kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Dengar rintihan askar tua

Empat hari lalu, beberapa orang askar pencen daripada pangkat mejar hingga jeneral ajak Kunta Kinte sembang di sebuah kelab golf di Selangor. Kunta Kinte tabik spring kepada sesiapa sahaja yang jadi askar. Masa dalam Tingkatan Lima pada tahun 1966, Kunta Kinte layan juga angan-angan nak jadi askar. Kunta Kinte masuk ujian kawad pasukan kadet tapi gagal. Komander kata, Kunta Kinte kawad macam orang mabuk tuak.

Kunta Kinte tak main golf tapi ramai askar pencen pangkat tinggi kaki golf. Selain Kunta Kinte, mereka ajak juga pensyarah universiti, ahli profesional muda dan orang UMNO. Kunta Kinte gembira dengan kehadiran orang muda berpelajaran tinggi. Alhamdulillah. Bagi Kunta Kinte, merekalah pemuda harapan bangsa.

Bekas pegawai tentera itu ada hajat nak sampaikan perasaan mereka kepada kerajaan dan UMNO. Boleh kata majoriti mereka sokong kerajaan. Maklumlah sepanjang tempoh berkhidmat, mereka sumpah taat setia kepada Raja dan negara. Mereka sangka Kunta Kinte cukup rapat, akrab dan intim dengan pemimpin negara. Kunta Kinte kata, anggapan mereka itu tak berapa betul. Kunta Kinte hanyalah wartawan tua.

Tapi, Kunta Kinte kata kepada mereka, kalau mereka ada benda nak bagi tahu pemimpin negara, mereka wajib bagi tahu. Banyak saluran yang mereka boleh guna. Kunta Kinte kata, tak guna mereka sembang dan bincang sana sini sampai tekanan darah naik, tapi tak buat apa-apa. Mereka kena bagi tahu pemimpin negara, tak kira daripada parti mana. Sama ada pemimpin negara dengar atau tidak, ambil endah atau tidak, itu perkara lain. Kunta Kinte kata, mereka tak boleh paksa semua pandangan mereka diterima dan dilaksanakan. Yang penting mereka bersuara dan bagi tahu apa yang terpendam dalam fikiran mereka.

Kunta Kinte tabik spring sekali lagi bila Kunta Kinte dapat tahu yang askar-askar pencen itu cukup 'up-to-date' dengan teknologi maklumat. Mereka guna khidmat pesanan ringkas (SMS), laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram. Tak hairanlah pengetahuan mereka luas dan pemikiran mereka kritis.

Ringkasnya, mereka bimbang hala tuju politik, pentadbiran, ekonomi dan keselamatan negara, khususnya berkenaan masa depan orang Melayu dan agama Islam.

Orang Melayu dan agama Islam

Sebagai askar tua yang rasa pahit maung hidup miskin pada zaman penjajah dan sabung nyawa pertahankan negara lepas merdeka, mereka cukup faham perbezaan dulu dan sekarang. Mereka tengok negara membangun dan orang Melayu jadi lebih senang dan dihormati. Jadi tak peliklah kalau hari ini mereka bimbang tengok apa yang telah dan sedang berlaku kepada orang Melayu dan agama Islam.

Kunta Kinte faham sentimen mereka. Mereka bimbang dan marah dengan cabaran dan persendaan orang bukan Melayu dan orang bukan Islam terhadap orang Melayu dan agama Islam. Mereka baca laporan media massa berkenaan kedudukan ekonomi orang Melayu yang makin lemah, jurang pendapatan yang makin luas antara kaum dan antara yang miskin dengan yang kaya. Mereka bimbang dengan kadar inflasi dan dengan keadaan anak cucu mereka. Walaupun pelajaran generasi muda lebih tinggi daripada generasi mereka, tapi hidup mereka tak sebaik mana. Nak beli rumah pun dah tak mampu sebab harga terlalu mahal.

Kunta Kinte kata, sebenarnya orang bukan Melayu dan bukan Islam lebih ambil berat dan lebih tahu mengenai hala tuju negara sebab itulah mereka lantang bersuara, mendesak dan bertindak. Ini adalah kerana mereka kuasai ekonomi dan kerjaya profesional. Misalnya, mereka dah tahu orang Melayu yang dulu pecah dua sekarang dah pecah tiga - UMNO, PAS dan PKR. Itu tak masuk lagi Melayu tradisional, Melayu liberal dan Melayu dogmatik di luar politik kepartian. Pada pandangan Kunta Kinte, sebab itulah pihak-pihak tertentu di kalangan orang bukan Melayu dan bukan Islam tak lagi hadkan desakan dan asakan mereka terhadap Melayu.

Mereka dah tahu orang Melayu tak sekuat dulu lagi sebab Melayu dah pecah-belah, kepemimpinan Melayu boleh dilaga-lagakan dan dilemahkan dengan wang ringgit. Duit tak jadi hal sebab mereka kuasai ekonomi. Kita tengok sajalah apa yang jadi di Cameron Highlands dan amaran Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, kepada pembalak yang amalkan rasuah di negeri beliau.

Gerakan global

Kunta Kinte pun pening tengok perangai sesetengah orang Melayu kita. Cakap fasal agama bukan main. Ada yang solat sampai lebam dahi. Tapi bila tengok duit runtuh iman. Tengok sajalah bagaimana ramainya kakitangan awam dicekup kerana rasuah.

Kunta Kinte rasa, orang bukan Melayu dan bukan Islam dah lebih daripada tahu yang Melayu boleh dibeli. Satu masalah dah selesai. Jadi sekarang mereka tumpukan kempen mereka terhadap Islam sebab mereka tahu Islam adalah pertahanan terakhir orang Melayu.

Maka timbullah isu kalimah Allah, kitab Injil dalam bahasa Melayu dan Indonesia serta banyak lagi hal berkaitan agama dan kepercayaan. Masalahnya orang Islam sendiri tak faham atau tak ambil kisah strategi pecah dan perintah terhadap Islam ini.

Ini bukan fenomena Malaysia saja. Ia adalah gerakan global kerana orang bukan Islam, khususnya Kristian, sedar yang Islam sedang berkembang dengan lebih pantas daripada agama-agama mereka. Mereka sangat bimbang dengan bilangan orang Islam yang bercempera di negara-negara Barat.

Unjuran Pusat Penyelidikan Pew, Amerika Syarikat, menganggarkan bilangan penduduk Islam dunia akan naik kira-kira 35 peratus dalam masa 20 tahun - daripada 1.6 bilion pada tahun 2010 kepada 2.2 bilion pada 2030.

Jadi kita orang Melayu dan Islam di Malaysia kenalah faham dan atur langkah pertahankan hak kita tanpa ambil kira kecenderungan politik sebab bila orang Melayu dan orang Islam pecah-belah, bilangan kita yang ramai tak bermakna. Lagilah bahaya bila kepemimpinan politik dan pentadbiran Melayu-Islam boleh disogok dan digula-gulakan dengan kekayaan dan kesenangan sampai abaikan rintihan dan kepentingan rakyat jelata. Wallahuaklam.


Kunta Kinte Berita Harian Rencana SABTU, 22 NOVEMBER 2014 @ 8:42 AM
Tags: islam, melayu, politik
Subscribe

  • Adakah anda seorang yang berani?

    Artikel Waktu isu 1MDB lagi saya lawan, tegas Abdul Hamid dan Ketua Ulama Pas teruk kena maki hamun dengan Lokman Adam bertarikh…

  • Persepsi I

    Amar makruf nahi munkar perlu dijadikan pegangan warga PDRM (Mei, 3, 2021) ada menyebut mengenai ‘ war of perception’. Dunia…

  • Hamid Bador: Antara persepsi dan kenyataan

    Mantan Ketua Polis ke-12 memperdengarkan ungkapan "persepsi” sebelum beliau menyerahkan kuasa pada 3hb Mei 2021. Namun, beliau menyebut…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments