kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Integriti guru bentuk pelajar

MUTAKHIR ini, persoalan integriti dalam pendidikan begitu banyak ditonjolkan bermula dengan kejadian kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan kemudiannya yang terbaharu kes buli membabitkan pelajar sekolah.

Kejadian seperti yang dinyatakan tadi berkait rapat dengan soal integriti sama ada dalam kalangan pendidik mahupun pelajar itu sendiri. Bagi mengupas mengenai isu integriti dalam kalangan warga pendidik, ikuti wawancara bersama Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.



Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

Bercakap soal integriti, semua penjawat awam diingatkan supaya menjaga integriti dalam menjalankan tugas masing-masing, tiada  kompromi. Bagaimana Datuk melihat integriti dalam kalangan pendidik?

Orang banyak bercakap soal integriti ini berkaitan dengan disiplin diri, tanggungjawab, melaksanakan kerja, tidak terlibat dengan salah laku sebagai penjawat awam. itu yang biasanya kita dengar. Tetapi untuk guru ada satu lagi integriti yang perlu dipatuhi iaitu dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.

Seperti yang kita tahu, seorang guru secara langsung atau tidak langsung dia adalah orang yang mempunyai autonomi tersendiri apabila dia melaksanakan pengajaran dalam bilik darjah.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah itu, hanya guru dan murid sahaja yang ada dan apa yang berlaku di situ tidak ada siapa yang tahu. Di situlah ada satu lagi ruang yang perlu dititikberatkan tentang integriti dalam pengajaran dan pembelajaran.

Boleh Datuk perinci atau beri contoh bagaimana integriti seseorang pendidik di dalam bilik darjah khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran?

Ada lima perkara yang perlu ditekankan dalam menjaga integriti guru semasa dalam bilik darjah. Pertamanya, sejauh mana guru melaksanakan apa yang telah dirancang melalui rancangan pengajaran yang telah ditulis dalam buku rekod mengajar itu.

Kemudian kita tengok sejauh mana guru bertanggungjawab dalam melaksanakan penyampaian ilmu pengetahuan kepada pelajar secara lengkap dan memenuhi kehendak kurikulum.

Ketiga pula, sejauh mana guru menggunakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran untuk aktiviti pengukuhan dan pengayaan yang benar-benar menepati kehendak kurikulum yang menekankan kepada soalan-soalan menjurus kepada kemahiran berfikir aras tinggi (higher order thinking skill).

Keempat, sejauh mana guru melalui pengalaman bertahun-tahun, mampu menyediakan soalan-soalan mengikut aras pemikiran yang dikehendaki.  Perkara kelima adalah sejauh mana kemampuan guru menggubal soalan ujian atau peperiksaan yang berkualiti dan memenuhi Jadual Penentuan Ujian.

Plagiarisme perlulah dielakkan kerana ia adalah satu kesalahan yang serius apalagi di dalam organisasi yang berteraskan pendidikan.

Berbanding penjawat awam lain, guru dilihat sedikit berbeza kerana berdepan dengan tugas membentuk modal insan. Jadi, kesan integriti berbeza dengan penjawat awam yang lain. Apa komen Datuk?

Ya, betul. Pendidik berbeza dengan penjawat awam lain. Kalau kita lihat penjawat awam yang lain, jika berlaku kerosakan atau dengan kata lain jika dia tidak berintegriti hanya melibatkan kerugian material yang dinilai dalam wang ringgit.

Tetapi seorang guru, kalau tidak berintegriti dalam bilik darjah dia akan merosakkan generasi dan kerosakan itu lebih lama kerana generasi itu tidak mendapat pengajaran yang berkualiti daripada guru atau pendidik.

Selain bertanggungjawab kepada organisasi seperti mana penjawat awam yang lain, seorang pendidik turut bertanggungjawab terhadap pelajar atau anak didiknya.

Jika tidak ada integriti guru dalam bilik darjah kesannya lebih lama dan boleh mengancam masa depan negara. Antara kesannya termasuklah generasi akan datang tidak dapat berfikir dan tidak boleh membuat justifikasi terhadap apa-apa tindakan selain tidak boleh merasionalisasikan maklumat kerana perkara ini tidak dilatih dalam bilik darjah.

Begitulah pentingnya integriti dalam diri setiap pendidik kerana kesannya memakan masa yang lama.

Kita banyak menyentuh soal integriti dalam kalangan pendidik, bagaimana pula pembentukan integriti dalam kalangan pelajar?

Sebagai pendidik, mereka akan mengajar dan mendidik supaya jadi orang yang berintegriti. Kita diajar sebelum ini dengan 12 nilai yang mengarah kepada integriti. Namun begitu, ia dilihat kurang memberikan kesan memandangkan nilai adalah sesuatu yang tidak boleh diajar sebaliknya dipamerkan.

Pendidikan nilai tidak boleh diajar seperti subjek lain tetapi perlu dipamerkan, diamalkan dan tunjuk contoh yang baik.

Dengan perkataan lain pendidik harus menjadi role model atau teladan yang baik. Itu lebih berkesan dari mengajar subjek. Integriti ini dibentuk melalui didikan guru secara langsung dan tidak langsung.

Sebagai contoh cikgu masuk kelas tepat dengan masanya, buat persediaan secukupnya dan sebagainya. Jika cikgu pun lambat masuk kelas atau tidak bersedia untuk mengajar, pelajar akan pun mungkin akan ikut kerana anggap guru sebagai role model.

Ia secara tidak langsung mengarah kepada tindakan tidak berintegriti yang tidak sepatutnya diberikan pendedahan kepada pelajar.

Bagaimana untuk membentuk integriti yang mantap ini di sekolah selain memberi fokus kepada pendidik semata-mata?

Di sekolah ada empat komponen penting yang mana keempat-empat ini perlu ada integriti bagi memastikan sistem pendidikan berada dalam keadaan baik. Empat komponen itu, pertama adalah pengurusan dan pentadbiran sekolah.

Pengurusan dan pentadbiran sekolah mestilah diuruskan oleh kepimpinan sekolah yang mempunyai integriti yang mementingkan nilai-nilai murni. Yang kedua pula adalah ibu bapa. Mereka ini role model terdekat yang sentiasa dirujuk oleh anak-anak.

Jika ibu bapa perlu mengamal konsep integriti yang tinggi untuk dicontohi anak-anak. Komponen ketiga adalah pelajar atau murid itu sendiri dan komponen keempat adalah komuniti sekolah.

Semua komponen ini perlu menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan penuh integriti, ikhlas serta saling melengkapi antara satu sama lain.

Setiap agensi atau jabatan kerajaan mempunyai badan pemantauan integriti. Bagaimana pula badan pemantau bagi warga pendidik?

Di dalam sistem kawalan kualiti pendidikan sudahpun ada hirarki kuasa, tugas dan tanggung jawab.Peranan Pengetua dan Guru Besar yang untuk memantau, menyelia dan menegur sekiranya guru-guru tersasar dari landasan sebenar sebagai seorang pendidik.

Pengetua dan guru besar perlu menyelia pelaksanaan PdP guru.Manakala di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pula ada sektor naziran yang memantau dan membimbing sekolah dari semua aspek termasuk integriti.

Guru juga mesti tahu dasar-dasar kerajaan dan dasar-dasar jabatan serta elakkan diri dari terjerumus kepada perkara-perkara yang boleh mengurangkan integriti guru itu sendiri termasuklah apa-apa bentuk penyelewengan dan salah laku.

Seorang guru perlu memberi tumpuan kepadamenjalankan  proses PdP  yang berkualiti, berfokus dan juga bermatlamat memberikan pendidikan yangterbaik kepada pelajar dari aspek kuriulum dan juga kokurikulum.

Guru tidak perlu terlibat dengan sebarang aktiviti luar melainkan yang  memberikan pengetahuan atau maklumat baru untuk digunakan memantapkan diri sebagai guru yang professional demi melahirkan generasi akan datang yang cemerlang seperti kehendak Falsafah Pendidikan Negara.

Apakah harapan Datuk terhadap warga pendidik di negeri ini khususnya dari sudut integriti?

Kerajaan Negeri Perak sentiasa bekerjasama dengan semua warga pendidik dalam mencapai kecemerlangan dalam pendidikan negeri Perak.

Sebab itulah kita sentiasa berterusan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perak bagi melaksanakan program-program yang boleh meningkatkan lagi profesionalisme dan integriti  guru sebagai pendidik.

Justeru, kerajaan negeri berharap warga pendidik mestilah menjaga integriti sebagai pendidik dan penjawat awam sebagai mana yang ada dalam etika perkhidmatan penjawat awam.

Jika ini dapat dilaksanakan saya fikir kita boleh melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang dalam pendidikan,  berakhlak mulia serta berintegriti tinggi.

Kerajaan negeri juga komited bersama menjayakan Plan Pembangunan Pendidikan  2013 – 2025 yang telah dilancarkan baru-baru ini.
Tags: guru, integriti
Subscribe

  • Menilai kualiti kepimpinan diri sendiri

    Kebanyakan dari kita dilihat tidak pandai menilai kualiti kepemimpinan sejati dan lebih tertarik dan mempercayai mereka yang kelihatan berjaya…

  • Apabila anda ‘tidak ngam’ dengan atasan, sukar ke?

    ‘Tidak ngam’ dengan orang yang kuasa lebih tinggi boleh membunuh kerjaya, tetapi ada beberapa strategi yang dapat menjadikannya lebih…

  • Pemimpin tulen I

    Setiap organisasi atau pertubuhan memerlukan pemimpin dan kepemimpinan yang cemerlang tidak terhad kepada golongan atasan, eksekutif dan pengurusan.…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments