kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Menerima hakikat adanya perbezaan

SEJAK akhir-akhir ini telah berlaku insiden dan keadaan di mana ikatan perpaduan antara sesama rakyat diuji kekuatannya. Ia berlaku dalam konteks agama, sosial, kebudayaan, dan pastinya politik di mana perbezaan-perbezaan fahaman, pegangan dan norma-norma sosial yang telah berpotensi mewujudkan keadaan berbelah bahagi sesama sendiri.

Polemik dan perbahasan pelbagai bentuk telah di ketengahkan oleh banyak pihak, masing-masing mengetengahkan hujah bahawa hanya mereka sahaja betul, dan pihak-pihak yang tidak sependapat, bukan sahaja dianggap tidak betul, tetapi wajar diambil tindakan ke atas mereka.

Dan tidak kurang pula adanya pihak-pihak yang sentiasa bersiap sedia untuk terlibat dalam polemik dan perbahasan-perbahasan tersebut.

Dalam sebuah negara yang menuju ke arah status negara maju, tentu sekali ukuran tahap kemajuan tersebut tidaklah semata-mata terbatas kepada pencapaian-pencapaian kuantitatif , seperti ukuran peningkatan pendapatan, dan kriteria-kriteria lain yang boleh dihitung.

Selari dengan peningkatan dalam aspek-aspek ekonomi, wajar terdapat lain-lain transformasi dalam masyarakat, yang akan jelas mencerminkan bahawa penduduk berbilang kaum dan fahaman di Malaysia, benar-benar telah menjadi masyarakat dewasa, seimbang dan setimpal dengan Malaysia berusaha menjadi sebagai negara maju atau negara dunia pertama atau ` first world’.

Transformasi tersebut adalah antaranya seperti :-

- Sikap matang dan terbuka , dan menghayati apa yang telah dan sedang berlaku secara global

- Tidak dikongkong oleh sikap-sikap dan persepsi masa lampau, yang tidak mendorong motivasi untuk terus maju, tetapi sebaliknya menjadi penghalang kepada kemajuan

- Meninggalkan sikap-sikap dan persepsi-persepsi yang sempit, yang tidak membolehkan minda berganjak ke tahap yang lebih tinggi, dan menghayati realiti bahawa dunia telah banyak berubah dengan pelbagai kemajuan yang didorongi oleh pelbagai bentuk teknologi,terutama teknologi maklumat dan komunikasi

Tetapi lebih penting ialah kematangan masyarakat itu wajar mencerminkan keupayaan untuk-untuk menilai dan mengutamakan, perkara-perkara yang jelas mendatangkan kebaikan kepada negara, serta yang mampu memperkukuhkan ketahanannya dalam suasana global yang sangat mencabar. Sebaliknya, bijak pula untuk:-

- Menolak polemik dan perbalahan tentang perkara remeh temeh, yang sebenarnya tidak produktif, dan tidak menghasilkan kepada apa-apa nilai tambah kepada negara

- Menghindar dari memberi perhatian kepada perkara-perkara yang jelas semata-mata akan mendatangkan pecah belah, serta mengundang selisih faham yang tidak sewajarnya.

Seelok-eloknya kita bersatu dalam memperbetulkan perkara-perkara yang benar-benar memberi kesan negatif kepada negara dan masyarakat seperti:-

- Gejala-gejala salahguna dadah dan kegiatan-kegiatan sampingan yang merosakkan masyarakat, terutama golongan muda.

- Disiplin pelajar-pelajar di sekolah yang jelas mencerminkan sikap dan tingkah laku antisosial.

- Keupayaan anak-anak muda menguasai bahasa universal seperti Inggeris, yang tidak boleh dinafikan akan menentukan daya saing anak-anak muda ini bersaing.

Pendek kata, kita mesti beralih dari hanya ‘tolerate’ atau semata-mata bersabar dengan kepelbagaian dan perbezaan-perbezaan antara kita rakyat Malaysia yang berbilang kaum, dan berbeza agama, fahaman dan ciri-ciri budaya.

Sudah sampai masanya rakyat Malaysia menerima dengan hati terbuka, dan fikiran yang matang, perbezaan-perbezaan yang terdapat antara sesama kita . Usahlah kita bersikap menganggap bahawa mereka yang berbeza dari kita adalah tidak betul.

Malaysia tidak mampu dilemahkan oleh sikap dalam kalangan sesetengah masyarakat, yang hanya mencetuskan konflik dan perbalahan. Ia juga tidak mampu dihakis kekuatannya, apabila kepelbagaian antara kita dijadikan unsur, untuk menghalakan perhatian kita daripada perkara-perkara yang benar-benar penting untuk masyarakat dan negara.

Perlu kita bezakan antara apa yang kulit dan apa yang isi.

Begitu banyak masalah yang wajar difikirkan dan diselesaikan bersama, untuk kepentingan masyarakat dan negara. Wajar dikenalpasti masalah-masalah tersebut , supaya perbahasan kita adalah pada haluan yang sama, dengan niat yang sama, dan harapan yang sama.

Anak-anak muda kita mesti diasuh berfikir cara matang, dan bertindak cara rasional demi kepentingan negara dan masyarakat. Mereka wajar diingatkan supaya “ jangan semata-mata nampak kuman di seberang laut , tetapi tidak nampak gajah di depan mata”.

Contoh dan teladan mesti datang dari generasi yang lebih berumur dari mereka, dan yang semestinya memberi contoh yang baik.

Gunakanlah masa, pemikiran serta keupayaan kita, untuk mencari, membina dan memperkukuhkan perkara-perkara dan faktor-faktor persamaan antara kita, yang mencerminkan hakikat bahawa matlamat dan masa depan generasi sedia ada, dan generasi-generasi akan datang bertaut erat. Dan bahawa kita bersama-sama bernaung di bumi bertuah Malaysia ini.

Jangan pula, kerana fikiran sempit dan tidak dapat menerima hakikat perbezaan-perbezaan antara kita, ada yang bertindak sehingga bukan sahaja mencetus polarisasi di kalangan masyarakat, tetapi juga menghalang Malaysia terus maju ke hadapan. Kita wajar merujuk kepada hakikat bahawa “Bersatu kita kukuh, bercerai kita runtuh”. TAN SRI RAFIDAH AZIZpernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio. Utusan Malaysia Rencana 17/11/2014

Tags: transformasi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments