kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

UMNO hadapi dunia yang berubah

MINGGUAN: Sejak menjadi Presiden UMNO apakah perkara paling mencabar?

NAJIB: Pada saya cabaran adalah untuk membawa parti dalam persekitaran yang lebih mencabar. Lebih-lebih lagi dengan faktor munculnya media sosial, teknologi baharu, Generasi Y, sokongan kaum Cina setelah Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) dan bila kita kehilangan kuasa di empat buah negeri. Kita hendak membina balik kekuatan di negeri-negeri kita kalah dan juga faktor urbanisasi. Apabila banyak kawasan yang dulunya rural (luar bandar) jadi urban.

Nak meneruskan legasi arwah bapanya namun di selimuti gunting dalam selimut ... huhuhuhu



NAJIB Tun Razak melawat tapak pameran pada Perasmian MAHA 2014 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), semalam.

Pertambahan media baharu dengan munculnya laman web yang ada agenda politik, penyebaran pembohongan serta putar belit yang mempunyai motif politik secara tersusun dan sistematik. Seperti peranan Red Bean Army dan sebagainya sehinggakan cerita yang tak masuk akal pun orang boleh terima seperti 40,000 pengundi Bangladesh yang kononnya kita bawa masuk sebagai pengundi. Lepas itu, cerita-cerita lain yang dia pandai reka. Apabila reka cerita, peringkat ini orang tidak pandai menapis, membezakan antara mana yang hak, mana yang batil. Yang mana separuh benar, separuh tidak benar. Dahulu tidak ada. Dahulu kita banyak bergantung kepada maklumat daripada akhbar, televisyen dan sebagainya tetapi sekarang ini kerajaan sudah tidak ada kelebihan. UMNO sudah tidak ada kelebihan.

MINGGUAN: Adakah ini satu tekanan?

NAJIB: Ini satu cabaran baharu. Orang kita belum dapat menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu ini. Peranan kita dalam media sosial selalu terkebelakang berbanding pembangkang.

Yang kedua, untuk kita sedar tahap dari segi jangkaan dan harapan rakyat serta penilaian yang lebih kritikal daripada masa-masa lalu. Jadi, kalau misalnya apa-apa yang dilakukan walaupun kita ini pemimpin di peringkat bahagian dan sebagainya, boleh kita besarkan melalui media sosial.

MINGGUAN: Bagaimana kemampuan media sosial UMNO dan BN sekarang?

NAJIB: Ada beberapa media sosial yang kita lihat ada kelebihan sedikit. Misalnya dalam Twitter dan Facebook mungkin kita ada sedikit kelebihan. Tetapi ada yang kita masih terkebelakang seperti YouTube.

Yang kedua, populariti laman web tertentu. Sebab mereka ini, macam mana kita buat pun, disebabkan dianggap sebagai media alternatif dan mengkritik kerajaan, banyak orang akses laman web ini. Kalau kita lihat, akses dan populariti laman web mereka lebih daripada kita. Tetapi kelebihan itu semakin hari semakin dapat kita rapatkan melalui usaha yang lebih gigih.

Saya sendiri melakukan peranan yang lebih meluas dalam bidang media sosial. Pengikut Twitter saya kini sudah 2.2 juta dan Facebook lebih kurang macam itu juga. Saya gunakan media sosial sepenuhnya.

Jadi kita kena lebih kreatif dan gigih lagi, menggalakkan orang kita muat naik lebih banyak cerita yang lebih mudah diakses. Saya tengok orang ramai tidak minat sangat formal. Kalau kita muat naik ucapan dan seminar, mereka tidak minat.

Tetapi kalau cerita pasal sukan, hiburan dan animasi, mereka lebih suka. Mereka suka humanize (kemanusiaan). Saya pun kena banyakkan lagi bahan untuk menjadikan mereka lebih mengenali Najib sebagai individu, bukan Najib sebagai Perdana Menteri.

Kadang-kadang gambar sarapan pagi saya di luar negeri menjadi minat mereka, lebih daripada ucapan formal saya. Apa yang saya makan, sarapan pagi di luar negara ambil gambar, lebih menarik perhatian daripada ucapan saya. Itu benda-benda yang orang putih kata mundane, iaitu apa yang kita rasa biasa, macam apa yang saya makan waktu pagi tetapi itu lebih diminati orang di Malaysia.

MINGGUAN: Di sebalik sikap keterbukaan, ada yang melihat banyak pihak mengambil kesempatan. Adakah Datuk Seri mudah diambil kesempatan?

NAJIB: Macam mana pun dalam dunia yang semakin terbuka ini, rakyat mahu kita beri ruang untuk discourse (wacana) termasuk kritik. Kalau kita cuba hendak mencengkam atau mengongkong, akan ada reaksi daripada rakyat yang tidak suka kepada sistem terlalu mengongkong mereka. Mereka mahu kepada kebebasan dan keterbukaan. Kita tengok ini merupakan trend di mana-mana negara sekali pun.

Malah, negara yang cuba untuk mengongkong pun, berlakunya peristiwa seperti revolusi Arab Spring, demonstrasi besar-besaran dan sebagainya. Jadi, kita beri ruang yang agak cukup bagi mereka membuat percambahan fikiran termasuk kritikan tetapi mesti ada hadnya.

Maknanya, mesti ada undang-undang seperti yang saya katakan, tidak ada kebebasan mutlak sampai kita boleh cakap atau lakukan apa sahaja yang boleh mengganggu keamanan dan ketenteraman negara. Itu saya kata, kita mesti ada undang-undang untuk mencegah dan diambil tindakan kepada sesiapa yang tidak menghormati antara satu sama lain atau sengaja menghina kaum, agama atau bersikap rasis.

MINGGUAN: Adakah kerana keterbukaan ini, membuka ruang untuk kritikan yang terlalu peribadi?

NAJIB: Itu kita tidak dapat elak sebab kita kata tidak akan tapis Internet. Kita sudah buat dan zaman Tun Dr. Mahathir sudah ada jaminan yang kita tandatangan bahawa tidak ada tapisan Internet. Kita telah benarkan Facebook, Twitter dan sebagainya ekoran daripada itu. Maknanya, kita tak boleh elak.

Mana-mana negara yang benarkan media sosial dan tidak ada tapisan Internet, kritikan itu adalah sesuatu perkara yang semestinya berlaku. Kalau kita pergi ke Eropah dan Amerika Syarikat, lagi dahsyat kritikan terhadap pemimpin tetapi mereka terima itu sebagai satu hak rakyat.

Tetapi apabila kita sudah beri kebebasan, kita hendak tarik balik, itu adalah sukar. Misalnya, cuba kita hendak tapis Facebook dan Twitter, akan timbul kemarahan daripada rakyat pula bahawa kerajaan kita ini kuku besi atau autoritarian.

Ada tindak balas kalau kita cuba berbuat demikian sebab kita sudah beri jaminan bahawa Internet tidak akan ditapis di Malaysia apabila kita buat Koridor Raya Multimedia. Ekoran itu, boleh dikatakan kebebasan itu sudah menjadi suatu kebiasaan kepada Malaysia.

MINGGUAN: Datuk Seri baca komen-komen negatif bersifat serangan peribadi?

NAJIB: Kita tidak boleh baca sangat. Bila kita baca banyak sangat, mungkin boleh mendidih darah kalau tengok benda yang karut-marut terutama benda yang kita tahu fitnah dan direka kepalsuan oleh pihak tertentu. Bagi saya, jangan kita terlalu sangat akses kepada semua ini. Yang penting sekali kita mesti tahu apa yang hak dan kebenaran sebenar.

MINGGUAN: Menjadi guru sekolah sekarang lebih susah berbanding dahulu, begitu juga menjadi Perdana Menteri.

NAJIB: Memang, lebih mencabar menjadi Perdana Menteri dan menjadi Presiden UMNO dalam landskap media sosial. Sebab kita sudah beri satu dimensi baharu, satu kebebasan dengan jaminan yang kita beri tadi. Tidak boleh elak, kita tidak boleh tarik balik.

KEJAYAAN UMNO

MINGGUAN: Pengurusan UMNO bukan sahaja berjaya menjadikan negara maju, aman dan stabil malah diiktiraf di luar negara, malangnya sebahagian orang kita ambil mudah.

NAJIB: Kita lihat bila UMNO menjadi teras kepada kepimpinan negara, dasar-dasar negara kita memberi keadilan kepada semua kaum. Jadi, sebab itulah negara kita boleh dikatakan begitu unik. Misalnya, Malaysia satu-satunya negara di luar China dan Taiwan yang ada sekolah Cina. Di Singapura pun sudah tidak ada sekolah Cina. Sebab, pengasas-pengasas negara kita telah memilih jalan integrasi, dan kita tidak pilih asimilasi. Apabila kita sudah pilih jalan integrasi, sudah kita maktubkan dalam Perlembagaan dari segi prinsip dan semangatnya, kita tidak boleh hendak ubah. Sebab itu sudah dicorakkan oleh pengasas negara kita. Jadi, kita mesti jadikan ini sebagai satu aset kepada negara, bukan sebagai satu beban.

MINGGUAN: Kejayaan Malaysia adalah kejayaan UMNO.

NAJIB: Mana-mana negara saya pergi pun, mereka kagum dengan kejayaan kita menguruskan negara yang pluralistik. Mereka hairan macam mana kita boleh berjaya. Negara lain, mereka lihat perbezaannya tidak begitu ketara sangat macam kita, tak begitu kompleks tetapi gagal untuk mewujudkan keadaan aman dan tenteram. Malaysia ini lebih mencabar, lebih kompleks tetapi kita lebih berjaya. Ayat ini selalu saya dengar apabila saya berjumpa pemimpin luar negara.

Di Malaysia ini, kadang-kadang kita tidak menghargai hakikat. Kita hendak cari kesalahan sahaja. Kejayaan besar adalah bawa keamanan sejak merdeka kecuali pada 1969 sahaja berlaku tragedi hitam. Tetapi boleh dikatakan pada waktu lain, kita ini terkenal sebagai negara yang aman dan di samping itu moden serta progresif. Kejayaan kita mewujudkan suasana dalam negara yang aman dan harmoni ini diiktiraf di luar negara tetapi mungkin tidak diberi begitu tinggi penilaian oleh rakyat dalam negara. Ini semua kejayaan UMNO sebenarnya.

RAHSIA BIJIRIN DARI PERU

MINGGUAN: Macam mana Datuk Seri kekal cergas?

NAJIB: Saya bersenam. Saya ada pelatih. Dua kali atau tiga kali seminggu. Petang ini, sebelum maghrib saya sudah panggil pelatih untuk berlatih selama sejam di gimnasium. Seelok-eloknya tiga kali seminggu tetapi kerana kesibukan jadual, kadang-kadang saya dapat dua kali. Kalau saya dapat lakukan ini, saya rasa dapat lebih sihat dan tenaga saya lebih banyak. Faktor stres juga dapat saya tangani.

Kedua, saya sudah kurang makan nasi dan benda-benda menggemukkan badan. Saya kurangkan nasi sudah enam bulan. Saya makan satu jenis bijirin. Bijirin ini popular di Amerika Syarikat. Anak saya yang perkenalkan saya kepada bijirin yang berasal dari Peru. Bijirin mengandungi 80 peratus protein. Nasi itu menggemukkan sebab tinggi dengan karbohidrat. Karbohidrat itu yang menyebabkan kita gemuk.

MINGGUAN: Bagaimana mengurus tekanan sebagai seorang pemimpin. Apa kaedah-kaedah yang diamalkan?

NAJIB: Saya ingat tekanan ini kita kena faham bahawa keadaan kini lebih mencabar dari masa yang lalu. Kita kena tentukan dalaman kita sendiri. Secara peribadi maknanya dari segi emosi, spiritual kita lebih perkukuhkan, internal resilience (daya tahan dalaman) untuk menghadapi segala cabaran. Jadi, kena bertenang. Jangan terlalu merasakan stres. Jadi, apa-apa cara yang kita boleh kurangkan faktor stres dan menambah tenaga untuk bekerja, kita kena lakukan.

MINGGUAN: Selalu tak rasa terganggu untuk tidur?

NAJIB: Tidak, saya tidak terganggu untuk tidur. Saya bila masuk bilik tidur saya boleh shut off (lelap) biasanyalah. Melainkan kalau perkara itu sangat berat. Tambah-tambah kalau kita hilang kapal terbang atau isu Lahad Datu. Insiden itu memanglah amat sukar bagi saya katakan bila saya masuk bilik tidur, saya boleh lupakan segala-galanya. Ia tidak ada firewall (dinding keselamatan) orang kata.

Episod itu (MH17) begitu berat terutama sekali apabila saya ambil langkah yang tidak pernah dilakukan. Melakukan rundingan dengan puak pemisah untuk membolehkan kita mendapat kotak hitam dan jenazah yang terlibat dalam tragedi MH17.

Tambah lagi ketika itu bulan puasa dan operasi dilakukan boleh dikatakan pukul 3 atau 4 pagi sebab perbezaan waktu. Jadi, itu yang sangat mengharukan. Menguji segala ketahanan, emosi dan fizikal sebab hari esoknya kena kerja macam biasa.

AKTA HASUTAN 1948

MINGGUAN: Akta Hasutan satu lagi isu yang meresahkan orang Melayu.

NAJIB: Saya beri sedikit ruang untuk rakyat memberi pandangan mereka. Kita belum ada apa-apa draf lagi. Timbul sedikit kekeliruan seolah-olah draf daripada Majlis Peguam itulah yang akan kita gunakan. Tetapi kita tahu bahawa Majlis Peguam ini memang tidak menyokong kita selama ini. Jadi, kenapa kita hendak pakai draf daripada Majlis Peguam. Akhirnya kita akan pakai draf daripada pihak Peguam Negara.

Pada masa sekarang, kita mendengar pendapat semua pihak. Saya amat sedar ada kebimbangan orang Melayu. Sebab orang Melayu ada empat perkara yang merupakan hak mutlak mereka. Orang putih kata sacrosanct. Itu memang hak mutlak orang Melayu yang tidak boleh dipersoalkan pun. Jangan cuba hendak tarik balik daripada mereka.

Saya faham soal hak Melayu termasuk keistimewaan Melayu, Islam, raja dan bahasa. Ini perkara induk kepada orang Melayu. Jadi, sebab itu apa yang kita hendak lakukan mesti ambil kira asas kepada orang Melayu.

MINGGUAN: Akta Hasutan 1948 ini dianggap pertahanan terakhir orang Melayu yang masih ada?

NAJIB: Kita mesti ada undang-undang untuk tidak membenarkan orang menghina atau mencabar ataupun menidakkan apa-apa perkara yang sensitif kepada orang Melayu. Di samping itu, hak kepada orang lain pun kita kena hormat juga. Maknanya, kalau matlamat sesuatu undang-undang itu semestinya untuk menjaga keamanan dan ketenteraman dalam negara kita. Jadi, yang asas Melayu ini kita mesti faham dan sedikit sebanyak kita kena faham yang bukan Melayu juga. Dengan cara seperti ini, akan wujud satu negara yang aman.

MINGGUAN: Ketirisan dan integriti dalam kalangan pihak penguat kuasa.

NAJIB: Saya ingat soal rasuah masih lagi perkara yang work in progress (kerja masih berjalan). Kita perlu menjadikan negara kita ini bebas daripada salah guna kuasa dan ketirisan, dalam apa jua yang kita lakukan termasuk dalam kes sehari dua ini, iaitu Cameron Highlands dan sebagainya.

Jadi, perkara yang masih perlu kita beri tumpuan adalah untuk memastikan soal rasuah dapat ditangani dengan cara lebih berkesan lagi.

MINGGUAN: Tiada kompromi dengan pegawai kanan, individu atau tokoh-tokoh terlibat dengan rasuah.

NAJIB: Komitmen kita dalam hal ini amat jelas. Cuma dalam soal ini, kita perlu tekankan dari segi hendak cari bukti dan penguatkuasaan.

MINGGUAN: Tetapi kebelakangan ini nampak SPRM agresif.

NAJIB: Memang itu yang kita mahu supaya SPRM ambil langkah-langkah yang menunjukkan keseriusan dalam menangani soal rasuah. Tetapi saya minta orang yang memberi pun diambil tindakan juga. Jangan hanya orang yang menerima sahaja.

Jadi, apa yang berlaku di Sarawak, orang yang memberi pun diambil tindakan. Itu saya rasa adil. Jangan hanya jadikan pegawai kerajaan sebagai sasaran.

PILIHAN RAYA UMUM

MINGGUAN: Ke mana UMNO dan BN hendak dibawa bagi menghadapi pilihan raya umum tiga tahun lagi?

NAJIB: Kita mesti gambarkan UMNO dan BN ini satu parti yang melambangkan masa depan negara. Satu parti yang moden, progresif tetapi tidak lari daripada perjuangan asas. Kalau dari segi UMNO, asas itu kita fahamlah. Empat perkara yang saya sebutkan tadi itu perjuangan asas kita.

Tetapi di samping itu, kita mesti dilihat sebagai parti yang moden, progresif, inklusif dan juga adil. Keadilan itu merupakan prinsip Islam. Segala-gala yang kita buat, yang pokok ialah keadilan. Berlaku adil kepada orang Islam dan di samping itu adil kepada orang bukan Islam.

MINGGUAN: Boleh ulas politik Selangor?

NAJIB: Selangor sebab dia politik bandar. Kita mesti lihat bahawa kejayaan kita ini mesti didokong oleh semua, bukan saya seorang sahaja. Pemimpin, semua peringkat mesti mendokong. Misalnya, kalau dia hendak saya buat perubahan yang drastik, dia kena beri sokongan dan mandat sepenuhnya. Tetapi kalau dipertikaikan, berbelah bagi dan sebagainya, susahlah saya hendak buat sesuatu kalau penyelesaian itu memerlukan penyelesaian drastik.

MINGGUAN: Tetapi hanya tindakan drastik boleh menyelamatkan UMNO Selangor.

NAJIB: Sebab itu kalau mandat diberikan, yang memerlukan penyelesaian drastik, tahulah apa saya hendak buat. Tetapi kalau saya ambil tindakan drastik, tidak dapat sokongan parti, jadi tindakan saya boleh dipertikaikan. Ya mandat tambahan, beri saya kuasa mutlak.

MINGGUAN: Prestasi parti komponen dan pemimpin UMNO.

NAJIB: Ada juga faktor lain macam pilihan raya lalu, faktor perpecahan dalaman parti komponen menjadi salah satu faktor kita kekurangan sokongan. Misalnya, krisis dalaman MCA, lepas itu masalah SUPP dan sebagainya di Sarawak dan beberapa perkara lain menjadikan amat sukar menarik sokongan bukan Melayu. Ini satu perkara yang saya sudah sebut kepada komponen-komponen parti.

Mereka juga patut melakukan transformasi kepada parti mereka dan sekurang-kurangnya dalam MCA sudah ada kepimpinan baharu yang sedang berusaha ke arah itu. Saya sudah sebut dalam ucapan saya di perhimpunan MCA, jangan pula orang Cina hendak minta macam-macam, lepas itu tidak beri sokongan. Ini bukan satu ugutan tetapi realiti politik. Kalau mereka hendak apa-apa pun, mereka mesti tunjuk sokongan juga kepada BN.

Tags: politik
Subscribe

  • Zon Selesa

    Memberi pengucapan awam., menghadiri acara dan urusan rangkaian, menghadapi rakan sekerja. Ini adalah tugas yang tidak selesa, tetapi kadangkala…

  • Buanglah mentaliti ketam

    Jika anda memasukkan seekor ketam dalam baldi, ia boleh berusaha mencengkau atau mengepit ke atas dan keluar, dan kembali ke alam luar. Tetapi…

  • Ketam Mereng

    Istilah mentaliti ketam merujuk kepada tingkah laku ketam dalam baldi atau periuk yang cuba keluar mencari kebebasan. Ketam-ketam didalam baldi…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments