kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Tujuh petua berucap depan khalayak

SATU daripada perkara yang leceh dan paling dirungutkan ialah bila kena berdiri di hadapan orang ramai untuk membuat pembentangan atau berucap sebagai wakil majikan. Keberatan hati itu bukan disebabkan ‘itu kerja orang lain’ atau ‘gaji tak memadai’. Sebaliknya, ia lebih kepada soal ‘sangat segan’.

Glossophobia iaitu takut membuat ucapan di khalayak ramai


Dalam istilah saintifik, ia disebut glossophobia iaitu takut membuat ucapan di khalayak ramai. Ia berkaitan dengan sifat rendah diri melampau (inferiority complex) dan tiada keyakinan diri melakukan pengucapan awam. Tidak terkecuali ialah ketakutan melakukan kesilapan semasa bercakap atau menjawab soalan di majlis terbuka.


Isnin lepas, inilah yang berlaku. Setelah menerima pesanan (berbaur arahan) untuk menjadi wakil akhbar ini ke forum anjuran Pusat Latihan Kepimpinan di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), saya membelek program yang dikirim menerusi e-mel.



AKEPT terletak di Labu, Negeri Sembilan memerlukan saya memandu kira-kira 70 kilometer dari Jalan Utusan di Kuala Lumpur.


Tajuk yang diberi tidak rumit. ‘Dinamik Media dan kaedah berurusan’. Audiens dalam program tersebut ialah Naib-naib Canselor universiti. Tarik nafas. Berbicara di hadapan sarjana-sarjana ini kena elak guna bahasa pasar, takut kurang sekolah bunyinya nanti. Itu pertama terlintas di kepala.

Baca lagi e-mel. Panel lain ialah Pengarah Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid. Ini umpama Sir Alex Ferguson digandingkan dengan Steven Gerrard. Seorang pengurus dan seorang pemain. Tidak mengapa. Datuk Jalil berbicara hal trend industri, angka-angka dan strategi. Saya akan bicara apa yang saya tahu sahaja. Ini pelan saya.

Pada permulaan forum, penganjur memberitahu tiada Naib Canselor yang hadir, walaupun bengkel media itu disusun khas untuk mereka. Tersirat kekecewaan dalam nada suara Timbalan Pengarah AKEPT, Dr. Zainal Abidin Sanusi. Nasihat saya kepada beliau, kalau hendak mewajibkan Naib Canselor hadir program AKEPT, pastikan surat jemputan itu ditandatangani oleh Menteri Pendidikan dan kehadiran dimasukkan ke dalam KPI masing-masing.

Berbeza dengan wartawan yang teknik komunikasi lebih kepada antara orang perseorangan (interpersonal). Maka untuk bercakap di hadapan khalayak memang kena baca balik teori pengucapan awam yang dipelajari di kolej dahulu. Ada juga rakan wartawan yang memang berbakat bercakap di hadapan khalayak. Mereka selalu berlatih di hadapan cermin.

Bermula 25 November ini, satu acara besar yang akan menyaksikan sebilangan besar individu tampil di hadapan khalayak bagi menyampaikan pidato dalam Perhimpunan Agung UMNO. Acara ini bukan sekadar menjadi medan penzahiran politik yang utama di negara ini tetapi tidak kurang pentingnya platform untuk menonjolkan keterampilan bakat kepemimpinan individu terutama daripada segi buah fikiran dan teknik pidato yang terbaik.

Sebagai panduan kepada bakal-bakal pemidato terutama yang akan pertama kali naik ke pentas, berikut adalah tujuh petua pengucapan awam yang boleh diguna pakai atau dijauhi kelak:

1 Berlatih, berlatih dan berlatih – Dalam apa kerja pun, kita kena lakukannya berulang kali untuk benar-benar mahir. Pengucapan awam adalah satu seni yang boleh dipertingkatkan melalui latihan yang kerap bermula di hadapan cermin, depan isteri atau suami, rakan sepejabat dan ahli-ahli PIBG.

2 Jangan kemaruk jadi pelawak – Benar, sesuatu pidato jadi lebih ceria dan dapat menangkap perhatian jika diselitkan bahan jenaka. Tetapi berpada-pada. Jika subjek disentuh hal sangat serius seperti agama dan bangsa, elakkan berjenaka.

3 Pastikan fakta tepat – Dapatkan kandungan hujah anda daripada sumber sahih, bukan Facebook atau Wikipedia atau akhbar parti lawan. Anda tidak mahu audiens membetulkan anda di tengah-tengah anda berucap.

4 Susun ayat – guna frasa mudah dan analogi yang bersesuaian bagi memudahkan audiens memahami apa anda hendak sampaikan. Frasa anda yang tepat dan kuat, memungkinkan orang memetik kata-kata anda kelak.

5 Jangan berleter – ini label kepada corak pidato marah-marah tanpa menawarkan jalan penyelesaian. Hadirin sudah biasa dengar dan baca leteran di media sosial. Dalam perhimpunan ini, mahu dengar rumusan penyelesaian, bukan merrepak.

6 Belajar kawal nada suara – Ini sama seperti penyanyi. Permulaan mungkin lembut, memuncak pada korus. Turun naik nada suara akan mampu memaut perhatian, berbanding dengan nada lemah lembik macam orang membaca surat tuntutan LHDN.

7 Kurangkan guna istilah tinggi – Jadilah diri anda sendiri. Elakkan guna ayat seperti ‘kelestarian wahana berteraskan anjakan paradigma menerusi kemampanan ekonomi sebagai ekuiti pasca prakarsa’. Ia tidak menjadikan anda terbilang, tapi perhatian orang pasti menghilang.
Tags: petua
Subscribe

  • Hampir semua berita berbaur politik

    Kita terlampau berpolitik, setuju? oleh Merrepak 24 Mac 2019 adalah dipersetujui. Setiap hari tentunya kita akan membaca dan memperolehi berita…

  • Print media still has a role

    Avoid straining your eye and outlook and ‘never say die’ is maybe what I understand of the writing by the NST group editor, Rashid Yusof…

  • Media cetak masih relevan

    Elakkan dari menyakitkan mata dan pandangan anda dan 'jangan mengalah' mungkin apa yang saya faham tentang penulisan oleh editor kumpulan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments