kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Antara yang bercakap dan bekerja

Dalam minggu ini, parti yang terulung dalam negara kita, UMNO, akan sekali lagi, mengadakan perhimpunan agung tahunannya, didahului oleh mesyuarat ketiga-tiga komponennya, iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

" ... menjadi jaguh berpidato, walaupun tiada isi bernas dalam hujah-hujah berapi-api dan penuh emosi ... "



Saya tidak pernah menyebut pergerakan-pergerakan tersebut sebagai ‘sayap’, oleh kerana tiada ciptaan Allah SWT di dunia ini yang mempunyai lebih dari sepasang sayap, iaitu dua. Maka istilah ‘komponen’ UMNO digunakan, untuk menekankan bahawa setiap satu daripada pergerakan itu adalah sebahagian daripada tubuh badan UMNO. Kalau lemah dan cacat cela mana-mana satu pergerakan, maka ia akan melemah dan menjejaskan UMNO.

Sebaliknya jika semua pergerakan kukuh, bertanggungjawab, serta aktif berusaha di semua peringkat, khususnya di akar umbi, maka UMNO akan terus kukuh dan diterima baik oleh bukan sahaja ahli-ahli parti, tetapi sama pentingnya, lebih ramai orang Melayu dan bumiputera, dan juga rakyat Malaysia lain. Payung UMNO akan diterima sebagai tempat berlindung oleh rakyat berbilang kaum, yang mengharap untuk bersama-sama mendapat manfaat dari sebuah kerajaan Malaysia , di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), yang mana UMNO merupakan parti tunjang di dalamnya.

Maka, Perhimpunan Agung UMNO ini dilihat dalam konteks ke mana UMNO, sebagai tunjang kerajaan, akan membawa negara ini ke hadapan. Dan apakah tanda-tanda yang mencerminkan dasar-dasar dan langkah-langkah yang mungkin akan dilaksanakan, kesan daripada segala desakan kuat oleh mereka yang membahas usul-usul; serta haluan dan kecenderungan yang dapat disimpulkan oleh rakyat di luar dewan perhimpunan, melihat dan mendengar tepuk sorak kepada hujah berapi-api, dan gesaan-gesaan penuh emosi dan menggegar dewan.

Sejak saya mula menghadiri perhimpunan agung sebagai wakil atau pembawa usul, 43 tahun dahulu , itulah pesanan-pesanan yang diberikan oleh pucuk kepimpinan. Mereka sentiasa memperingatkan supaya berhati-hati bila berhujah, dan mengelakkan salah faham dan salah tafsir mana-mana pihak, dan lebih buruk lagi, membawa retak belah sesama sendiri dan dengan pihak lain, terutama sesama rakyat Malaysia.

Pesanan-pesanan tersebut bukan untuk menyekat kebebasan bercakap dan memberi pendapat oleh mana-mana pihak. Atau menghalang daripada sesiapa menyuarakan apa jua yang mereka hendak perkatakan. Tetapi sebaliknya, berpesan supaya kita sentiasa menghayati dan ingat akan hakikat bahawa Perhimpunan Agung UMNO diberi pelbagai tafsiran oleh banyak pihak, di dalam dan di luar negara, antaranya:-

- Sebagai suara kerajaan dan penentu haluan dasar-dasar akan datang, terutama dalam konteks rakyat berbilang kaum

- Sebagai suhu, kesihatan dan hala tuju politik orang Melayu dan bumiputera

- Tahap kematangan politik dalam UMNO, berlatar belakangkan masyarakat berbilang kaum dan perlunya perpaduan antara kaum serta persefahaman yang erat

- Sejauh mana parti yang mencerminkan hasrat dan harapan orang Melayu dan bumiputera, mengamalkan kesederhanaan, dan menerima bahawa negara ini mesti mampu menaungi rakyat berbilang kaum dan keturunan, yang juga menganggap Malaysia tanah air, serta tempat tumpah darah mereka.

- Dan sejauh mana mereka yang dianggap lambang kepimpinan UMNO di peringkat atasan dan bahagian, berjaya, secara matang dan berhemah, mengutarakan isu-isu dan perkara-perkara yang benar-benar merupakan suara rakyat, dan kepentingan negara.

Maka tidak wajar sesiapa yang berpeluang bercakap dan berhujah berbuat demikian didorong oleh motivasi yang terpesong jauh daripada apa yang diharapkan, seperti:-

- Didorongi oleh keghairahan untuk meraih tepuk sorak gemuruh, yang ditafsir sebagai hebat dan popular

- Untuk menjadi jaguh berpidato, walaupun tiada isi bernas dalam hujah-hujah berapi-api dan penuh emosi

- Semata-mata untuk mendapat perhatian, terutama bila berhujah menjurus kepada memuji-muji secara keterlaluan pemimpin-pemimpin sehingga tidak lagi kredibel, dan boleh ditafsir sebagai meraih perhatian baik pemimpin. Ini sebaliknya boleh menjejaskan pemimpin, jika keterlaluan pujian dan mengundang kritikan pihak lain.

- Membawa hujah-hujah yang akan mencacatkan imej perhimpunan agung, kerana ia mencerminkan pemikiran sempit, kurang keupayaan berfikir secara mendalam, atau pun tiada arah haluan dan ketentuan, hujah dan perbahasan. Lebih-lebih lagi jika cara perbahasan kasar, tidak tertib dan hanya setakat menjadi penglipur lara sementara.

Apatah lagi jika antara yang diperkatakan termasuk perkara-perkara yang nampaknya pada sepintas lalu adalah lucu, tetapi sebenarnya merendahkan maruah, seperti maruah kaum wanita, dan maruah bangsa sendiri.

Tetapi yang perlu sangat dielakkan ialah hujah-hujah yang akhirnya akan membawa unsur-unsur syak wasangka dan selisih faham. Terutama yang akan menggagalkan usaha membina satu Malaysia yang rakyatnya bersefahaman, benar-benar saling menghormati antara mereka, dan mementingkan perpaduan secara berterusan.

Kebebasan berhujah dan bercakap ada hadnya. Dan had-had ini wajar disedari dan dihayati oleh setiap daripada kita, dengan disedarkan sentiasa oleh kematangan kita, serta keazaman kita untuk menjadikan UMNO, dalam BN, sebagai parti pilihan dan harapan untuk majoriti rakyat Malaysia berbilang kaum.

Berhujahlah untuk menambah nilai kepada UMNO dan negara. Berbahaslah, supaya pendapat-pendapat dan idea-idea bernas dapat menjadi panduan kepada pemimpin , dalam menentukan dasar-dasar serta langkah-langkah yang sememangnya diharapkan oleh rakyat.

Bercakaplah dan menegurlah dengan penuh keikhlasan dan dengan niat untuk memperbaiki dan untuk membina. Dan jangan sekali-sekali bercakap sehingga terjadinya menang sorak kampung tergadai...

Selamat bersidang kepada para perwakilan!

TAN SRI RAFIDAH AZIZ pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia Studio

Tags: politik
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments