tidak menghantar sekalung bunga pun. Begitu juga dengan lain-lain pemimpin parti komunis. Saya bertanya pada diri saya : kenapa Red Guards tidak membawa bersama rakan Wang, Xue Guobang, ke kolam najis itu? Tampak benarlah telahan isteri Liu Shao-chi yang saya katakan tadi. Xue tidak sehebat Wang Besi. Inilah peradaban baharu China yang berjaya ditegakkan dengan sekelip mata oleh Mao Tse-tung.

Memang, Mao Tse-tung berhati busuk, suka bersangka buruk. Dia tidak pedulikan sesiapa pun yang dianiaya oleh Red Guards. Itulah sebabnya Jiang Qing, Kang Sheng, Lin Biau dan Chen Bo-da cukup besar kepala semasa Revolusi Kebudayaan. Manakala Chao En-lai, dia bersikap play safe, lebih mementingkan kelangsungan politiknya. Chao tidak seperti Liu Shao-chi atau Deng Xiao-ping. Deng dua kali disingkir oleh Mao tetapi dia lebih bijak menjaga hati Mao dibandingkan dengan Liu. Ikutilah coretan saya di minggu hadapan bagaimana Mao Tse-tung, dengan Red Guards menjadi senjatanya, menghancurkan kerjaya politik Liu Shao-chi.   RAHIM NOOR... (ABDULRAHIM.NOOR@YAHOO.COM) Utusan Malaysia Rencana 16 November 2014 12:43 AM

Tags: komunis
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments