kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Antara OPEC dan RON95: Harga terus rendah 2 tahun lagi?

Ramai teruja dengan pengumuman mengenai kaedah pengapungan terkawal untuk menentukan harga semasa RON95 dan diesel, mulai 1 Disember ini. Memandangkan trend penurunan harga minyak dunia, orang ramai terutama penganalisis industri percaya harga dua komoditi itu dijangka turun.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, sependapat meramalkan harga minyak RON95 dijangka turun tiga sen kepada RM2.27 seliter bermula 1 Disember ini jika purata harga pasaran minyak mentah dunia berada sekitar AS$80 (RM268.40) hingga AS$85 setong (RM285.20) sepanjang November ini.

Sehingga kelmarin, harga kontrak hadapan minyak West Texas berada pada paras AS$76.28 (RM251.70) satu tong bagi penghantaran Januari depan manakala minyak mentah Brent North pada AS$$79.64 (RM262.80) satu tong bagi penghantaran sama. Berdasarkan trend semasa, kemungkinan harga minyak mentah dunia sekarang berterusan untuk jangka masa dua tahun lagi, kata pakar industri. Ini bermakna, pengguna boleh mengharapkan harga bahan api itu lebih murah sehingga tahun 2016.

Mana satu OPEC , Mana Satu RON95 ...

Persoalannya, andai harga minyak mentah dunia naik atau naik mendadak selepas ini, apakah harga runcit bagi RON95 dan diesel akan turut dinaikkan? Walaupun jangkaan penurunan harga minyak mentah dunia untuk terus berlaku dalam tempoh dua tahun akan datang, negara pengeluar semakin risau.

Apakah Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang bermesyuarat di Vienna, Khamis ini, mencapai konsensus untuk menyekat penurunan harga minyak mentah dunia? OPEC, yang mengeluarkan kira-kira satu pertiga daripada minyak mentah global, boleh menaikkan harga minyak yang jatuh 30 peratus sejak Jun, dengan cara mengurangkan bekalan.

Laporan agensi berita asing menyebut, konsensus minimum yang mungkin dicapai dalam mesyuarat OPEC minggu depan adalah komitmen untuk memenuhi sasaran pengeluaran rasmi sebanyak 31 juta tong sehari. Pada masa ini, ia menghasilkan 30 juta tong sehari, iaitu kurang sejuta tong berbanding sasaran rasminya.

Oleh itu, seluruh dunia termasuk Malaysia memerhati dengan penuh minat mesyuarat OPEC itu nanti. Ahli OPEC dari negara Teluk, diterajui Arab Saudi. Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait secara bersama mengeluarkan 16.2 juta tong sehari.

Berbalik kepada isu sama ada RON95 dan diesel akan turut naik harga jika OPEC nanti berjaya menaikkan sedikit harga minyak mentah dunia atau harga komoditi itu naik mendadak selepas tahun 2016 seperti diramal, menarik untuk diperhatikan.

Menurut pakar industri, mekanisme pengapungan terkawal adalah bermaksud untuk mengawal kenaikan harga RON95 dan diesel naik andai harga minyak mentah dunia naik misalnya melebihi AS$80 satu tong, iaitu kerajaan perlu melaksanakan rasionalisasi subsidi. Apa yang kerajaan lakukan sekarang ialah supaya pengguna menikmati harga rendah ketika harga minyak dunia menurun.

Tags: ekonomi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments