kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Malaysia, Indonesia baik-baik sahaja

PADA hari pertama pelantikan sebagai Presiden Indonesia ketujuh pada 20 Oktober lalu, Presiden Joko Widodo (Jokowi) sudah memberikan isyarat yang sangat jelas bahawa hubungan antara Kuala Lumpur dan Jakarta akan sentiasa berada di landasan yang kukuh.

Malaysia, Indonesia baik-baik sahaja


NAJIB TUN RAZAK bersalaman dengan Presiden baharu Indonesia, Joko Widodo selepas majlis angkat sumpah pelantikan presiden itu di Jakarta, Indonesia, Oktober lalu. – Bernama

Isyarat keharmonian itu dizahirkan oleh Jokowi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan singkat pada hari pertama beliau memimpin Indonesia.

Kepada Jokowi, peralihan kepimpinan tidak membawa maksud dasar-dasar hubungan bilateral yang baik selama ini tidak perlu diteruskan. Beliau menyuarakan hasratnya untuk membawa hubungan Indonesia dan Malaysia terus kukuh dan makmur sehingga memberi manfaat yang sangat besar kepada dua negara sahabat itu.

Paling utama juga, Jokowi menegaskan, Kuala Lumpur dan Jakarta harus segera mencari penyelesaian seandainya tercetus sebarang isu atau masalah yang boleh menjejaskan hubungan dua negara serumpun itu.

Justeru, apabila isu penangkapan 200 nelayan Malaysia di perairan Indonesia dilaporkan media antarabangsa, ia meninggalkan persoalan kepada rakyat Malaysia. Yang menjadi tanda tanya, sejauh mana kebenaran laporan yang dibuat oleh media antarabangsa dan dipetik oleh sebilangan besar media Malaysia?

Ini kerana belum ada laporan yang jelas daripada pihak berwajib Indonesia mengenai kesahihan laporan itu khususnya identiti kesemua nelayan yang didakwa ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia itu.

Pada masa sama, sebilangan besar daripada kita juga sangat terkesan dengan kenyataan Jokowi yang memberi arahan kepada pihak berkuasa negara yang dipimpinnya itu menenggelamkan semua bot nelayan asing yang dilaporkan ditahan kerana memasuki perairan negara itu.

Kenyataan itu bertentangan sekali dengan salam persahabatan yang beliau hulurkan kepada Malaysia di hari pertama pelantikannya.

Apa lagi kenyataan berkenaan mendapat liputan meluas media tempatan dan dimainkan oleh media antarabangsa ia seolah-olah membawa mesej yang salah pada keakraban persahabatan Malaysia dan Indonesia yang sedia ada.

Justeru, yang kita harapkan ialah kenyataan Jokowi itu bukanlah mesej yang beliau membawa pendekatan konfrontasi terhadap Malaysia kerana itu bertentangan sekali dengan semangat dua bangsa serumpun.

Jokowi juga kita percaya sudah tentu sedia maklum bahawa selama lebih lima dekad hubungan dua negara itu, ada sahaja isu atau sengketa yang tercetus kerana itu adalah lumrah dalam mana-mana perhubungan.

Apa lagi bagi Malaysia dan Indonesia yang digambarkan sebagai hubungan adik dan abang tentu sekali tidak akan pernah lekang daripada ‘bergaduh’ atau ‘bermasam muka’.

Malaysia dan Indonesia bagaimanapun, sangat bertuah kerana dikurniakan pemimpin-pemimpin bijaksana yang sentiasa mencari pendekatan harmoni dalam menyelesaikan sebarang kekusutan yang tercetus selama ini.

Lantaran itu, kenyataan terbaharu Jokowi itu perlu dilihat dari konteks yang sangat luas dan tidak terbatas kepada persoalan perairan antarabangsa semata-mata.

Kenyataan lantang yang dikeluarkan oleh Presiden Indonesia itu juga sukar dipercayai oleh banyak pihak termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Kata Anifah, amat sukar untuk beliau menerima bahawa kenyataan itu dikeluarkan oleh pemimpin nombor satu negara jiran itu kerana kedua-dua negara mempunyai persefahaman terhadap usaha mencari titik penyelesaian dalam isu perairan antarabangsa.

Manakan tidak, Malaysia dan Indonesia pernah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berkaitan Garis Panduan Bersama Tentang Layanan Terhadap Nelayan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan pihak berkuasa maritim Indonesia pada 27 Januari 2012.

Dalam perjanjian itu kedua-dua negara mencapai kesepakatan untuk hanya mengusir dan tidak menahan nelayan yang didapati menangkap ikan di persempadanan maritim Malaysia dan Indonesia.

“Saya tidak percaya bahawa ini adalah suatu kenyataan yang telah dikeluarkan oleh seorang Presiden dan akan menyiasat dakwaan ini,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kerana itu, amatlah wajar bagi kita untuk sama-sama berkongsi pandangan Anifah yang tidak percaya dengan kenyataan itu dan pada masa sama jangan mudah membuat kesimpulan terhadap Jokowi berhasrat mengulangi semula era konfrontasi itu.

Dalam meneliti kenyataan itu juga, jangan pula kita berpendapat kenyataan Jokowi itu bermaksud untuk menjadikan Malaysia sebagai kambing hitam terhadap masalah ehwal dalaman negara yang dipimpinnya.

Amatlah tidak adil untuk kita mempersoalkan Jokowi yang sengaja mahu mengalihkan isu dalam negara dan bersikap ‘mencari pasal’ dengan Malaysia pula.

Hakikatnya, tiada keperluan pun sebenarnya untuk era ‘hubungan dingin’ Malaysia dan Indonesia seperti yang pernah dilalui oleh kedua-dua negara itu lebih lima dekad lalu.

Konfrontasi hanya akan membawa padah kepada negara adik-beradik itu kerana ia bertentangan dengan semangat bangsa serumpun khususnya dan negara serantau umumnya terutama menjelang persiapan negara-negara serantau ini menuju Komuniti Ekonomi ASEAN (EAC) tahun depan.

Dalam mengupas isu pencerobohan perairan antarabangsa ini juga, kita harus meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada kepimpinan dan pihak berkuasa kedua-dua negara menangani isu atau masalah ini dengan lebih tenang.

Ada baiknya juga, pihak-pihak yang berkepentingan menjaga isu perairan antarabangsa ini meneliti dan memahami memorandum persefahaman yang ditandatangani oleh pemimpin sebelum ini terhadap Garis Panduan Bersama Tentang Layanan Terhadap Nelayan oleh pihak maritim kedua-dua negara.

Seandainya matlamat sebenar memorandum itu dihayati, tidak timbul juga isu atau sengketa perairan antarabangsa ini.

Pada masa sama kedua-dua negara harus saling beringat bahawa ada sahaja pihak di luar sana yang kurang senang atau cemburukan hubungan Malaysia - Indonesia dan kita jangan terlalu terpengaruh dengan api kebencian yang ditiupkan mereka.

Yang kita tahu dan sedar Malaysia dan Indonesia baik-baik sahaja.

Subscribe

  • Samakah pemecatan terancang dengan pendakwaan terpilih?

    Kanun kecam usaha terdesak PN lakukan pendakwaan terpilih terhadap Syed Saddiq bertarikh 22 Julai 2021 menjadi rujukan. Turut tersiar di media…

  • Kerja Kontrak atau Tetap

    Isu terkini di Malaysia selain politik, Covid-19 dan wabak yang semakin berleluasa adalah kakitangan ‘kontrak’ bergelar ‘pegawai…

  • Kerajaan Swasta

    Apabila kita berfikir tentang pemerintahan kerajaan , apa yang muncul di kepala kita? Bagi kebanyak orang, gambar Agong, PM, bangunan parlimen ,…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments